Isnin, 23 March 2020 | 11:19am

Enam langkah mudah perangi COVID-19

PENYAKIT paling kritikal diperkatakan di seluruh negara dan dunia ialah wabak COVID-19 yang mula dikesan di Wuhan, China sekitar pertengahan Disember tahun lalu.

Namun, penyakit ini mula menjadi isu paling serius di negara ini ekoran gelombang keduanya yang turut mencatatkan dua kematian pada hari 17 Mac lalu.

Disebabkan kritikalnya wabak itu, kerajaan mengambil tindakan dengan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula 18 Mac lalu sehingga 31 Mac ini bagi membendungnya daripada terus merebak.

Namun, tanpa memahami tujuan sebenar Perintah Kawalan Pergerakan, ia ‘disalah guna’ apabila ada menganggap kerajaan memberi ‘cuti’ kepada rakyat.

Apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan, rakyat mula membanjiri Terminal Bas Selatan (TBS) untuk pulang ke kampung tanpa memikirkan kemungkinan besar mereka akan dijangkiti virus COVID-19 kerana bersesak-sesak dan seterusnya menjadi pembawa virus berkenaan dan merebak pula di kampung halaman masing-masing.

Sehinggakan Perdana Menteri terpaksa membuat perutusan khas pada hari berikutnya dan merayu berkali-kali supaya rakyat mengawal serta mengurangkan pergerakan supaya COVID-19 tidak terus merebak kepada orang lain.

Ramai juga artis seperti Siti Nurhaliza membantu kerajaan dalam memberikan khidmat sosial masyarakat dengan merayu supaya rakyat Malaysia terus ‘stay at home’ dan tidak pulang ke kampung.

Tidak kurang dengan itu, doktor dan jururawat tidak henti-henti merayu supaya masyarakat dapat membantu dengan tidak menambah bilangan kes di hospital. Pihak media sama ada melalui radio, televisyen, akhbar dan media sosial sudah memainkan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan dalam menwar-warkan kempen ‘stay at home’ demi untuk mengurangkan penambahan kes positif jangkitan COVID-19.

Namun, dimanakah peranan dan tanggungjawab kita sebagai rakyat bagi membantu dalam membasmi penularan wabak COVID-19 ini?

Kerajaan hanya mengarahkan rakyat untuk kekal berada di rumah masing-masing dan mengurangkan pergerakan selama 14 hari sahaja, selain menjaga kebersihan diri sebagai langkah pencegahan. Perkara begitu mudah mengapa sukar untuk rakyat fahami dan ikuti arahannya? Masih ada segelintir rakyat yang membuka gerai untuk jualan, bersukan dan bersiar-siar. Di manakah peranan kita sebagai rakyat yang prihatin bagi menyokong tindakan kerajaan dalam membasmi virus ini?

Jangan bersikap pentingkan diri kerana kita fikir sihat tetapi tanpa sedar kita pembawa kepada virus itu.

Mahukah kita menjadi rakyat prihatin? Mudah sahaja, ikuti saranan yang berikut.

Pertama: Lakukan Saringan

Sila datang dan membuat saringan kesihatan secara percuma di pusat kesihatan tanpa perlu dicari. Bantulah kerajaan dengan tampil secara sukarela dan menjalani pemeriksaan saringan yang ditetapkan terutama kepada mereka yang pergi ke perhimpunan ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling.

Kedua: Kuarantin diri

Sekiranya anda baru pulang daripada mana-mana negara terutamanya China, Korea Selatan, Itali, Jepun dan Iran, anda dinasihatkan untuk melaporkan kepada pusat kesihatan dan melakukan kuarantin diri selama 14 hari berturut-turut.

Sila rujuk ke klinik atau hospital terdekat sekiranya anda mendapat gejala seperti batuk, demam, selsema, sakit tekak dan kesukaran untuk bernafas.

Ketiga: Memakai topeng muka

Sekiranya anda tidak sihat seperti batuk atau selsema, pakailah topeng muka dan segeralah mendapatkan rawatan di klinik atau hospital. Jangan menggunakan topeng muka yang sama berulang-ulang kali, sebaiknya keraplah menukar topeng muka dari masa ke semasa.

Keempat: Kekal berada di dalam rumah atau ‘Stay at Home’

Dengan kekal berada di rumah dapat menghindarkan diri kita daripada dijangkiti virus COVID-19. Inilah masa terbaik untuk meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga. Ibu bapa boleh menjadi kreatif dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama anak-anak seperti membersihkan rumah, bertukang, memasak, berkebun dan bersukan yang bersifat dalaman dan tidak perlu keluar.

Kelima: Tingkatkan kebersihan diri dan kawasan rumah

Sentiasa mengutamakan kebersihan diri seperti kerap mandi dan kerap mencuci tangan dengan betul menggunakan sabun atau menggunakan bahan pencuci tangan (hand sanitizer). Selain itu, disinfeksi kawasan rumah juga sangat digalakkan untuk membasmi virus.

Campurkan satu penutup peluntur dan sembilan penutup air sahaja dan mula disinfeksi tempat yang kerap disentuh seperti tombol pintu, suis lampu, telefon, alat kawalan, kepala paip dan pintu peti ais.

Keenam: Jaga jarak 1 meter

Sekiranya memerlukan anda untuk keluar seperti membeli barang atau ke tempat kerja atas urusan yang tidak dapat dielakkan, pastikan anda menjaga jarak satu meter supaya tidak bersentuhan.

Selain itu, kita juga digalakkan untuk menjaga kesihatan dengan baik seperti makan makanan yang berkhasiat dan melakukan senaman ringkas di dalam rumah.

Alternatif lain aktiviti yang boleh dirancang semasa Perintah Kawalan Pergerakan ini adalah seperti mengisi masa dengan aktiviti keagamaan seperti berdoa dan membaca kitab.

Kerajaan sudah memainkan peranan mereka untuk membasmi virus COVID-19 dengan seriusnya, maka marilah kita menyokong usaha kerajaan untuk memulihkan keadaan supaya boleh kembali kepada sedia kala dengan hanya kekal berada di rumah selama 14 hari sahaja.

Diharapkan dalam tempoh ini, negara kita akan pulih dan wabak ini boleh dikawal. Bayangkan kita akan berpuasa tidak lama lagi, bagaimana rutin berpuasa di siang hari dalam keadaan tidak selamat dan bagaimana pula hendak berterawih pada malam hari sedangkan masjid ditutup seperti sekarang.

Bayangkan juga bagaimana kita bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri sekiranya wabak ini masih tidak ditangani dengan baik. Tiada kemeriahan dan kunjung mengunjungi antara satu sama lain dan kita semua kekal berada di dalam rumah semasa Hari Raya.

Pilihan di tangan anda!

*Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Segamat

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X