Rabu, 1 April 2020 | 4:54pm

COVID-19: Wanita hamil, selepas bersalin perlu waspada

PENULARAN wabak COVID-19 memberikan kesan teruk kepada seluruh negara termasuk Malaysia yang jumlah pesakit positif coronavirus itu makin meningkat hingga kini sudah melebihi 2,000 kes.

Selain golongan tua yang paling banyak terkesan jangkitan itu, antara golongan dikelaskan sebagai berisiko tinggi sudah pasti ialah wanita hamil dan kanak-kanak.

Umumnya, wanita hamil tidak mengalami gejala lebih teruk berbanding orang dewasa lain. Majoriti mereka hanya mengalami gejala flu ringan atau sederhana. Gejala lebih teruk seperti radang paru-paru lebih biasa dilihat pada orang tua atau mereka yang mempunyai sistem imun rendah.

Setakat ini, tiada bukti wanita hamil lebih berisiko mengalami komplikasi serius berbanding individu sihat lain.

Namun, wanita hamil perlu mengambil langkah berjaga-jaga mengelakkan daripada dijangkiti COVID-19. Perkara utama perlu diamalkan adalah seperti kerap mencuci tangan dengan langkah betul sama ada menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer, menjauhkan diri daripada orang tidak sihat, mengelak daripada menghadiri sebarang perhimpunan, mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan jika boleh, berkerja dari rumah.

Bagaimanapun, sekiranya tidak dapat mengelak daripada keluar berkerja, wanita hamil dalam trimester pertama dan kedua yang tidak mempunyai masalah kesihatan lain, disarankan mengamalkan penjarakan sosial, di samping penjagaan kebersihan setiap masa. Untuk wanita hamil di trimester ketiga (lebih 28 minggu) atau menghidapi masalah kesihatan seperti masalah jantung atau paru-paru, amatlah disarankan untuk bekerja dari rumah, jauhi sesiapa yang mempunyai simptom jangkitan covid dan sebaik-baiknya kurangkan kontak dengan orang ramai.

Menghadiri klinik antenatal dan postnatal adalah amat penting demi memastikan kesihatan ibu dan bayi. Sekiranya sihat, adalah dinasihatkan untuk pergi ke klinik seperti biasa. Namun, jika mempunyai gejala jangkitan COVID-19 seperti batuk, selsema, sakit tekak, demam atau sesak nafas, anda patut memberitahu pihak klinik atau hospital untuk menangguhkan sesi klinik sehingga tempoh pengasingan tamat.

Juga dinasihatkan, anda meminimumkan orang yang menemankan anda semasa menghadiri klinik termasuk tidak membawa anak-anak lain bersama.

Sekiranya semasa tempoh pengasingan anda berasa tidak sihat atau risau keadaan bayi dalam kandungan, anda dikehendaki menghubungi hospital atau klinik dan ikut arahan diberikan. Sebagai langkah berjaga-jaga, semua wanita hamil yang disyaki terkena jangkitan COVID-19 ataupun memang sudah dijangkiti COVID-19 akan dimasukkan ke hospital khas yang terdapat di setiap negeri.

Oleh kerana COVID-19 masih baru, terdapat bukti terhad mengenai penjagaan wanita baru bersalin yang dijangkiti COVID-19. Sebilangan kecil bayi didiagnos dengan coronavirus tidak lama selepas kelahiran. Namun begitu, masih tidak jelas sama ada transmisi berlaku dalam kandungan atau sesudah lahir.

Selepas kelahiran, ibu dan anak akan diasingkan selama 14 hari ataupun hingga keputusan ujian COVID-19 negatif. Penyusuan susu ibu sepanjang tempoh ini juga tidak disarankan.

Namun sekiranya ibu masih mahu menyusukan bayi, ibu perlu menggunakan topeng muka (face mask) semasa penyusuan dan perlu mencuci tangan dengan teknik betul sebelum dan selepas memegang bayi. Untuk ibu yang mengalami gejala jangkitan COVID-19 yang lebih teruk, adalah dinasihatkan untuk memerah susu ibu dan susu perahan ibu boleh diberikan kepada bayi oleh orang yang sihat menggunakan sudu atau cawan bersih. Sentiasa juga pastikan teknik pengendalian dan kebersihan pam betul pada setiap masa.

COVID-19 adalah ancaman menimbulkan kebimbangan semua pihak. Dengan itu, kita seharusnya mengikuti semua saranan dari kerajaan terutamanya dari Kementerian Kesihatan agar wabak ini dapat dihentikan.

Penulis ialah Pensyarah dan Pakar Klinikal, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X