Jumaat, 15 November 2019 | 11:00am
Foto dari laman Facebook gambar Tengku Razaleigh Hamzah.
Perhatian seluruh negara kini terarah kepada Tanjung Piai yang bakal menentukan wakil mereka esok.

Politik sarat elemen serba mungkin

Dua hari lalu, terpapar dalam laman Facebook gambar Tengku Razaleigh Hamzah, bersama sekumpulan pemimpin politik pembangkang nasional dan dari dua negeri seberang Laut China Selatan.

Tiada keterangan terperinci disertakan bersama gambar figura politik mewakili kepemimpinan UMNO, PAS serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan pembangkang dari Sabah itu, cuma lokasinya dinyatakan adalah kediaman bekas Menteri Kewangan berkenaan.

Dalam ruang komen, terselit persoalan apakah kerabat diraja Kelantan itu yang lebih popular dipanggil Ku Li mahu diangkat sebagai teraju gabungan pembangkang.

Jika tidak sekarang, mungkin menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Dalam reaksi yang menyusul, ada yang memberi usul agar tokoh politik berusia 82 tahun ini diangkat sebagai Perdana Menteri, jika pembangkang menang PRU-15 yang perlu diadakan selewat-lewatnya empat tahun lagi.

Jika mahu berbicara mengenai bekerja dan menggalas tanggungjawab berat memimpin negara, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah menetapkan ‘standard’ tinggi yang mengundang rasa kagum dunia.

Dalam UMNO, tidak ramai melihat tanggungjawab besar itu boleh digalas semula oleh Datuk Seri Najib Razak.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mungkin ada peluang, namun banyak pula kes mahkamah dihadapi, ditambah pula sokongan terhadapnya dalam UMNO juga tidak sekukuh sebelum ini.

Dalam senarai kepemimpinan semasa UMNO dan BN, pemimpin dilihat hampir menepati ciri untuk menjadi Perdana Menteri, mungkin Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan atau bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein atau Khairy Jamaluddin.

Andai PH terus memegang kuasa pada PRU-15 nanti, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah lama diumumkan sebagai Perdana Menteri kelapan atau mungkin juga mengisi jawatan itu lebih awal lagi, seperti apa yang dipersetujui dan dimaklumkan oleh pemimpin utama pakatan.

Jaminan diberikan kepada Anwar bagaimanapun masih dipersoalkan, malah Presiden PKR itu juga dikatakan berdepan halangan dari kalangan pemimpin tertentu dalam partinya sendiri.

Jika rezeki tidak memihak beliau, mungkin ia tuah untuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atau mungkin juga pemimpin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Semuanya adalah kemungkinan bak kata tokoh politik terkenal Jerman, Otto Von Bismarck, politic is the art of the possible. Politik adalah seni kemungkinan dan tidak semua yang dirancang atau diramal boleh menjadi kenyataan.

Kini, ramalan terarah pula ke Tanjung Piai yang akan memilih wakil rakyat baharu Sabtu ini. Pertembungannya adalah enam penjuru, namun yang lebih diperkatakan adalah saingan di antara BN dan BERSATU.

Ada yang meramalkan kerusi Parlimen di penghujung benua Asia itu kekal milik BERSATU, sebahagian lagi menjangka calon BN akan menjadi wakil rakyat baharu dan tidak kurang juga menelah kemenangan untuk calon wanita kacukan Cina dan India mewakili GERAKAN.

Penulis adalah Pengarang Berita Kanan BH

Berita Harian X