Sabtu, 28 March 2020 | 5:48pm
Rakyat harus bijak berbelanja dan berhemat menggunakan bantuan kewangan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN). Gambar hiasan. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Rakyat harus bijak berbelanja dan berhemat menggunakan bantuan kewangan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN). Gambar hiasan. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Perlu berhemat guna pakej PRIHATIN

KETIKA artikel ini ditulis, pandemik COVID-19 sudah menjangkiti lebih 550,000 orang di seluruh dunia. Angka kematian pula mencecah 25,045 orang. Wabak ini paling buruk dalam sejarah perubatan moden manusia. Negara kita juga berusaha keras menangani wabak ini daripada terus merebak.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan sejak 18 Mac dan kini dilanjutkan hingga 14 April depan. Setakat ini, PKP berjaya membendung penularan wabak dengan lebih meluas dan pantas.

Namun, pelaksanaan PKP memberi kesan buruk kepada ekonomi negara. Lebih 60 peratus aktiviti perniagaan terpaksa ditangguhkan semasa rakyat dikenakan sekatan untuk bergerak. Hanya perniagaan dikategorikan sebagai memenuhi keperluan asas sahaja dibenarkan beroperasi.

Kesannya, ramai hilang mata pencarian dan sumber rezeki. Justeru, impak dibawa COVID-19 adalah lebih besar dari sudut ekonomi berbanding impak dari sudut kesihatan.

Menyedari situasi ini, kerajaan yang baru dibentuk tampil dengan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN). Sememangnya pakej rangsangan ini dijangka dan dinantikan rakyat.

Rakyat harus bijak berbelanja dan berhemat menggunakan bantuan kewangan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN). Gambar hiasan. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Rakyat harus bijak berbelanja dan berhemat menggunakan bantuan kewangan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN). Gambar hiasan. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Namun, rata-rata rakyat terkejut dengan nilai rangsangan terbesar dalam sejarah yang pernah diumumkan, iaitu sebanyak RM250 bilion. Pakej rangsangan ini hampir menyamai belanjawan keseluruhan 2020, iaitu sebanyak RM297 bilion.

Pakej rangsangan ini berasaskan premis suntikan dana kerajaan untuk merancakkan semula ekonomi yang sedang lembap. Apabila kerajaan menyalurkan wang kepada rakyat, mereka akan berbelanja dan akhirnya ekonomi negara akan aktif semula.

Pengeluar akan meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi permintaan daripada pelanggan. Maka, tidak ramai pekerja yang akan diberhentikan sebaliknya lebih ramai tenaga kerja diperlukan. Oleh itu, strategi inilah yang digunapakai kerajaan sekarang demi merancakkan semula semua sektor ekonomi dalam negara.

Tambah pula, negara tidak dapat bergantung kepada dana asing untuk suntikan modal. Ini kerana wabak COVID-19 menjejaskan kuasa besar ekonomi dunia. Justeru, sumber dalaman adalah sangat perlu untuk digerakkan bagi menyokong industri tempatan.

Selain itu, pakej ini juga berlandaskan prinsip prihatin kepada denyut dan nadi kebanyakan masyarakat. Segala bantuan kepada golongan nelayan, pekebun kecil, pengusaha chalet, penarik beca, pesara, pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dan sebagainya menunjukkan kerajaan mendengar keluhan dan cabaran hidup yang sedang dihadapi majoriti rakyat.

Kali ini bantuan bukan hanya tertumpu kepada golongan B40 tetapi juga merangkumi 11 juta isi rumah golongan pertengahan M40. Selain itu, pengecualian pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), sewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan diskaun kadar bil elektrik melegakan berjuta-juta rakyat.

Rakyat harus bijak berbelanja dan berhemat menggunakan bantuan kewangan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN). Gambar hiasan. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Rakyat harus bijak berbelanja dan berhemat menggunakan bantuan kewangan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN). Gambar hiasan. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Pakej rangsangan ekonomi ini digubal dengan komprehensif. Sekarang terpulang kepada rakyat untuk memanfaatkan segala bantuan akan diberi. Rakyat harus bijak berbelanja dalam menguruskan kewangan masing-masing. Bantuan kewangan akan menjadi sia-sia sekiranya ia digunakan secara boros tanpa perancangan berhemah.

Bagi agensi pelaksana, cabaran utama adalah untuk memastikan bantuan kewangan dapat disalurkan dengan efisien kepada penerima yang layak. Sudah tentu ramai akan mendakwa diri sebagai ‘Mak Cik Kiah’ seperti misalan Perdana Menteri.

Walaupun pakej rangsangan ekonomi ini dilihat ingin membantu kebanyakan rakyat, terdapat persoalan kritikal yang wajar diberi perhatian. Terdapat suara mempersoalkan dari mana datangnya dana tambahan sebanyak RM250 bilion itu? Adakah ia daripada rizab simpanan negara? Atau ia adalah hutang daripada negara luar negara?

Persoalan ini wajar dijelaskan kerana negara sebelum ini dimomokkan dengan hutang negara sebanyak RM1 trilion oleh Menteri Kewangan sebelum ini. Kebimbangan ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap tindakan dan keputusan diambil oleh kerajaan sekarang.

Apapun halnya, kerajaan sudah berjaya memenangi hati majoriti rakyat. Pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan berjaya mengurangkan kegelisahan rakyat berdepan dengan wabak COVID-19 di rumah masing-masing.

Penulis ialah Dekan Pusat Pengajian Siswazah dan Profesor Madya di Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X