Sabtu, 14 Disember 2019 | 11:00am
Graduan perlu melengkapkan diri seiring perkembangan teknologi semasa. - Foto hiasan

Graduan perlu jadi 'pencipta pekerjaan'

SUDAH penat belajar selama bertahun-tahun demi menggenggam segulung diploma atau ijazah, akhirnya tidak mendapat sebarang pekerjaan bersesuaian dengan kelulusan dan bidang diambil, malah terpaksa pula menganggur untuk tempoh lama.

Apabila belum mendapat pekerjaan, macam-macam alasan kita dengar seperti graduan tidak memiliki kemahiran berkomunikasi dengan baik, program diambil tidak menepati kehendak industri, malah pekerjaan sedia ada sudah diambil alih pekerja asing.

Berikutan itu, ramai graduan terpaksa bekerja ‘sementara’ dalam bidang yang sama sekali tidak mencerminkan pencapaian mereka dari segi akademik, demi mencari pendapatan untuk menampung kos sara hidup tinggi. Contohnya, bekerja di restoran makanan segera, pemandu e-hailing seperti Grab dan bekerja dengan syarikat penghantar makanan.

Walaupun ada pihak berpendapat tidak salah graduan ini bekerja dengan pendapatan kecil bagi mencari pengalaman, namun berapa lama mereka mampu bertahan sebelum mendapat kerja tetap bersesuaian dengan bidang diceburi atau menjadi cita-cita mereka sejak di bangku sekolah lagi.

Data terkini menunjukkan 60 peratus siswazah peringkat pengajian ijazah pertama dan ke atas masih menganggur selepas setahun menamatkan pengajian mereka. Fakta itu berdasarkan dapatan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2018 Kementerian Pendidikan (KPM).

Bilangan graduan belum bekerja selepas setahun tamat pengajian bagi peringkat pengajian Ijazah Pertama dan ke atas adalah 30,765 orang atau 59.9 peratus daripada 51,365 graduan yang belum bekerja.

Persoalan sering diutarakan adakah kadar kebolehpasaran graduan sesebuah universiti boleh tercapai 100 peratus? Walaupun ada pihak berpendapat sasaran itu boleh dicapai, pada masa sama agak mustahil kerana ada juga sebahagian kecil graduan yang memang tidak bersedia memasuki pasaran pekerjaan.

Memetik laporan Jabatan Perangkaan Malaysia 2018 menunjukkan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah negara ini meningkat kepada 9.4 peratus, iaitu 204,000 mewakili 40 peratus kadar pengangguran keseluruhan negara, iaitu sekitar 516,000 orang.

Keadaan ini agak membimbangkan kerana pengangguran graduan di Malaysia berada pada kadar 10.8 peratus berbanding negara lain seperti Singapura (4.6 peratus); Thailand (5.9 peratus) dan Vietnam (7.9 peratus).

Kadar pengangguran yang meningkat ini menyebabkan pelbagai polemik dilemparkan kepada mahasiswa sehingga ada mempersoal serta merendahkan mutu graduan universiti tempatan, khususnya universiti awam (UA) kerana gagal menyediakan program yang sejajar dengan keperluan kehendak industri semasa.

Berikutan itu, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) menggugurkan 38 program akademik di 19 universiti awam (UA) di seluruh negara kerana dikatakan tidak lagi relevan dengan kehendak industri dan menjanjikan peluang pekerjaan terbaik kepada graduan.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) turut menyarankan agar pengurusan universiti memendekkan proses kajian, semakan dan pelaksanaan penawaran program pengajian baharu kepada enam bulan berbanding mengambil masa beberapa tahun sebelum ini.

Berdasarkan situasi berlaku, setiap graduan tidak sewajarnya hanya mampu melihat dan kekal menjadi ‘pencari pekerjaan’ atau job seeker selepas bergraduasi, sebaliknya mereka sedia berubah dan menjadi ‘pencipta pekerjaan’ atau job creator.

Mereka barangkali boleh menceburi bidang baharu seperti perniagaan berdasarkan kepada kecanggihan teknologi seperti internet dan digital yang menjanjikan pendapatan lebih lumayan berbanding makan gaji.

Sama ada seseorang graduan ini sudah bersedia atau tidak memiliki kemahiran yang diperlukan, mereka tetap perlu melengkapkan diri untuk berubah kerana sudah banyak pekerjaan konvensional beralih kepada teknologi moden.

Revolusi Industri Keempat (IR4.0) meramalkan banyak pekerjaan konvensional yang menggunakan tenaga manusia akan beralih kepada teknologi, internet dan digital, kecerdasan buatan (AI) serta data raya memerlukan anjakan perubahan bakat yang drastik dalam kalangan generasi muda hari ini dan masa depan.

Langkah memperkasakan budaya keusahawanan pada peringkat universiti juga perlu dilaksana dan diperluaskan bagi menggalakkan mahasiswa dan graduan memiliki minda keusahawan seawal tahun pertama pengajian mereka.

Apa pun pilihan terakhir terletak kepada graduan itu sendiri. Adakah mereka mahu ceburi bidang pekerjaan sama seperti program yang diikuti di universiti ataupun berubah ke bidang lain, kerana yang lebih penting mereka tidak terus menganggur.

Penulis ialah Pengarang Kandungan Bahasa Melayu, Jabatan Vertikal Pendidikan NSTP

Berita Harian X