Selasa, 27 Ogos 2019 | 11:00am
Gambar fail, antara peserta perbarisan memperagakan pelbagai baju tradisional terdiri daripada etnik iban, bidayuh, dan kayan yang terlibat dalam raptai penuh perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2016 Ke-59 bertemakan 'Sehati Sejiwa' di Dataran Merdeka. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Patriotisme suntik kebersamaan

Setiap tahun ketika menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, satu perkataan tunggal ada dalam fikiran kita adalah patriotisme.

Apakah patriotisme? Kita boleh menentukan patriotisme sebagai cinta dan penghormatan terhadap tanah air.

Ia kebanggaan semula jadi yang mendorong untuk bekerja keras demi pembangunan negara, perlindungan warisan dan kebudayaan serta melindungi negara daripada dimusnahkan kuasa luar atau dalaman.

Seorang bekas ahli politik Amerika Syarikat (AS), Adlai Stevenson, pernah berkata: “Patriotisme bukanlah semangat emosi yang singkat dan penuh kegirangan, tetapi dedikasi dan pengabdian hidup seumur hidup.”

Apakah ini bermakna patriotisme juga sama dengan dedikasi dan pengorbanan seumur hidup untuk negara.

Patriotisme membayangkan rasa kepunyaan yang membawa kebersamaan. Ia biasanya dilambangkan dengan mengibarkan bendera dan menghormati lagu kebangsaan.

Bagaimanapun saya perlu juga menekankan bahawa mengibar Jalur Gemilang bukan satu-satunya cara untuk mengekspresikan patriotisme.

Patriotisme boleh wujud dalam pelbagai bentuk. Apabila bercakap dan mempertahankan negara, ia tindakan patriotik.

Begitu juga apabila menahan diri melakukan perbuatan vandalisme ke atas harta awam atau membuang sampah di tempat awam secara tidak sengaja.

Apabila menyumbang ke arah menjadikan komuniti bebas jenayah atau melindungi serta memelihara alam sekitar, kita adalah patriotik.

Patriotisme boleh dipamer menerusi kata-kata, fikiran dan tindakan demi kepentingan dan pembinaan negara.

Patriotisme perlu dipupuk ketika kanak-kanak. Apabila kanak-kanak suka tanah air sendiri, mereka akan membesar dengan menghargai warisan, kepelbagaian, sejarah dan berusaha memperbaiki Malaysia dalam semua aspek.

Patriotisme boleh ditanamkan kepada pelajar melalui kesedaran, pendidikan dan pengetahuan. Rasa kepunyaan adalah unsur penting yang perlu dipupuk dan dipelihara.

Hanya melalui rasa kepunyaan, generasi muda Malaysia boleh dibentuk menjadi warganegara bertanggungjawab dan matang untuk memimpin negara pada masa depan.

Kanak-kanak kecil boleh dibentuk tanpa melihat perkara melalui kanta berwarna. Letakkan anak dan biarkan mereka membesar bersama supaya dapat mengenali, memahami dan menghargai rakan dengan warna kulit berbeza atau latar belakang agama.

Membina perpaduan harus bermula di sekolah untuk menanam nilai keharmonian, perpaduan dan kedamaian antara satu sama lain.

Guru perlu menggunakan kreativiti dan kemahiran untuk menarik pelajar daripada semua kaum mengambil bahagian dalam aktiviti dalaman atau luaran yang meningkatkan integrasi dan perpaduan.

Pelajar mesti ‘buta warna’ serta menganggap satu sama lain sebagai kawan dan bukan berdasarkan bangsa.

Pengetua dan guru sekolah perlu menjadi penggerak utama transformasi pendidikan.

Bukan sahaja mengajar dan memberi pengetahuan serta kemahiran, tetapi menyatupadukan pelajar pelbagai kaum melalui aktiviti selaras aspirasi Malaysia yang bersatu padu.

Ibu bapa perlu memupuk dan mengamalkan nilai positif dalam kehidupan seharian mereka untuk memberi inspirasi kepada anak mereka untuk mencontohi tingkah laku baik, yang akan membantu mereka membina negara stabil walaupun terdapat perbezaan.

Selepas 62 tahun kemerdekaan, rakyat Malaysia harus lebih bersatu kerana berkongsi harapan, aspirasi dan impian sama untuk Malaysia.

Kita semua harus dengan bangga mengenali diri kita sebagai rakyat Malaysia.

Saya selalu percaya untuk menjadi rakyat Malaysia tidak membuat seseorang itu kurang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, Bidayuh dan lain-lain.

Perpaduan dan integrasi negara akan lebih kukuh dan lebih bersemangat menerusi pemanfaatan nilai patriotisme.

Sejarah membuktikan Malaysia dapat mengatasi sebarang cabaran jika rakyatnya bersatu.

Rakyat Malaysia berbeza etnik, agama dan warna kulit melengkapi satu sama lain dan kepelbagaian kita tidak seharusnya menjadi penghalang untuk menjalani kehidupan yang bersatu dan harmoni.

Belia mempunyai kuasa untuk mengubah negara menjadi tempat lebih baik dan membawa perubahan positif di negara ini. Kita perlu memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan diri.

Belia kita mesti mempunyai keupayaan dan mengambil inisiatif untuk menjadi pembina jambatan etnik bagi meningkatkan hubungan utuh di negara ini dengan meneutralkan politik kebencian, polarisasi kaum dan keunikan kaum yang nampaknya semakin meningkat sekarang.

Harus disedari matlamat utama kita bukan sekadar menjadikan Malaysia negara perindustrian yang sepenuhnya dalam erti ekonomi, tetapi juga memastikan ia sepenuhnya dibangunkan dari semua aspek termasuk dimensi alam sekitar, moral dan etika.

Kita mesti menghapus atau mengakhiri isu perpecahan seperti ketaasuban agama dan kaum serta mereka yang membuat kenyataan provokatif dan pembakar yang mewujudkan ketegangan dalam masyarakat.

Akhir sekali, patriotisme dapat dilihat dalam banyak perkara. Cinta dan kebanggaan untuk negara dapat dipamerkan daripada tindakan kebaikan rawak yang sederhana kepada sesiapa yang kita temui dengan mengetepikan perbezaan dan membawa kita bersama semula selepas setiap krisis.

Tindakan ini menunjukkan kita berbangga dengan negara dan mahu menjadikannya tempat lebih baik untuk semua.

Penulis adalah Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia

Berita Harian X