Jumaat, 30 Ogos 2019 | 11:00am
Keratan akhbar BH pada 11 Ogos lalu.

Jangan jadi macam pahat dengan penukul

Pendedahan demi pendedahan pelbagai isu menyelubungi kelompok masyarakat dan rakyat negara ini, dibuat secara berterusan oleh akhbar Berita Harian (BH) demi menampilkan kelainan dalam aspek liputan pemberitaan serta laporan kepada pembaca setia sambil mendepani saingan media sosial dalam persekitaran ledakan teknologi maklumat kini.

Sama ada pendedahan itu disiarkan dalam bentuk berita eksklusif atau laporan khas yang komprehensif meliputi paparan dua atau tiga muka surat, yang pasti ia membabitkan kepentingan rakyat yang amat mengharapkan pembelaan terhadap sesuatu isu dan masalah dihadapi dalam kehidupan mereka.

Sepanjang membuat liputan di lapangan, bukan nama atau penghormatan dikejar penulis, sebaliknya cukup apabila melihat masalah dihadapi masyarakat diambil tindakan atau diselesaikan pihak berkuasa susulan laporan atau pendedahan disiarkan BH, yang menjadi satu kepuasan.

Daripada laporan mengenai pesakit memerlukan bantuan kewangan untuk menjalani pembedahan kritikal hingga usaha menggerakkan kesedaran massa terhadap sesuatu isu seperti pencemaran atau mengejutkan pihak berkuasa supaya segera menyelamatkan hasil negara daripada dikaut pihak tidak bertanggungjawab, ia adalah sebahagian tanggungjawab BH kepada masyarakat.

Laporan yang disiarkan itu bukan berniat menjatuhkan mana-mana pihak, sebaliknya mahu kepincangan yang berlaku segera ditangani atau sekurang-kurangnya ia segera disiasat hingga ke akar umbi dan diambil tindakan tegas oleh pihak berwajib yang mempunyai kuasa lebih besar.

Malangnya, sesetengah pegawai kanan jabatan kerajaan cenderung menyembunyikan kepincangan meskipun selepas didedahkan dan disalurkan maklumat, sebaliknya cuba menekan, termasuk mahu bertindak terhadap sumber atau pemberi maklumat kepada BH, selain meminta syarikat mengambil tindakan terhadap wartawan.

Memang menyedihkan berdepan situasi itu kerana jabatan kerajaan terbabit sanggup membiarkan kepincangan terus berlaku tanpa tindakan seperti perbuatan seorang lelaki yang diberi pangkat kehormat oleh jabatan kerajaan, menawarkan ijazah PhD palsu dengan sejumlah bayaran kepada orang ramai sebelum ini.

Begitu juga dalam kes pembuangan sampah haram terletak di tepi Sungai Muda, Sungai Petani, Kedah yang hanya diambil tindakan oleh pihak berkuasa selepas liputan media, sedangkan kawasan berkenaan sudah beroperasi sejak lebih 10 tahun lalu dan sepanjang tempoh itu juga masyarakat sekitarnya menderita.

Kira-kira tiga tahun lalu, Unit Khas BH, membongkar keadaan tapak bekas pusat kusta Sungai Buloh dikuasai warga asing, termasuk pendatang tanpa izin yang menjalankan perniagaan nurseri secara besar-besaran dengan pasaran ke seluruh negara.

Susulan pendedahan itu, operasi dilancarkan penguat kuasa imigresen, manakala agensi serta jabatan kerajaan berkaitan berjanji mengambil tindakan sewajarnya, termasuk rancangan mewartakan tapak itu sebagai warisan dunia.

Malangnya, tinjauan baru-baru ini mendapati keadaan di situ nyata tidak berubah sama sekali.

Terbaharu, kawasan terbabit dikatakan diserah kepada kerajaan Selangor yang baru kini menyusun langkah mengambilalihnya dan sukar dipastikan berapa lama lagi tindakan tuntas terhadap isu itu dapat dilihat.

Hanya masa akan menentukan atau mungkin sehingga media membuat liputan mengenainya lagi pada masa depan.

Jika begitu keadaannya bukankah lebih baik, jika selama ini penduduk tempatan yang kurang berkemampuan dibenarkan berkebun di kawasan terbabit, sekurang-kurangnya dapat membasmi kemiskinan dalam kalangan keluarga berkenaan, daripada dibiarkan pendatang asing bermaharajalela.

Begitu juga dengan isu pengorekan pasir laut di perairan negara khususnya di perairan Selangor apabila pihak berkenaan hanya berjanji menyiasat, sedangkan pada masa sama mengakui selama ini tiada lesen dikeluarkan, apa lagi mahu ditunggu ketika bukti sudah di depan mata, sedangkan rakyat khususnya golongan nelayan terus terbiar menjadi mangsa.

Penulis dapat rasakan dalam kebanyakan isu yang didedahkan menerusi laporan BH selama ini, pihak berkuasa atau agensi kerajaan yang berkaitan mengambil tindakan sekadar melepas batok di tangga atau hanya bergerak umpama pahat selepas dihentak dengan tukul.

Kegagalan mana-mana agensi kerajaan bertindak mengambil tindakan terhadap kepincangan yang berlaku, sewajarnya disusuli penyiasatan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana kepentingan tertentu mungkin menjadi pertimbangan pegawai atau mereka yang bertanggungjawab membanterasnya.

Berbekalkan pengalaman membuat liputan sepanjang kerjaya ini, penulis merasakan betapa perlunya anjakan pemikiran dan tindakan dalam kalangan pemimpin politik, ketua jabatan kerajaan serta pihak berkuasa itu sendiri supaya lebih cekap dan berkesan, apatah lagi negara kini di bawah pentadbiran kerajaan baharu pasca Pilihan Raya Umum ke-14.

Ketika mandat diberikan kepada kerajaan pada PRU-14 itu hanya berbaki kira-kira empat tahun lagi, rakyat masih menantikan pelbagai pembaharuan yang dijanjikan.

Percakaran isu perkauman dan agama yang cuba dicetuskan pihak tertentu sewajarnya dicantas segera pihak berkuasa sebelum kudis menjadi barah.

Penulis adalah Pengarang Berita Kanan (Mingguan/Unit Khas BH)

Berita Harian X