Selasa, 25 Februari 2020 | 11:48am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Bidang kolar baharu sedia peluang untuk diteroka

BERTAHUN lamanya, tenaga pekerja diklasifikasikan kepada kolar biru dan kolar putih. Namun, ramai yang sebenarnya tidak terbahagi dalam dua klasifikasi itu.

Kini bidang pekerjaan baharu muncul yang dinamakan kolar baharu. Ia mencetus impak dalam pasaran pekerjaan sekarang, dengan kedudukan pekerja mahir ini terletak antara kolar biru dan putih.

Pertumbuhan pesat dan kemajuan dalam teknologi digital menyebabkan landskap kerjaya mengalami perubahan. Majikan mencari pekerja dengan pengetahuan dan kemahiran khusus untuk memenuhi keperluan industri dan pasaran.

Di negara perindustrian utama seperti Amerika Syarikat (AS), China dan Russia umpamanya, bidang teknologi industri, pengkomputeran dan kesihatan sangat memerlukan pekerja dalam bidang kolar baharu.

Semasa di Turki beberapa tahun lalu, saya sendiri mendapati bidang kewartawanan dan penyiaran digolongkan ke dalam kemahiran seperti latihan pendidikan teknologi dan vokasional (TVET). Puncanya mereka menganggap ia bidang kemahiran tinggi.

Secara umumnya seseorang pekerja kolar baharu adalah individu yang memajukan diri dengan kemahiran teknikal dan insaniah dalam pekerjaan teknologi dan kemahiran, tetapi tidak melalui saluran pendidikan lazim pengajian peringkat universiti.

Mereka tidak mendapat segulung ijazah selepas belajar selama empat tahun, sebaliknya menerima latihan melalui kolej komuniti, sekolah vokasional, kursus jangka pendek, program sijil, pendidikan teknologi sekolah tinggi, latihan industri dan perantisan semasa kerja.

Istilah pekerja kolar baharu ini berasal daripada Ketua Pegawai Eksekutif IBM, Ginni Rometty. Klasifikasi oleh majikan berlaku apabila berhadapan cabaran dalam pengambilan pekerja, termasuk juruteknik pengkomputeran awam, pengurus pangkalan data, keselamatan siber, pereka bentuk pengguna antara muka dan peranan teknologi maklumat (IT) lain.

Di Malaysia, usaha meningkatkan jumlah tenaga kerja mahir giat dilaksanakan melalui inisiatif Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) yang dilancarkan Perdana Menteri awal Oktober lalu.

Buat masa ini, Malaysia memiliki 28 peratus tenaga kerja mahir dan melalui WKB, ia akan ditingkatkan kepada 35 peratus.

Maklumat International Labour Organisation (ILO) menyebut 15 tahun daripada sekarang kemungkinan besar antara 15 ke 30 peratus jurusan yang ditawarkan di universiti sekarang mungkin tidak lagi wujud dalam sektor pekerjaan.

Jurusan diajar dalam bidang TVET amat relevan dan dijamin ILO. TVET akan menjadi pemacu utama dalam usaha kerajaan melahirkan tenaga mahir tempatan yang mempunyai kemahiran tinggi, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja asing.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri berkata, kerajaan akan terus berusaha meningkatkan keupayaan belia dalam TVET bagi memastikan keperluan industri berteknologi tinggi dipenuhi warga kerja tempatan.

Ini secara langsung mengubah pasaran buruh negara dan menjadi keutamaan kerajaan untuk memastikan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi yang menawarkan gaji tinggi dapat diwujudkan.

Dr Mahathir menjelaskan, dunia hari ini memperlihatkan kejayaan sesebuah negara bukan saja diukur dan didorong prestasi ekonomi, pembangunan infrastruktur, syarikat multinasional dan teknologi semata-mata, tetapi pembangunan modal insan holistik disandarkan kepada pendidikan, latihan dan kemahiran menjadi sama penting dalam ukuran kejayaan itu.

Oleh itu, dengan memartabatkan TVET, negara mampu menghasilkan modal insan berkemahiran yang diperlukan industri. Pembangunan industri di Malaysia tidak boleh lari daripada perkembangan global khususnya Revolusi Industri 4.0 proses kerja dan kaedah perniagaan pintar dipacu manusia, proses dan teknologi kepada tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai.

Ini secara tidak langsung mengkehendaki sektor industri negara bergerak seiring transformasi digital jika mahu ekonomi negara terus kekal berdaya saing.

Dalam hubungan proses kemajuan, negara tidak lagi bergantung semata-mata kepada modal insan berpengetahuan tinggi, tetapi juga berkemahiran tinggi.

TVET memainkan peranan dalam pembangunan modal insan dan ekonomi negara. Ia membuka peluang kepada generasi muda Malaysia yang kurang cenderung ke arah bidang akademik, tetapi dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam kemahiran dan kepakaran pilihan sendiri.

Pensyarah Komunikasi di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (UniSel) dan Felo Institut MASA.

Berita Harian X