Rabu, 1 April 2020 | 7:53pm
Petugas Kementerian Kesihatan memasuki pekarangan Menara City One untuk membuat ujian saringan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akibat virus COVID-19. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Petugas Kementerian Kesihatan memasuki pekarangan Menara City One untuk membuat ujian saringan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akibat virus COVID-19. - NSTP/Eizairi Shamsudin

PRIHATIN selamatkan 'nyawa' ekonomi negara

TINDAKAN kerajaan melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dalam usaha mempertahankan Malaysia mendepani tekanan ekonomi global kesan wabak COVID-19 ke seluruh dunia, wajar mendapat sokongan rakyat.

Kemelut politik, ekonomi dan kesihatan berlaku serentak. Jika pada 1997/98, krisis melanda disebabkan kejatuhan nilai mata wang di beberapa negara sahaja dengan Malaysia juga berhadapan kemelut itu ditambah pula pertelingkahan politik meruncing ketika kegawatan ekonomi terbabit.

Mujur pada ketika itu, kerajaan berani bertindak memulihkan ekonomi dengan pelbagai kaedah termasuk melalui langkah drastik seperti mengadakan kawalan modal dan menambat mata wang negara serta menambahkan tunai di pasaran dalam pelbagai cara.

Kini pada 2020, gugatan politik berlaku serentak dengan ancaman kesihatan global yang membunuh manusia secara langsung jika tidak dirawat dan dibiar merebak berleluasa, ini membawa juga kemelesetan ekonomi global. Jadi kerajaan perlu melakukan sesuatu yang di luar jangka.

Dalam mempersiapkan negara menghadapi gelombang krisis ekonomi COVID-19, mekanisme memampankan ekonomi Malaysia menerusi rangsangan kerajaan, institusi bank dan mekanisme simpanan persaraan, iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi nadi ekonomi menghadapi cabaran ekonomi yang pasti menggugat ini.

Langkah ini belum termasuk langkah yang boleh kerajaan laksana menggunakan perbendaharaan dari segi pembiayaan perumahan kerajaan dan mekanisme kawalan modal serta mengusahakan pengukuhan semula mata wang negara.

Penggunaan instrumen ekonomi kini melalui pakej rangsangan menerusi mekanisme sektor kerajaan, bank dan KWSP, adalah bertujuan membina konkrit asas bagi mempertahankan daya saing ekonomi menghadapi kehadiran krisis ekonomi yang mungkin merudum jika tidak disediakan asas kukuh.

Persekitaran ekonomi rakyat harus diperkuatkan dalam membina fundamental ekonomi yang konkrit.

Sebab itu, antara langkah kerajaan adalah memastikan suntikan tunai boleh dibelanja oleh individu atau isi rumah dalam kalangan rakyat, iaitu melalui peranan kerajaan ‘melaburkan’ dana tunai ke pasaran secara lambakan yang penerima diperluaskan untuk seramai mungkin rakyat.

Ketika COVID-19 menyerang, ia tidak mengira sesiapa pun, sebaliknya boleh mengundang maut dalam konteks manusia dan juga boleh membawa ‘maut’ kepada ekonomi rakyat dan Malaysia. Dunia juga di ambang susutan ekonomi yang berat.

Melalui mekanisme kerajaan RM22 bilion yang disuntik ke pasaran secara berperingkat mulai April dan Mei, ia termasuk pemberian tunai kepada penjawat awam dan sukarela di barisan hadapan untuk menentang dan merawat penularan penyakit COVID-19, selain menyuntik dana kepada keseluruhan penjawat awam lainnya.

1.3 juta penjawat awam sekali lagi diberikan dana boleh belanja untuk memacu ekonomi. Rakyat melalui peruntukan Bantuan Sara Hidup (BSH) tetap mendapat perhatian, ditambah pakej Bantuan Perihatin Nasional (BPN) hingga B40 dan M40 diberikan dana tunai, sekali gus bermakna hampir 80 peratus rakyat akan mendapat dana tunai kerajaan.

Tunai ini untuk dibelanjakan di pasaran supaya ia tidak terbantut dan sektor peruncitan subur berkembang. Dengan itu permintaan barangan dan produk akan berterusan serta ekonomi akan sekurang-kurangnya kekal kukuh dengan perbelanjaan rakyat yang mempunyai lebihan tunai untuk dibelanja kepada pelbagai keperluan kehidupan mereka.

Perbelanjaan rakyat ditambah pula oleh perbelanjaan kerajaan. Diharapkan majikan di kebanyakan sektor tidak gulung tikar, urus niaga boleh kembali beroperasi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PTK) dan COVID-19 ini selesai. Dengan itu, pekerjaan rakyat juga akan kekal pada tahap mapan.

Langkah arahan kerajaan menerusi sektor perbankan Malaysia menangguhkan kutipan ansuran pinjaman bulan dipelbagai sektor pembiayaan juga menjadi suntikan tunai boleh guna rakyat. Ini bagi memperkukuhkan kuasa pembeli.

Kuasa beli rakyat harus kukuh supaya mereka tidak takut berbelanja, maka permintaan akan terus berkembang, jadi industri dan majikan akan ada jualan serta pasaran diperkukuhkan menghadapi kemelesetan ekonomi pasca-COVID-19.

Jika RM100 bilion dana hasil dari pelaksanaan moratorium menyeluruh (blanket moratorium) dapat difahami sebagai kaedah ekonomi memperkukuhkan aspek kepenggunaan kuasa beli rakyat, maka tidak timbul pakej yang dibentang bukan semua perbelanjaan dana kerajaan, tetapi nilai ekonomi sebanyak RM250 bilion hasil gemblengan pelbagai sektor. Ini kerana ia mekanisme kerajaan, bank dan KWSP dijadikan teras ekonomi ketika menghadapi kemelut ekonomi 2020 akibat COVID-19 ini.

Tujuan utama mekanisme ini bukanlah perlu dilihat dari segi berapa dana kerajaan yang sebenarnya digunakan, tetapi ia teknik membolehkan negara bertahan dengan krisis ekonomi.

Ini langkah menyediakan satu sistem pertahanan ekonomi. Ini bukan rangsangan semasa pilihan raya kerana cabaran kesihatan yang boleh membawa kemiskinan kepada negara.

Jika deflasi, iaitu pengangguran besar-besaran berlaku akibat kegagalan industri dan pasaran, ditambah pula inflasi meningkat akibat tiada produk dihasil, rakyat tidak pula ada wang boleh dibelanja, maka semuanya akan musnah, hingga perolehan kerajaan dalam bentuk cukai, dividen serta hasil dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga akan terbeban.

Ini mesti dihalang sebelum ‘kiamat’ ekonomi memiskinkan Malaysia. Oleh itu, COVID-19 ini bukan sahaja membunuh nyawa individu, bahkan boleh meragut ‘nyawa’ ekonomi Malaysia dengan membawa kesakitan, kematian serta ketakutan dan juga mungkin kemiskinan yang mudarat jika tidak dirawat segera.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Hal Ehwal Dasar, Politik dan Pengajian Antarabangsa (SOIS), Universiti Utara Malaysia (UUM)

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X