Sabtu, 8 Februari 2020 | 11:00am

Mendepani kemajuan negara melalui pembangunan sosial

Tahun 2020 dinobatkan untuk menentukan tahap pencapaian Malaysia sebagai negara maju. Pencapaian disasarkan bersifat komprehensif bukan sahaja pada fizikal mahupun ekonomi, tetapi merentasi bidang politik, pentadbiran, sains teknologi dan sosial.

Bermakna sejak mula diperkenalkan, rakyat Malaysia diberi tempoh hampir 30 tahun untuk membuktikan mereka boleh melakukan perubahan total kepada pembangunan negara.

Ironinya dalam tempoh itu juga, Malaysia terpaksa berdepan pelbagai kemelut khususnya prestasi ekonomi dunia yang tidak menentu. Fenomena globalisasi pesat mencabar kelangsungan negara untuk terus bertahan dan mara ke hadapan.

Segala aspek kehidupan manusia menghadapi pelbagai cabaran pada era ini. Dengan konsep dunia tanpa sempadan, urusan negara tidak lagi menjadi hak eksklusif sesebuah negara itu dan terbuka kepada persaingan yang kompetitif.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, melalui amanat tahun baharu menegaskan berkesinambungan daripada Wawasan 2020 tercetusnya blueprint Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Tersiratnya, 2020 adalah sebuah inspirasi dan aspirasi kepemimpinan negara untuk mencetus perubahan lebih dinamik kepada kedudukan negara di mata dunia.

Dengan kata lain, Wawasan 2020 seharusnya difahami bukan penentu kepada sesuatu status pencapaian, tetapi tempoh bagi proses transformasi pemikiran, sikap dan sistem nilai rakyat di negara ini.

Menelusuri perkembangan dunia selepas lima dekad berlalu, pembangunan berorientasikan growth-oriented walaupun menghasilkan pertumbuhan material, sebenarnya lebih bersifat jobless (tidak menghasilkan pekerjaan yang cukup dan berkualiti), ruthless (semakin menambahkan jurang, kemiskinan dan ketidakadilan), rootless (tidak mengakar di masyarakat, mencabut tradisi dan nilai budaya lokal), voiceless (tidak mendengar aspirasi rakyat, kurang demokratif dan partisipatif) dan futureless (menghancurkan lingkungan alam).

Hal ini yang dilaporkan melalui Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNDP) amat kita khuatiri. Ia selari kebimbangan digambarkan penulis Amerika Syarikat, John Naisbitt, menerusi bukunya, High Tech High Touch bahawa sebuah kemajuan yang lahir tanpa roh atau lebih tepat pembangunan dicapai tidak seiring pembangunan sosial.

Perspektif ini menunjukkan falsafah kemajuan negara sebenarnya perlu difokuskan kepada pembangunan manusia yang elemen ini berkait rapat pembangunan sosial.

Ia dihubung kait dengan pelbagai strategi, program dan aktiviti yang menekankan pengisian nilai yang akan mempertingkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan.

Berdasarkan Institut Sosial Malaysia (2004), pembangunan sosial bertujuan menyediakan perkhidmatan berkualiti bagi memenuhi kesejahteraan sosial, mengenal pasti kesan dasar dan program ke atas masyarakat dan mengenal pasti faktor yang memberi kesan ke atas sesuatu masalah sosial dan menghapuskannya sebelum menjadi masalah besar.

Pendek kata, proses pembangunan sosial ini menjadi asas supaya segala proses modenisasi tidak memberi kesan sampingan ke atas kesejahteraan masyarakat yang bermatlamatkan kesejahteraan rakyat.

Maka tidak hairan, tempoh 10 tahun diperuntukkan bagi kemakmuran negara menekankan elemen pembangunan sosial atau pembangunan manusia.

Negara percaya pendapatan tinggi tidak menjamin kesejahteraan hidup. WKB 2030 jelas menyasarkan dua teras strategiknya dengan kesejahteraan sosial dan pembangunan modal sosial.

Lapan indikator sosial diberi perhatian bagi memastikan pembangunan holistik seperti indeks perpaduan, keharmonian agama, perubahan iklim dan alam sekitar, pencegahan jenayah, integriti dan antirasuah, kesihatan rakyat, antidadah dan keharmonian kejiranan.

Justeru, 2020 perlu menjadi titik tolak ke arah usaha kerajaan yang lebih serius terhadap pembangunan sosial.

Nilai inklusif diterapkan dalam WKB 2030 adalah justifikasi tepat untuk kerajaan bukan sahaja perlu lebih gigih dalam memperkasakan pembangunan sosial dalam mendasari isu seperti sektor pendidikan, kesihatan, pekerjaan, kebudayaan, keselamatan, pertanian, alam sekitar, perindustrian dan sebagainya.

Malah, turut memperkasakan mekanisme lebih kreatif dan inovatif dalam pembangunan sosial khususnya mewujudkan sinergi tenaga dan sumber dalam masyarakat.

Sebuah kajian perbandingan berkenaan pelaksanaan dasar sosial antara Malaysia dan Indonesia menunjukkan kerajaan kita mengambil tanggungjawab besar melaksanakan program pembangunan sosial dalam masyarakat melalui pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.

Dengan lain perkataan, kerajaan memainkan peranan dominan dalam konteks pembangunan sosial.

Pembangunan sosial sewajarnya menjadi tanggungjawab bersama. Konsep pembabitan masyarakat yang bersifat tradisional atau dominasi kerajaan wajar ditambah baik.

Justeru, usaha memperkasa kelompok sasar melalui perkhidmatan latihan, program kemahiran dan pembinaan jati diri melalui aktiviti pengupayaan diri perlu seiring dan akan terus dipergiat kerajaan.

Agihan tanggungjawab sebegini dapat memastikan perkhidmatan sosial lebih berkesan dan menjamin kehidupan masyarakat yang lebih berkualiti berasaskan konsep pembangunan sosial adalah tanggungjawab bersama.

Justeru, 2020 adalah masa terbaik melonjakkan paradigma pembangunan negara yang perlu didepani pembangunan sosial.

Pendekatan ini bukan memisahkan antara pembangunan ekonomi dengan pembangunan sosial, tetapi akan memberi kesan ekonomi lebih sejahtera dan makmur serta bernafas panjang.

Insya-Allah, ini mampu direalisasikan dengan keterbabitan semua pihak.

Penulis adalah Pengarah Institut Sosial Maaysia

Berita Harian X