Rabu, 18 September 2019 | 11:00am
Gambar fail, Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi serta perwakilan melaungkan slogan BERSATU selepas menyanyikan lagu Perjuangan Kita pada Perhimpunan Agung Tahunan PPBM kali ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) tahun lalu. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Strategi di sebalik BERSATU tangguh pemilihan

Pada 8 September lalu, genap tiga tahun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ditubuhkan. Mengikut perlembagaan parti itu, setiap tiga tahun, perlu diadakan pemilihan parti.

Untuk tahun ini, pemilihan kali pertama parti itu ditangguhkan berikutan penyelesaian urusan pentadbiran, selain penumpuan parti kepada pindaan perlembagaannya dan penubuhan cawangan dan bahagian.

Kemasukan BERSATU ke Sabah dan Sarawak juga antara sebab mengapa mesyuarat dan pemilihan parti ditangguhkan dan menjelang akhir tahun ini, enam bahagian BERSATU dan beberapa cawangan akan mula beroperasi di Sarawak.

Jelas, penangguhan mesyuarat cawangan, bahagian dan pemilihan parti itu bagi membolehkan parti menguruskan hal ehwal parti selaras dengan peraturan dan perlembagaan parti supaya tidak timbul masalah atau rungutan dalam kalangan ahli.

Ada yang menyatakan penangguhan itu sebagai strategi memberi laluan kepada ahli baharu parti, terutama bekas pemimpin UMNO yang masuk BERSATU untuk bertanding seterusnya menempatkan diri dalam barisan kepemimpinan parti.

Mengikut perlembagaan parti, mana-mana ahli boleh dicalonkan dan layak bertanding merebut jawatan sama ada di cawangan, bahagian dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) jika mendaftarkan diri dalam tempoh setahun pendaftaran keahlian.

Tempoh akhir pendaftaran keahlian untuk BERSATU adalah pada 31 Disember ini, bermakna sesiapa sahaja yang mendaftarkan diri sebagai ahli sebelum 31 Disember ini mereka boleh dipilih, dicalonkan dan berdaftar untuk merebut jawatan dalam parti tidak kira pada peringkat cawangan, bahagian mahu pun MPT.

Apa pun strateginya, sememangnya BERSATU memerlukan kepemimpinan sedemikian lebih-lebih lagi parti itu memerlukan lebih ramai keahlian bukan untuk bersaing dengan parti Melayu yang lain, tetapi demi mengukuhkan lagi kedudukannya dalam Pakatan Harapan (PH) dan arena politik tanah air.

Selepas setahun PH mentadbir, ramai yang melihat parti itu masih jauh ketinggalan dari segi pengaruhnya walaupun Pengerusinya kini adalah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Malah, seorang pimpinan dalam MPT parti itu menyatakan parti itu akan kalah pada pilihan raya jika ia diadakan dalam tempoh terdekat.

Perkara sama turut disuarakan Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi yang menyatakan BERSATU dan Parti Amanah Negara (AMANAH) belum mampu menggantikan UMNO dan PAS dalam memperjuangkan isu Melayu dan Islam.

Ada juga cakap-cakap menyatakan BERSATU belum menjuarai sokongan rakyat kerana kebimbangan ramai mengenai nasib parti selepas Dr Mahathir tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Kebimbangan juga kepada pengganti yang sesuai untuk Dr Mahathir walaupun parti itu mempunyai nama besar seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Timbalan Presiden.

Bukan memperlekehkan kemampuan Muhyiddin dan Mukhriz, tetapi mereka masih ragu dengan kepemimpinan pada peringkat MPT yang kurang menonjol dan seakan dibayangi aura yang ada pada tiga tokoh itu.

Bagi Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya, parti itu mempunyai ramai pemimpin yang berkaliber dan berbakat cuma kurang menonjol kerana parti itu masih baharu berbanding parti lain dalam PH.

Kepemimpinan bakal terserlah selepas selesai pemilihan parti yang menyaksikan bukan hanya nama-nama besar, tetapi pemimpin pada peringkat bahagian dan negeri, termasuk dalam kalangan sayap parti, Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Apa pun naratif yang dibawa orang luar mengenai parti itu, bagi Marzuki, kepemimpinan pada semua peringkat parti sememangnya aktif bekerja bukan hanya menambahkan jumlah keahlian, malah memastikan pentadbiran parti berjalan lancar dan tersusun.

“Kami bekerja dan tidak menunjuk-nunjuk, adalah lebih baik bekerja dalam senyap berbanding ‘bising’ tanpa berbuat apa-apa,” katanya.

Penulis adalah wartawan Meja Rencana & Politik Berita Harian

Berita Harian X