Sabtu, 5 Oktober 2019 | 11:00am
Jabatan Pendidikan Tinggi.

Program UA perlu ikut keperluan

Keputusan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) menggugurkan 38 program akademik di 19 universiti awam (UA) seluruh negara kerana dilihat tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa serta tidak menjanjikan peluang pekerjaan terbaik kepada graduan bukan satu perkara baharu dalam landskap pendidikan tinggi negara.

Dari semasa ke semasa, universiti sentiasa membuat penilaian dan semakan terhadap kurikulum program pengajian yang ditawarkan supaya kekal relevan dengan kehendak industri sehingga menyebabkan beberapa program terpaksa diperbaharui, digabungkan atau digugurkan untuk digantikan dengan program pengajian baharu yang lebih kompetitif dan berdaya saing.

Pada mulanya saya juga tertanya-tanya kenapa JPT menggugurkan banyak program berkaitan pengajian sains dan kejuruteraan yang sebelum ini menjadi pilihan pelajar cemerlang, sehingga menimbul persoalan adakah kedua-dua bidang berkenaan sudah tidak lagi menjanjikan peluang pekerjaan atau tidak lagi relevan pada masa depan dengan kebanyakan cabang pekerjaan bakal dikendalikan secara automasi.

Kedengaran seperti agak susah untuk dipercayai kerana berdasarkan kajian Kebolehpasaran Graduan 2018 dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) menunjukkan bidang pengajian kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan berada pada kadar yang tertinggi iaitu 83.4 peratus.

Jika diteliti, sebenarnya kebanyakan kursus yang dimansuhkan itu bukanlah program utama kejuruteraan dan sains sebaliknya kursus pecahan atau minor yang terlalu menjurus kepada pengkhususan tertentu.

Antaranya program sarjana muda kejuruteraan mekanik bagi pengajian reka bentuk produk, kejuruteraan pembuatan, kejuruteraan elektrik telekomunikasi dan kejuruteraan elektronik komunikasi yang secara keseluruhannya mungkin boleh ditawarkan sebagai mata pelajaran pilihan pengkhususan atau majoring dalam program kejuruteraan utama di sesebuah UA atau institusi pengajian tinggi (IPT). Langkah dibuat JPT itu dilihat wajar dan selari dengan usaha kerajaan yang mahu memastikan lepasan UA mampu memperoleh pekerjaan setimpal dengan kelulusan mereka, selain mengelak peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan siswazah.

Jika kadar pengangguran siswazah semakin meningkat, sudah tentu pihak yang akan disalahkan ialah universiti itu sendiri kerana gagal menyediakan program yang mampu memberi peluang pekerjaan kepada graduan.

Dalam hal ini, saya berpendapat universiti bukan sahaja perlu menggugurkan program pengajian yang tidak lagi relevan ini tetapi juga turut mengubah konsep pengajian di universiti yang lebih menjurus kepada teori semata-mata supaya graduan memiliki pelbagai kemahiran insaniah dan lebih berdaya saing dalam dunia pekerjaan.

Tidak perlu lihat jauh, lihat saja kepada program pengajian komunikasi media yang pernah penulis ikuti ketika di universiti dulu, boleh dikatakan beberapa subjek sahaja yang relevan dengan industri pekerjaan, selebihnya adalah untuk melengkapkan jam kredit pengajian malah ada yang tidak digunakan langsung dalam dunia pekerjaan pada hari ini.

Itu belum lagi diambil kira dengan tenaga pengajar yang tidak pernah mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam industri, sekali gus menyebabkan mereka tidak dapat berkongsi situasi serta cabaran sebenar dunia pekerjaan dengan pelajar masing-masing.

Dunia sudah berubah, landskap pekerjaan juga berubah seiring dengan kecanggihan teknologi sehingga menyebabkan muncul lebih banyak pekerjaan baharu yang kita tidak terfikir akan ada pada 10 atau 15 tahun dulu seperti arkitek data raya, saintis data, eksekutif pemasaran media sosial serta pakar pembangun IOS dan Android.

Sewajarnya cara pembelajaran di universiti juga perlu membuat perubahan dan keputusan kerajaan untuk menstruktur semula proses pengajaran dan pembelajaran di UA supaya selaras dan relevan dengan keperluan semasa, khususnya dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan diharap dapat menyumbang kepada berlakunya anjakan dalam ekosistem pendidikan tinggi negara pada masa depan.

Penambahbaikan itu termasuk memberi lebih tumpuan kepada kemahiran dan keupayaan graduan, kaedah pengajaran oleh pensyarah akan dinilai semula dan membawa masuk kira-kira 30 peratus kepakaran dari industri sebagai tenaga pengajar di setiap universiti dalam bidang berkaitan.

Kemampuan graduan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mencapai peratus kebolehpasaran yang lebih tinggi pada tahun lalu iaitu 88.9 berbanding graduan IPT tempatan (80.2) juga menunjukkan bidang kemahiran lebih banyak menjanjikan peluang pekerjaan kepada graduan.

TVET sepatutnya menjadi satu lagi cabang pengajian yang perlu diberi penekanan oleh kerajaan sejak lama dulu malahan di kebanyakan negara maju seperti Jerman dan Jepun, graduan TVET memonopoli industri pekerjaan dan menerima gaji setimpal dengan kemahiran masing-masing.

Apa pun usaha dibuat oleh universiti dan kerajaan untuk membantu mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan siswazah, ia perlu dilihat dari sudut positif dan mendapat sokongan ramai pihak supaya objektif utama membantu graduan mendapatkan pekerjaan dapat dicapai.

Penulis adalah wartawan Varsiti Vertikal Pendidikan NSTP

Berita Harian X