Rabu, 28 Ogos 2019 | 11:00am
Jasa anggota tentera terutama ketika insiden pencerobohan di Lahad Datu pada 2013 menggambarkan komitmen pasukan keselamatan memastikan kedaulatan negara tidak diganggu gugat. - Foto hiasan

Berhenti pertikai jasa perajurit

Cuti hujung minggu kalau tiada apa-apa perancangan, biasanya saya lebih selesa duduk terperuk di rumah. Bagi saya, ketika inilah masa berkualiti bersama keluarga perlu dimanfaatkan, terutama melayan anak bujang tunggal yang makin membesar.

Biasanya kalau hari cuti, kami tiga beranak ‘gotong-royong’ menguruskan kerja rumah yang tertangguh, namun ada juga waktunya kami sedikit malas. Mungkin kerana saya dan isteri masing-masing bekerja dan beban tugas sepanjang minggu sedikit memenatkan tubuh.

Dalam keadaan ini, kami biasanya banyak berehat pada hari cuti dan kurangkan aktiviti menggunakan tenaga. Lantas kegemaran kami melayan filem di internet. Saya sendiri lebih kepada filem aksi. Mungkin kerana sejak kecil disajikan kisah pengalaman bapa yang berkhidmat dalam tentera sewaktu era konfrontasi.

Berbeza isteri saya ‘genre’ seram atau drama Korea jadi pilihan. Anak kami pula hanya mengikut pilihan saya dan isteri. Jika filem tidak kena dengan selera, perlahan-lahan dia beralih menonton saluran YouTube kegemarannya di telefon bimbit.

Hujung minggu lalu, rasa malas itu sekali lagi menjenguk. Jadi kali ini hasrat melayan filem perang Turki yang sekian lama tertangguh menjadi pilihan.

Filem Dag 2 arahan Alper Chaglar dikeluarkan pada 2016 ini mengisahkan perjalanan tujuh anggota pasukan khas Turki yang diarah menyusup masuk ke kawasan pergunungan Iraq bersempadan negara mereka, yang dikuasai militan.

Diketuai Leftenan Kol Veysel Gokmusa, misi utama mereka menyelamatkan seorang wartawan berbangsa Turki, Ceyda Balaban. Wanita itu dimaklumkan bakal dipenggal militan secara live selepas diculik ketika membuat liputan mengenai masyarakat Yezidi.

Bukan paparan aksi sepanjang dua jam 15 minit yang ingin saya kongsi, sebaliknya pertanyaan Ceyda kepada ketua kumpulan tentera elit Turki itu menarik perhatian.

Ceyda bertanya mengapa Turki sanggup merisikokan tujuh tentera elit untuk menyelamatkan nyawanya seorang, sedangkan penulisannya banyak yang mengutuk Turki dan pendirian tentera negara itu.

Jawapan diberikan Veysel cukup ringkas dan padat, iaitu “Kami tak mahu dunia melihat seorang (rakyat) Turki dipenggal”. Maksudnya Ceyda diselamatkan hanya kerana dia rakyat Turki. Hakikatnya walaupun dikutuk, dicaci dan dicemuh, Turki tetap mempertahankan negara, rakyat dan bangsanya. Inilah sifat dan pegangan seorang perajurit.

Dinilai dalam konteks negara kita, wajarkah untuk mana-mana pihak mencemuh kononnya askar kita tidak berbuat apa-apa? Sebagai anak kepada bekas tentera, menyirap darah mendengar cemuhan pihak tertentu memperlekeh peranan perajurit negara.

Tidakkah golongan ini bersyukur dan sedar udara bebas dihirup setiap hari, sebenarnya hasil keringat pengorbanan dan titisan darah perajurit terdahulu. Mungkin kerana tidak pernah merasai hidup di zaman perang, menyebabkan lidah mereka ini cenderung bergerak lebih pantas berbanding otak masing-masing.

Satu perkara perlu diingat, tidak semua urusan tentera dimaklumkan kepada umum, ada juga tugasan berstatus sulit seperti dipikul tujuh pasukan elit Turki itu tadi. Apa yang kita nampak perajurit kita buat hari ini hanyalah sebahagian kecil, sedangkan jasa dan pengorbanan lebih besar mereka tidak ditonjolkan.

Menghampiri tanggal 31 Ogos yang disambut sebagai hari kemerdekaan negara, wajar sekali kita bersyukur kerana hidup tidak diganggu dentuman bom dan tembakan seperti di banyak negara yang bergolak ketika ini.

Selepas lebih enam dekad merdeka, saya lebih rela askar kita tidak lagi melepaskan tembakan. Bagi saya dapat bekerja dengan elok dan masih mampu berehat selesa di rumah bersama keluarga adalah nikmat yang cukup besar.

Berbalik kepada kisah tujuh tentera elit Turki tadi, kesudahan mereka agak menyedihkan. Tiga daripada mereka terkorban termasuk Veysel ketika mempertahankan sebuah kampung terpencil dihuni rakyat Iraq keturunan Turki, yang diserang tentera militan.

Kenapa mereka memilih mempertahankan kampung itu sedangkan berpeluang untuk dibawa keluar menggunakan helikopter? Puncanya bendera Turki yang berkibar di kampung itu.

“Hari ini bumi Turki akan kita pertahankan. Di bumi di mana bendera Turki berkibar,” kata Veysel.

Penulis adalah Penolong Pengarang Meja Rencana Berita Harian

Berita Harian X