Sabtu, 16 November 2019 | 11:00am
Institusi tahfiz kini mendapatkan tempat dalam kalangan ibu bapa menghantar anak. - Foto hiasan

Usah calar imej institusi tahfiz

Kematian murid berusia tujuh tahun, Muhammad Aimin Nurul Amin, akibat didera beberapa rakan senior di sebuah pusat tahfiz tidak berdaftar di Temerloh, Pahang meninggalkan seribu rasa.

Terkejut, kesal dan marah bercampur baur lantaran tragedi berlaku dalam persekitaran yang seharusnya selamat untuk melindungi, menaungi, dan memberikan pendidikan, iaitu di sekolah tahfiz, yang umum tahu bertunjangkan pengajaran dan pendidikan al-Quran.

Walaupun dianggap terpencil, status kes yang membabitkan pusat di luar bandar yang tidak berdaftar, malah beberapa insiden salah laku dilaporkan media massa sebelum ini, sedikit sebanyak mencalarkan imej institusi berkenaan.

Sebetulnya insiden ini bagaikan jam penggera untuk kita mengambil langkah drastik menangani tragedi meragut nyawa dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.

Selain isu pusat tidak berdaftar, syarat pengambilan murid khususnya untuk ditempatkan di asrama juga perlu diperhalusi.

Pada usia terlalu muda, iaitu tujuh hingga 12 tahun, agak tidak sesuai dengan keupayaan kecil mereka untuk menguruskan disiplin harian. Sungguhpun ada segelintir kanak-kanak kelihatan besar dari segi fizikal, kematangan fikiran mereka belum cukup sempurna.

Saya percaya dalam tragedi dera hingga membawa maut seperti berlaku di Madrasah Nahdhah Syubban Addiniyah di Kampung Kuala Kuang, Lanchang itu, si pelaku juga tidak mengetahui implikasi perbuatan memukul boleh membawa maut.

Dalam kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2 petang di Klinik Kesihatan Lanchang selepas ditemui dalam keadaan lemah oleh warden asrama dengan kesan lebam di beberapa bahagian badan lantaran dipukul.

Saya kira, cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) supaya sekolah tahfiz di negara ini dikelola kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi mengelak berlakunya kejadian keganasan perlu diberikan perhatian.

Tindakan itu, bagi membolehkan mana-mana sekolah dipantau, sama ada menerusi kualiti pendidikan atau dari segi keselamatan.

Dalam keadaan hari ini, apabila sebuah sekolah atau institusi pendidikan dibuka dan menawarkan sesuatu bentuk pendidikan diingini, ibu bapa lebih teruja tanpa mengambil kira sama ada pusat berkenaan berdaftar atau sebaliknya.

Jika tidak, manakan lebih 700 pusat tahfiz di negara ini masih dalam proses pendaftaran atau langsung belum berdaftar mempunyai pelajar.

Sehingga 2018, dianggarkan ada 815 maahad tahfiz swasta, dengan 47,474 pelajar serta 5,426 guru di seluruh negara.

Angka itu menunjukkan sekolah aliran keagamaan semakin mendapat tempat di hati ramai ibu bapa. Lantaran itu, usaha membentuk generasi muda pewaris masa depan memerlukan perancangan dan usaha berterusan.

Jangan kerana sikap kita mengambil mudah isu berhubung keselamatan premis dan sukatan mata pelajaran diterima, kanak-kanak pula menjadi korban.

Penulis adalah wartawan Meja Sastera & Agama Berita Harian

Berita Harian X