Selasa, 10 Disember 2019 | 11:00am
Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu bergambar bersama barisan kepimpinan selepas Konvensyen Nasional 2019 Parti Amanah Negara di IDCC Shah Alam, Selangor. - Foto Saddam Yusoff

Rahmatan Lil 'Alamin kunci kejayaan AMANAH

“Saya bersedia ke jawatan lebih bawah, tetapi mereka (Jawatankuasa Pimpinan Nasional) mahu mengekalkan saya (jawatan Presiden).”

Itu penegasan Mohamad Sabu ketika menjawab pertanyaan wartawan berhubung isu beliau bukan pilihan utama 822 perwakilan yang mengundi Jumaat lalu. Menteri Pertahanan itu sekadar berada di tempat ketujuh dengan 681 undi.

Tidak perlu menunggu lama, Pengarah Komunikasi parti, Khalid Samad, yang memperoleh undian tertinggi dengan meraih 786 undi dan Datuk Mahfuz Omar, secara spontan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada sosok tubuh yang juga mesra dipanggil Abang Mat.

Nada sama turut dilontarkan Datuk Seri Salahuddin Ayub pada sidang media itu. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu dan Mahfuz yang masing-masing kekal sebagai Timbalan dan Naib Presiden memperoleh undian ketiga dan kedua tertinggi daripada perwakilan.

Inilah uniknya sistem pemilihan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang dilaksanakan buat kali pertama. Yang meraih undian tertinggi, sekali gus menjadi pilihan utama perwakilan bukan secara automatik diberi pertimbangan dalam mengisi jawatan tertinggi parti.

Namun, bersandarkan konsep Rahmatan Lil ‘Alamin di bawah parti jingga itu, keputusan mengekalkan jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden hanya diputuskan dalam tempoh kurang lima minit.

Keputusan sebulat suara itu dicapai demi memastikan kesinambungan dan keberkesanan barisan kepemimpinan dalam mempersiapkan parti menghadapi cabaran politik semasa atau lebih tepat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Laut mana tidak bergelora, bahtera mana tidak pernah dilambung ombak. Begitu juga AMANAH. Meskipun presiden tegas mengatakan ia sebuah parti paling stabil dalam Pakatan Harapan (PH), jangan dikesampingkan kemarau dan tengkujuh yang sesekali menjengah.

Mengambil kira perjalanan Konvensyen Nasional AMANAH 2019 selama tiga hari berakhir Ahad lalu, ia sarat dengan kritikan dan teguran khususnya kepada pemimpin dalam Kabinet.

Sehingga ke peringkat perwakilan mengkritik dengan melayangkan surat kepada Speaker meminta kepemimpinan lebih serius, peka dan fokus mendengar perbahasan berbanding sibuk mengunyah kacang, membelek telefon dan membaca surat khabar.

Atas nama kebebasan bersuara juga, 16 wakil negeri dan sayap membangkitkan kejayaan, kepincangan dan kelemahan berlaku sepanjang 19 bulan PH memegang tampuk kerajaan pada sesi perbahasan Pidato Presiden.

Bukan sedikit mereka lontarkan, semua aspek diperkatakan, terutama kemarahan rakyat terhadap beberapa dasar kerajaan yang bukan bersifat populis. Sehingga terhambur ayat, ‘antara projek kerajaan paling tak guna sehingga pemimpin bawahan malu untuk mempertahankannya.’

Maka timbul cadangan supaya tindakan bersifat populis diambil kira dalam pelaksanaan dasar dan perubahan dilaksana kerajaan pasca PRU-14. Wakil Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly, mengutarakan konsep MIC, iaitu maintain (kekal), improve (menambahbaik) dan change (ubah), bukan mengguna pakai konsep CIM, iaitu change, improve dan maintain.

Dengan sembilan kepemimpinan AMANAH dalam kerajaan ditunjangi Tun Dr Mahathir Mohamad, hampir semua dasar kementerian membabitkan pimpinan parti disentuh dalam perbahasan.

Ada sedikit tersasar atau barangkali terlebih yakin, mahu kepemimpinan parti mengambil alih kementerian diterajui parti lain. Alasan diberi tiada pembaharuan dilakukan, khususnya dalam menangani persepsi rakyat dan kegagalan sistem komunikasi serta penyampaian kerajaan.

Salahuddin dalam ucapan penggulungan menegaskan pimpinan bersedia ditegur, tetapi berharap konvensyen akan datang memperlihatkan kematangan perwakilan apabila hanya menegur dan mengkritik kementerian dinaungi parti sendiri.

“Saya rasa mana-mana konvensyen, perhimpunan agung parti elak menegur pimpinan parti lain, nanti jika mereka adakan konvensyen belasah menteri kita, kita pun terasa, lebih baik kita fokus kepada menteri kita,” tegas Ahli Parlimen Pulai itu.

Dalam konteks cabaran hari ini, sewajarnya AMANAH yang sering menyatakan iltizam berperanan mengukuhkan kesepakatan dalam PH, menonjolkan sisi lebih baik menerusi komitmen perwakilan dan pemerhati untuk hadir ke konvensyen berkenaan.

Soal ini menarik perhatian Penasihat Umum parti, Datuk Seri Ahmad Awang, yang mahu parti pelbagai bangsa itu melakukan bedah siasat berhubung kehadiran pemerhati yang kurang memberangsangkan.

“Saya lihat banyak kerusi kosong, nampak putih sahaja di kiri dan kanan pentas,” katanya.

Jangan kerana isu kehadiran dan menepati masa, menggagalkan misi sebenar AMANAH untuk menjadi parti yang mampu mengangkat negara dan membela rakyat dengan keindahan dan kecantikan ditawarkan Islam.

Moga konsep Rahmatan Lil ‘Alamin turut dipertimbangkan dalam memilih calon dua lagi kerusi Naib Presiden. Moga ada sinar buat wakil Sabah dan Sarawak yang menuntut kuota itu. Juga sinar buat Wanita.

Penulis adalah Penulis Khas Meja Rencana dan Politik BH

Berita Harian X