Jumaat, 20 March 2020 | 6:41pm

Gunakan kuasa netizen putuskan rangkaian COVID-19

WABAK Covid-19 kian merebak ke seluruh dunia, tidak ketinggalan Malaysia, yang mengancam kesihatan malah menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat. Meskipun COVID-19 dilapor tercetus awalnya di Wuhan, China, ia kini merebak ke 182 negara dengan paling ramai ialah China, Itali, Iran, Sepanyol, Jerman, Amerika Syarikat dan Perancis.

Menurut WHO, hingga semalam sebanyak 209,839 kes disahkan COVID-19 dilaporkan di seluruh dunia dengan jumlah kematian 8,778 orang.

Di Malaysia pula, sehingga kini sejumlah 900 kes COVID-19 dan daripada jumlah kes itu, dua pesakit meninggal dunia.

Memandangkan wabak itu menular dan merebak dengan pantas, kerajaan Malaysia mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Tujuan akta ini adalah untuk membendung dan menghalang COVID-19 tidak merebak dengan pantas dalam kalangan rakyat. Dengan pengumuman itu, rakyat digalakkan tidak bergerak dari satu tempat ke tempat lain dengan bebas atau tidak keluar dari rumah, sebaliknya duduk di rumah masing-masing dengan mengamal prosedur kesihatan seperti disarankan Kementerian Kesihatan.

Akta itu khususnya Perkara 10 (1,14,15(1) dan 15 (2) memberi kuasa kepada kerajaan untuk bukan sahaja mendirikan stesen kuarantin malah menahan dalam kuarantin bagi sesuatu tempoh yang difikirkan sesuai untuk mencegah jangkitan penyakit berkenaan.

Pada masa sama, pihak polis juga diberi kuasa untuk membantu mengawal pergerakan orang ramai berdasarkan Akta Polis 1967.

Apapun undang-undang dikuatkuasakan untuk mencegah COVID-19, matlamat untuk membendungnya tidak akan tercapai tanpa sokongan padu orang ramai. Rakyat Malaysia wajar memberi sokongan kepada Perintah Kawalan Pergerakan demi membendung COVID-19 yang boleh membawa maut.

Meskipun media cetak dan elektronik milik kerajaan dan swasta dapat membantu dalam mendidik rakyat untuk mencegah dan membendung wabak COVID-19, media sosial juga mampu memainkan peranan penting malah mendahului dalam menyampai serta mempengaruhi pemikiran masyarakat supaya bersama-sama kerajaan membendungnya.

Ini kerana menurut Laporan Digital 2018, jumlah pengguna internet di Malaysia melebihi 26 juta mewakili 79 peratus penduduk. Daripada jumlah itu, 75 peratus menggunakan media sosial dan memperuntukkan purata tiga jam sehari di laman berkenaan. Malah, jumlah itu menjadikan Malaysia sebagai negara ke-9 dunia paling aktif di media sosial.

Warganet atau netizen di negara ini boleh membantu kerajaan dalam menyebar maklumat mengenai kepentingan Perintah Kawalan Pergerakan, malah mempengaruhi minda masyarakat untuk mengamalkan prosedur yang wajar diamalkan.

Sekiranya sokongan dan kerjasama rakyat China membantu kerajaan mereka dalam menyekat dan membendung penularan COVID-19 dalam masa singkat, apakah rakyat Malaysia tidak mampu menyelamat Malaysia?

Rakyat Malaysia boleh mencontohi semangat dan perpaduan rakyat China di Wuhan dalam membendung penularan wabak COVID-19.

Antara langkah paling penting menyelamatkan Wuhan ialah perintah berkurung (lockdown). Jadi, netizen Malaysia diharapkan menggunakan media sosial dalam menyebar maklumat kerana mereka berkemampuan menyelamatkan rakyat keseluruhan daripada wabak COVID-19.

Netizen mampu menerapkan dalam minda rakyat supaya duduk di rumah (stay at home) seperti disarankan Perdana Menteri dalam mencegah COVID-19 kerana langkah itu boleh memutuskan rangkaian jangkitan coronavirus.

Kita yakin peranan media, seiring dengan media cetak dan siaran, mampu mencegah wabak COVID-19 di negara ini.

*Penulis ialah Penganalisis politik, sosial dan ekonomi

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X