Isnin, 30 September 2019 | 10:30am
Pelancong luar negara bergambar dengan pokok durian kura-kura.

Elak khazanah endemik kita dicuri

“Wartawan tak ada isu lain nak tulis ke? Pasal biji durian kena seludup pun nak jadi bahan cerita. Banyak lagi isu penting boleh tulis.”

Itu antara komen di Facebook yang berkongsi laporan eksklusif BH berkenaan kegiatan pelancong warga asing menyeludup benih spesies endemik.

Mungkin bagi sesetengah pihak isu ini remeh, namun jika difahami ia sebenarnya merugikan kita, terutama petani tempatan.

Buah-buahan liar dan nadir, terutama spesies endemik, memiliki potensi besar jika dimanfaatkan dengan cara betul.

Jika orang asing nampak potensi biji benih buah-buahan endemik tempatan untuk dijual di pasaran luar, mengapa tidak orang kita. Jual biji benih sahaja boleh menjana pendapatan, walaupun secara sampingan.

Biji benih durian kura-kura contohnya dijual RM10 setiap satu. Di luar negara, ada yang menjual sehingga AS$15 (RM62) sebiji.

Durian kura-kura hanya boleh didapati di Kepulauan Borneo seperti di Sabah, antara terlaris sehingga ada pelancong warga asing sanggup masuk ke ceruk pedalaman semata-mata untuk bertemu’ spesies liar itu

Durian sahaja mempunyai ratusan jenis, namun bukan semua boleh dimakan dan dikomersialkan. Bentuk luar dan ada yang mempunyai isi berwarna merah, jelas memukau penggemar atau pengumpul raja buah ini.

Sabah dan Sarawak dianggap hab pelbagai jenis hasil hutan - bukan sahaja durian yang jarang ditemui, tetapi buah nadir dan liar lain seperti isau iaitu sejenis longan yang dikatakan rasanya lebih manis berbanding longan di pasaran. Keunikan ini menjadikannya begitu berharga.

Hairannya, bagaimana pelancong asing begitu licik menyeludup dan menjual benih buah-buahan endemik negara di pasaran gelap tanpa sebarang masalah?

Mereka berselindung sebagai pelancong yang menggemari durian, memahami kelompongan khususnya dari segi penguatkuasaan berkaitan pengimportan benih.

Seorang wanita Amerika Syarikat (AS) mendakwa pernah berhubung dengan Jabatan Pertanian Malaysia dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mengetahui proses serta undang-undang berkaitan benih.

Namun, wanita itu mengakui sukar memahaminya kerana ia dikawal selia tiga agensi, termasuk Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Bagaimanapun, wanita itu masih menjual benih berkenaan ke luar negara, malah turut membekalkannya kepada rakan di Costa Rica, yang mengendalikan laman sesawang khas untuk menjual benih buah-buahan unik serata dunia.

Hanya menggunakan perkhidmatan kurier, benih ditempah dihantar tanpa masalah.

Seorang pegawai perkhidmatan Pos Malaysia memberitahu kakitangan di kaunter memang mengingatkan pelanggan agar tidak menghantar benda terlarang, malah dimaklumkan semua bungkusan akan dihantar ke Hab Antarabangsa Pos Malaysia (PMIH) di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), untuk pemeriksaan menerusi mesin imbasan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Namun, belum ada benih ditemui pegawai JKDM di PMIH dan untuk mengenal pasti bahan itu dalam bungkusan menerusi mesin imbasan memerlukan pegawai berpengalaman.

Itu kelompongan prosedur operasi standard (SOP) dan penguatkuasaan perlu dimartabatkan.

Satu lagi dari aspek membimbangkan ialah berkaitan penyelidikan dan pembangunan (R&D) hasil hutan endemik. Ia belum meluas, seperti diakui bekas penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) - yang enggan nama disiarkan - yang hampir empat dekad bergelar penyelidik.

Saya sendiri pernah terbaca artikel disiarkan akhbar bahasa Inggeris tempatan, yang mana paten jus manggis dipegang sebuah syarikat AS walaupun buah itu hanya ditemui di Malaysia dan beberapa negara Asia Tenggara lain.

Maksudnya, jika mengekstrak jus manggis dan mengkomersialkannya, kita perlu membayar kepada pemegang paten. Hal sama berlaku kepada paten ekstrak Tongkat Ali yang dipegang sebuah syarikat AS serta ketum yang mana sebuah syarikat Jerman menghasilkan pil tenaga menggunakan daun itu.

Sampai bila kita harus amal sikap tunggu dan lihat. Ini bukan masa untuk wujudkan jawatankuasa apabila sesuatu isu timbul. Kita ramai pakar, tetapi tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Begitu juga soal akta yang sudah ada, tetapi penguatkuasaan lemah.

Sudah tiba masanya bakat tempatan ditonjolkan dengan melantik universiti tempatan menjalankan kajian. Segala penemuan seperti khasiat dibukukan atau disenaraikan sebagai warisan kebangsaan, bagi memastikan tiada pihak luar menuntut dan mengakui bahawa spesies berkenaan milik mereka.

Penulis adalah wartawan Meja Khas Berita Harian

Berita Harian X