Selasa, 8 Oktober 2019 | 11:02am

Gejala rasuah gugat integriti generasi muda

AMAT membimbangkan apabila data dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini menunjukkan penjawat awam yang terbabit dalam gejala rasuah membabitkan ramai golongan muda berusia bawah 40 tahun.

Peratusan besar menimbulkan persoalan - Apa akan terjadi kepada negara jika ia tidak dibendung pada peringkat awal?

Statistik 2014 hingga 2019 menunjukkan 46.3 peratus daripada 4,860 individu ditahan atas kesalahan rasuah adalah penjawat awam. Generasi muda berusia bawah 40 tahun pula merangkumi 53.4 peratus.

Soal selidik SPRM mendapati 22.1 peratus responden sanggup menerima rasuah jika mempunyai kuasa atau kedudukan dalam jawatan disandang. Kajian Bank Dunia juga menyatakan kira-kira 51.4 peratus firma atau syarikat pembuatan di Malaysia bersedia menawarkan ‘hadiah’ untuk mendapatkan kontrak kerajaan.

Hasil tinjauan Institut Integriti Malaysia (IIM) mengenai persepsi pelajar terhadap rasuah pula mendapati, seorang daripada tiga pelajar universiti tempatan berpendapat, menerima habuan sebagai balasan untuk perkhidmatan diberikan bukan rasuah.

Kaji selidik sama turut menunjukkan 28.1 peratus responden berpendapat tidak menjadi kesalahan bagi mereka mengambil harta atau barangan milik syarikat seperti pemacu pena, dakwat mesin pencetak atau kertas bagi kegunaan peribadi. Malah, 37.3 peratus responden menganggap perlakuan mengemukakan tuntutan untuk tugasan luar walaupun ada tajaan penuh bukan satu kesalahan moral.

Berdasarkan kajian dijalankan SPRM yang membabitkan kira-kira 1000 pelajar universiti, 16 peratus daripada mereka sanggup menerima rasuah, manakala 18.5 peratus pula sanggup menerima rasuah jika tiada apa-apa tindakan diambil terhadap perbuatan mereka.

Persoalannya apakah tindakan sepatutnya diambil bagi menghentikan gejala rasuah, selain hukuman berat yang wajar dikenakan terhadap penerima dan pemberi rasuah.

Jika usaha membanteras gejala rasuah tidak dimulakan pada peringkat awal terutama di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT), generasi muda akan beranggapan perlakuan rasuah sebagai amalan biasa, seolah-olah ‘dibolehkan’ dalam masyarakat kita.

Mengambil kira kes yang berlaku membabitkan isu menjual MyKad dan sijil kelahiran kepada rakyat asing di Pulau Pinang baru-baru ini, cukup membimbangkan kerana ia sudah pasti turut membabitkan gejala rasuah.

Lebih mengejutkan antara individu ditahan pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berusia awal 30-an.

Pada usia muda begini, penjawat awam sepatutnya membina kerjaya dan memperkasa integriti serta memperkukuhkan aspek kepemimpinan, sekali gus menjadi contoh kepada masyarakat serta penjawat awam lain agar mempersiapkan diri mengambil tanggungjawab lebih besar suatu hari nanti.

Rata-rata gejala rasuah berlaku membabitkan pegawai kerajaan terutama dari bahagian penguat kuasa yang sudah pasti berada di barisan hadapan dan menjaga ‘pintu masuk’ utama negara. Jika berlaku rasuah, pasti negara dalam keadaan bahaya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, dipetik berkata agak mustahil untuk sindiket membolosi kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara sama ada di sempadan, lapangan terbang dan pelabuhan jika tiada bantuan ‘orang dalam’ yang tidak berintegriti itu.

Pelbagai kaedah diperkenal bagi mengekang gejala rasuah seperti butiran data asid deoksiribonukleik (DNA) ke dalam sijil setiap warganegara atau penggunaan kamera badan pada pegawai penguat kuasa. Ia antara langkah terbaik bagi mengatasi salah guna kuasa, walaupun mungkin membabitkan kos yang tinggi.

Teknologi hanya boleh membantu, tetapi tidak menjanjikan 100 peratus boleh mengekang penipuan.

Justeru, perkara utama diperlu dilakukan adalah menyemai budaya benci rasuah pada peringkat awal lagi dengan didikan agama, bermula di sekolah, apatah lagi di universiti kerana graduan muda akan memasuki alam pekerjaan sebaik meninggalkan menara gading.

Penulis adalah Pengarang Kandungan Bahasa Melayu, Vertikal Pendidikan NSTP

Berita Harian X