Selasa, 26 November 2019 | 11:00am
Watak Arthur Fleck, nama di sebalik imej supervillain ternama di kota fiksyen Gotham City, The Joke. - Foto screenrant.com
Watak Arthur Fleck, nama di sebalik imej supervillain ternama di kota fiksyen Gotham City, The Joke. - Foto screenrant.com

Antara Joker dan realiti politik tanah air

Watak Arthur Fleck, nama di sebalik imej supervillain ternama di kota fiksyen Gotham City, The Joker, digambarkan sebagai Karakter cukup unik, namun sarat dengan konflik.

Karakter yang digambarkan sebagai musuh utama adiwira Gotham City ciptaan Bill Finger, Bob Kane dan Jerry Robinson itu, membuat penampilan sulung melalui komik Batman pada 25 April 1940.

Namun, sentuhan terkini Todd Philips melalui filem arahannya, Joker, yang menemui penonton tahun ini, menyuntik sisi yang lebih mendalam kepada watak itu.

Dari kaca mata Philips, beliau menggambarkan Fleck membesar dalam keluarga penuh bermasalah. Kariernya sebagai pelawak juga gagal dan masalah kesihatan dihadapi membuatkannya sering ketawa terbahak-bahak tanpa sebab, sehingga bergantung kepada bantuan khidmat sosial untuk mendapatkan ubat.

Hidup Fleck semakin terumbang-ambing selepas bantuan perubatannya dihentikan. Dia juga dibuang kerja berpunca penipuan rakan setugas.

Lebih parah, Fleck tertipu apabila rahsia didedahkan ibunya kononnya dia anak hartawan Gotham City, Thomas Wayne, sebenarnya halusinasi wanita itu, sebelum mendapat tahu dirinya adalah anak angkat yang menjadi mangsa dera ketika kecil.

Ringkasnya penipuan, pengkhianatan, pengabaian segala masalah bertimpa-timpa yang melanda itu, masing-masing menyuntik perincian kepada Karakter mental Fleck. Ia akhirnya diterjemahkan ke dalam watak si penyangak bergelar Joker.

Saya sendiri memang menunggu kehadiran filem ini, namun hanya berpeluang menontonnya pada hujung minggu lalu. Apa boleh simpulkan, filem thriller psikologi ini sangat berbaloi untuk ditonton.

Saya akui Philips bekerja keras untuk menampilkan kekuatan pada dua watak utama iaitu Fleck atau Joker. Pemilihan aktor Joaquin Phoenix juga tepat kerana beliau melakukan tugas yang terbaik menjiwai kedua-duanya.

Secara peribadi, saya melihat kedua-dua watak ini dalam konteks berbeza. Walaupun Gotham City itu fiksyen, saya kira ia sangat sesuai sekali untuk dinilai dalam hiruk-pikuk dunia realiti kita hari ini.

Tetapan lokasi di Gotham City digambarkan sebagai bandar yang penuh jenayah dan korupsi. Tidak keterlaluan ia dibayangkan sebagai negara kita yang juga terpalit skandal rasuah ketika era pentadbiran kerajaan terdahulu.

Kehadiran watak Fleck dan Joker pula, saya lebih melihat kepada aktor politik yang tidak pernah berhenti bermain ‘wayang’. Kelompok ahli politik sebegini, bagi saya tidak ubah seperti Fleck atau Joker yang jelas kondisi mental mereka tidak stabil serta hanya mahu menjayakan agenda peribadi masing-masing.

Dalam filem arahan Philips, Joker ditampilkan sebagai seorang pelawak bermasalah yang cuba mencari tempat dalam kalangan masyarakat.

Namun, siapa sangka Karakter yang tercipta secara tidak sengaja itu serta perilaku uniknya kemudian disanjung warga Gotham City yang sekian lama muak dengan kerenah birokrasi pemimpin.

Bukan sahaja pembunuhan dilakukan Joker ke atas tiga pekerja mabuk Wayne Enterprise disanjung warga Gotham City, malah tindakan itu turut mencetus kacau-bilau dalam bandar berkenaan.

Dalam konteks negara kita, isu kesihatan mental hari ini sudah sedia dibimbangi, namun kita tidak mahu adanya Karakter seperti Fleck atau Joker untuk lebih merosakkan komuniti kita.

Malaysia bernasib baik kerana perubahan kepemimpinan melalui Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) memberi peluang untuk negara ‘berubah’ dan dibersihkan daripada gejala rasuah serta salah guna kuasa yang membarah.

Sekurang-kurangnya kita tidak jadi seperti Gotham City, yang rasuah dan jenayahnya tidak berkesudahan. Usaha menghapuskan korupsi oleh calon Datuk Bandar juga dihalang sehingga membawa kepada pembunuhan beliau.

Kepada aktor politik, nasihat saya sudah-sudahlah pamerkan sifat ‘Joker’ dalam diri masing-masing.

Rakyat tidak mahu melihat ada dalam kalangan anda terus bermain wayang atau mencatur itu dan ini, sedangkan tugas hakiki sebagai pemimpin serta wakil rakyat diketepikan.

Cubalah renung dan ambil iktibar dengan sikap Joker yang jelas lebih mengundang kerosakan. Ingatlah jangan kerana inginkan ‘kedudukan’ sendiri selamat, rakyat pula yang diajak terpalit sama dalam permainan berbahaya anda.

Penulis adalah Penolong Pengarang Rencana & Politik BH

Berita Harian X