Khamis, 27 Februari 2020 | 12:06pm
Hutan paya gambut mempunyai beberapa rangkaian fungsi dan perkhidmatan ekosistem penting dalam menjamin kelangsungan hidup manusia dan kesejahteraan alam. - Foto hiasan
Hutan paya gambut mempunyai beberapa rangkaian fungsi dan perkhidmatan ekosistem penting dalam menjamin kelangsungan hidup manusia dan kesejahteraan alam. - Foto hiasan

Usah menyesal jika hutan paya gambut 'hilang'

HUTAN paya gambut di Malaysia terbentuk antara 4,000 dan 5,000 tahun lalu. Data Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) pada 2017, mengesahkan ia berkeluasan 253.45 ribu hektar daripada keseluruhan 4.41 juta hektar keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Semenanjung Malaysia.

Di Semenanjung, hutan jenis ini hanya ditemui di Selangor, Pahang, Johor serta Terengganu, malah dianggap mempunyai spesies tumbuhan spesifik. Malah, hanya 24 spesies pokok daripada 18 famili terhad secara eksklusif dijumpai di hutan paya gambut ini.

Ekosistem ini juga menjadi tempat pembiakan beberapa jenis ikan air tawar hilir sungai bernilai komersial. Kajian menunjukkan ia menyediakan habitat perlindungan beberapa spesis reptilia terancam seperti buaya julung-julung (Tomistoma schlegelii).

Hutan paya gambut mempunyai beberapa rangkaian fungsi dan perkhidmatan ekosistem penting dalam menjamin kelangsungan hidup manusia dan kesejahteraan alam.

Perkhidmatan ekosistem menjelaskan dari segi komponen kesejahteraan hidup yang dinikmati melalui sumbangan secara langsung dan tidak langsung daripada kawasan hutan paya gambut.

Umumnya, terdapat 22 jenis perkhidmatan ekosistem dikenal pasti, terbahagi kepada empat kategori, iaitu perkhidmatan pembekalan, kawalan, habitat atau sokongan dan kebudayaan dan kemudahan.

Walaupun berperanan penting, ekosistem paya gambut sering tidak dihargai. Litupan paya gambut hanya tiga peratus daripada keseluruhan permukaan bumi, namun ia bertanggungjawab menyerap dua kali ganda karbon dioksida berbanding hutan jenis lain.

Justeru, keupayaan hutan ini menyerap karbon dioksida membantu menstabilkan iklim dengan memperlahankan proses pemanasan global.

Dua dekad mutakhir, hutan paya gambut menerima kesan daripada kegiatan manusia melalui pembangunan tebus guna dan saliran. Ia mengakibatkan pelbagai kesan buruk kepada keutuhan keseluruhan ekosistem hutan.

Natijahnya, ekosistem hutan paya gambut terus musnah atau lenyap akibat ‘dikorbankan’ secara berterusan untuk memberi laluan kepada pelbagai bentuk pembangunan. Semakin bertambah kehendak ekonomi, semakin meningkatnya tekanan untuk membuka dan menebus guna hutan ini.

Di Malaysia dan Indonesia, jutaan hektar tanah paya gambut diteroka dan dieksploitasi meluas, terutama oleh sektor pertanian. Di Asia Tenggara, 13 juta hektar hutan paya gambut dibersihkan untuk pertanian dan agro-perhutanan dengan lebih 2 juta hektar untuk tanaman kelapa sawit.

Antara projek besar-besaran membabitkan pembukaan jutaan tanah paya gambut ialah Projek Mega Satu Milion Padi di Kalimantan Tengah pada 1995. Melaluinya, seluas 1.46 juta hektar kawasan paya gambut dibersihkan dan 4,618 kilometer (km) parit serta tali air selebar lima meter digali.

Kegagalan projek ini menjejaskan kehidupan masyarakat tempatan, sekali gus menghapus tumbuhan dan hidupan liar yang sebahagiannya belum pernah diinventori serta melupuskan semua simpanan bijian yang ada dalam ekosistem berkenaan.

Situasi terkini menunjukkan hutan paya gambut terus diancam. Terkini, terdapat ura-ura kerajaan Selangor untuk menyahwartakan antara hutan paya gambut penting, iaitu Hutan Simpan (HS) Kuala Langat Utara daripada senarai HSK untuk memberi laluan kepada pembangunan.

Hutan Simpanan ialah hutan paya gambut dan hutan tanah pamah serta menjadi baki HSK dahulu yang sebahagian besarnya dinyahwarta dan ditukar guna tanahnya bagi tujuan pembangunan sejak lebih 50 tahun.

Hutan Simpan Kuala Langat Utara ialah kawasan penting pemuliharaan kepelbagaian biologi dengan menyokong beberapa kehidupan spesies jarang ditemui seperti beruang matahari, tupai terbang terkecil Selangor dan ikan laga merah Langat.

Selain itu, HSK juga berperanan sebagai habitat beberapa spesies dipterokarp yang mempunyai status ‘terancam kritikal’ dan ‘terancam’. Jika cadangan itu menjadi realiti, sudah pasti akan mengecilkan lagi keluasan HSK di Selangor dan Kuala Langat khususnya.

Perlu ditegaskan, kebanyakan projek pembangunan dilaksanakan di hutan paya gambut menjejaskan integriti dan kestabilan ekosistem serta meninggalkan kemusnahan yang tidak sedikit.

Walaupun tidak menyalahi undang-undang (berdasarkan Perkara 74(2) Perlembagaan Persekutuan), cadangan penyahwartaan Hutan Simpan itu tidak selari perancangan kerajaan negeri dalam Rancangan Struktur Negeri 2035 untuk mengekalkan 32 peratus kawasan hutan di Selangor.

Ia juga tidak selari matlamat dan objektif JPSM mewartakan atau mengekalkan kawasan HSK di Semenanjung Malaysia seluas lima juta hektar menjelang 2020.

Janganlah kita menyesal kemudian hari apabila kenaifan memusnahkan hutan paya gambut yang ternyata mempunyai pelbagai fungsi dan kepentingan.

Justeru, penggubal dasar, perancang dan pelaksana pembangunan harus mengarusperdanakan keperluan mengekalkan hutan ini dengan mengintegrasikan prinsip pemuliharaan ke dalam dasar, pelan dan program aktiviti ekonomi dan pembangunan negara.

Sudah sampai masanya pendekatan pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan disepadukan dan diselaraskan pelaksanaannya bagi mengekang kemusnahan berterusan hutan ini.

Penulis adalah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia

Berita Harian X