Khamis, 2 April 2020 | 1:45pm
KETUA Pegawai Eksekutif yang juga pengasas bersama Yayasan Orang Buta Malaysia (MFB), Silatul Rahim Dahman. - Foto Aizuddin Saad
KETUA Pegawai Eksekutif yang juga pengasas bersama Yayasan Orang Buta Malaysia (MFB), Silatul Rahim Dahman. - Foto Aizuddin Saad

Pelaksanaan pakej PRIHATIN perlu 'mesra OKU'

GOLONGAN Orang Kurang Upaya (OKU) turut menikmati manfaat daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Ia melalui peruntukan RM25 juta bantuan dalam bentuk makanan, barangan penjagaan kesihatan dan tempat perlindungan kepada golongan mudah terjejas seperti OKU, warga emas serta kanak-kanak di rumah perlindungan, gelandangan dan Orang Asli.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas bersama Yayasan Orang Buta Malaysia (MFB), Silatul Rahim Dahman, OKU turut mendapat faedah daripada Bantuan Prihatin Nasional, Bantuan Sara Hidup (BSH), pengecualian bayaran sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam selama enam bulan dan penjimatan bil elektrik juga untuk tempoh yang sama.

“Ramai dalam kalangan OKU berada dalam kategori B40 termasuk mereka yang tinggal dan menyewa di PPR. OKU turut terjejas berikutan wabak COVID-19 ditambah pula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

“Sebagai contoh, ramai OKU masalah penglihatan mencari rezeki dengan kemahiran mengurut, menjual tisu dan menghiburkan masyarakat di sekitar Kuala Lumpur.

“Namun apabila krisis ini berlaku, pendapatan mereka terjejas ditambah beberapa kesukaran lain yang dihadapi,” katanya kepada BERNAMA.

Mengulas lanjut, Silatul Rahim berkata, semua insentif dalam pakej PRIHATIN diharap dapat diterjemah dalam bentuk tindakan dan paling utama ia perlu ‘mesra OKU’ bagi memastikan golongan itu dapat memohon.

Ini kerana kebanyakan permohonan perlu dibuat secara dalam talian dan rata-rata OKU khususnya yang menghadapi masalah penglihatan tidak dapat menguasai teknologi maklumat.

Keadaan ini sudah tentu menjadi penghalang untuk mereka mengisi borang dengan lengkap ditambah pula apabila memerlukan dokumen sokongan yang banyak.

“Jadi apabila adanya kekangan sebegini, faedah yang sepatutnya sampai kepada golongan selayaknya tidak jadi begitu (tidak sampai) kerana daripada awal sudah ada masalah untuk mengakses kepada maklumat dan mungkin juga kerenah birokrasi.

“Perkara ini perlu ditangani teliti agar tidak ada tercicir daripada menerima insentif. Mungkin kerajaan boleh mempertimbang untuk mengadakan perkhidmatan talian bantuan yang dikendalikan sukarelawan bagi membantu OKU yang menghadapi kesulitan untuk mengisi borang,” katanya yang mencadangkan peruntukan elaun OKU ditingkatkan semasa menghadapi krisis COVID-19.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah, berkata inisiatif PRIHATIN dapat membantu kuasa beli rakyat seterusnya membawa kepada perkembangan positif ekonomi domestik.

Beliau berkata, pakej itu bersifat menyeluruh termasuk membabitkan kumpulan M40, sedikit sebanyak mampu membaik pulih ekonomi mereka yang terjejas.

“Kuasa beli kebanyakan rakyat terjejas, sekali gus memberi kesan kepada banyak sektor seperti industri peruncitan, perusahaan kecil dan sederhana, pelaburan, pelancongan dan penerbangan.

“Bagi memastikan ekonomi domestik kekal berkembang walaupun mungkin dalam keadaan perlahan, amat penting untuk rakyat sebagai pengguna mendapat ‘suntikan’ agar mereka terus ada kuasa membeli, ” katanya.

Menurut Muhammad Ridhuan lagi, corak perbelanjaan kumpulan B40 dan M40 lazimnya akan terarah kepada barangan keperluan asas dan keluaran tempatan, sekali gus menyokong perkembangan industri borong dan peruncitan serta menyokong kempen beli produk buatan Malaysia.

“Kuasa beli pengguna berterusan juga dijangka boleh membawa kepada kesan limpahan ekonomi kepada sektor yang sebelum ini mungkin terjejas untuk kembali beroperasi terutamanya industri makanan,” katanya.

Pada 27 Mac, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PRIHATIN berjumlah RM250 bilion yang akan memberi manfaat kepada semua rakyat.

Perdana Menteri turut menegaskan pakej ‘peduli rakyat’ itu akan menyediakan bantuan segera bagi meringankan beban semua dengan tiada golongan yang akan tercicir.

Bagi menangani impak COVID-19 dan membantu rakyat dan sektor yang terkesan dengan penularan wabak itu, hampir RM128 bilion disalur untuk melindungi kebajikan rakyat; menyokong perniagaan termasuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (RM100 bilion) dan memperkukuh ekonomi negara (RM2 bilion).

Sebanyak RM20 bilion diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

Berita Harian X