Sabtu, 7 Disember 2019 | 11:00am
Kekecohan di pintu masuk dewan pada Persidangan Kongres AMK 2019 di MITC, Ayer Keroh, semalam. - Foto Rasul Azli Samad/BH
Kekecohan di pintu masuk dewan pada Persidangan Kongres AMK 2019 di MITC, Ayer Keroh, semalam. - Foto Rasul Azli Samad/BH

Reformasi perkukuh demokrasi

Ibarat kata pepatah, air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Perjalanan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nasional di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), menyerlahkan maksud pepatah di atas.

Panas diharapkan, akhirnya hujan ribut di tengah hari. Kongres AMK bukan saja dicemari dengan insiden kekecohan dan pergaduhan, malah berdepan pula dengan risiko tidak sah dan dibatalkan serta perlu diadakan semula.

Ia susulan tindakan Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham menegaskan Kongres AMK, semalam tidak sah dan perlu dibatalkan pada sidang media di sebuah resort tidak jauh dari MITC yang menjadi lokasi Kongres AMK dan Wanita PKR berlangsung.

Beliau juga mahu membuat laporan polis dan juga Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi membatalkan kongres itu atas alasan sekretariat kongres menghalang kemasukan lebih 500 perwakilan tetapi membenarkan delegasi yang diragui statusnya menyertai kongres itu.

Jika rancangan Muhammad Hilman menjadi kenyataan, ia dijangka mengheret AMK ke kancah pergeseran tidak berkesudahan, sekali gus menggugat kewibawaan PKR selaku parti tunjang dalam Pakatan Harapan (PH).

Lebih parah, ketika Muhammad Hilman mengadakan sidang medianya, Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pula sedang menyampaikan ucapan penggulungannya di dalam dewan MITC. Ia memberi gambaran hubungan di antara dua pemimpin AMK dan kumpulannya ini ibarat retak menanti belah.

Malah dalam Kongres AMK semalam, berlaku dua kekecohan dan pergaduhan membabitkan perwakilan AMK daripada penyokong Akmal Nasrullah dan Muhammad Hilman. Dalam pada itu, menyorot semula ucapan Akmal Nasrullah dalam penggulungannya, AMK jelas sekali menyokong dan mendesak supaya proses peralihan kuasa mengangkat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kelapan disegerakan.

Beliau turut bersetuju dengan cadangan perwakilan supaya parti memecat mana-mana ahli dan pemimpin yang mengkhianati perjuangan, termasuk bermusuhan dengan kepemimpinan tertinggi.

Walaupun tidak merujuk kepada mana-mana pemimpin, ia jelas ditujukan kepada kumpulan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Muhammad Hilman.

Begitu pun, berdasarkan perkembangan terbaru ini menerusi tindak-tanduk Muhammad Hilman, nampaknya tiada tanda menunjukkan yang krisis kepemimpinan dalam PKR berakhir dalam tempoh terdekat ini.

Malah, ia dijangka akan menjadi lebih hangat kerana turut membabitkan Akmal Nasrullah yang memihak kepada Anwar dengan Muhammad Hilman daripada kumpulan PKR, Azmin.

Natijahnya, pergeseran dalam AMK ini sebenarnya turut menyerlahkan slogan keramat yang sering dilaungkan Anwar - ‘lawan tetap lawan’ sudah meresap dan sebati dalam jiwa ahli AMK.

Ia memberi gambaran PKR adalah parti yang benar-benar demokrasi, menyaksikan perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin adalah sesuatu yang lazim dan bukan sesuatu yang pelik.

Ternyata, budaya ‘lawan tetap lawan’ adalah antara doktrin diterapkan dalam parti itu, terutama jika ingin menzahirkan pandangan, berhujah dan membidas termasuk dalam mesyuarat kepemimpinan tertinggi parti.

Ia diakui seorang pemimpin tertingginya yang mengakui amalan seperti menghentak meja, bertikam lidah dan meninggi suara jika mahu mempertahankan pendapat dalam mesyuarat parti sudah menjadi perkara biasa.

“PKR adalah parti demokrasi, maka sesiapa saja berhak bersuara dan berhujah mempertahankan pendirian mereka. Suasana itu juga normal dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP). Ahli MPP perang mulut dengan Presiden pun perkara biasa.

“Akan tetapi selepas itu, hubungan akan tetap berjalan seperti biasa seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku,” jelas pemimpin PKR itu yang juga seorang timbalan menteri.

Walau apa pun kesudahannya, ahli dan pemimpin PKR harus berpegang kepada amanat Pengerusi Lembaga Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mengingatkan semua pihak supaya menghentikan segala pertelagahan dan kembali kepada landasan asal perjuangan parti memperjuangkan reformasi.

Penulis adalah Penulis Khas Unit Rencana & Politik BH

Berita Harian X