Isnin, 26 Ogos 2019 | 11:00am

Contohi Disney World kekang kes denggi

Masih terkenang keseronokan mengunjungi Taman Tema Disneyland di Hong Kong, lebih 10 tahun lalu. Kegembiraan bertemu pelbagai karakter kartun seperti Mickey dan Minnie Mouse, Donald dan Daisy Duck mengimbau kehidupan zaman kecil.

Baru-baru ini, ketika terbaca artikel mengenai Disney World di Florida, Amerika Syarikat (AS) bertajuk This Is Why You Never See Mosquitoes at Disney World yang disiarkan Reader Digest, ingatan saya terus mengimbau keadaan di Hong Kong itu.

Mengikut artikel berkenaan, Disney World direka dengan bantuan graduan Institut Teknologi Massachusetts (MIT) dan pakar kejuruteraan, Mejar Jeneral William ‘Joe’ Potter.

Pengasas Disney, Walt Disney melantik Potter untuk membantunya membina Disney World supaya bebas nyamuk, selepas bertemu pada Pesta Dunia pada 1964. Ketika itu, Potter bertugas sebagai Gabenor Zon Terusan Panama yang sedang berdepan ancaman malaria, bawaan nyamuk tiruk atau anopheles.

Pada pertemuan itu, Potter bercerita mengenai usahanya mengawal kehadiran nyamuk, hingga mendorong Disney menawarkan pekerjaan kepada Potter, sekali gus mengetuai usaha mengawal pembiakan nyamuk di taman tema bakal dibina di tengah Florida.

Seterusnya yang berlaku adalah sejarah, apabila pembinaan baki lima lagi taman tema Disney, iaitu di California di AS, Paris di Perancis; Tokyo di Jepun; Hong Kong dan Shanghai di China menggunakan strategi sama dirangka Potter bagi mengawal nyamuk.

Jangan lupa, semuanya bermula kerana Disney ingin membina sebuah taman tema yang bukan sahaja besar, tetapi menggembirakan pengunjung di atas sebidang tanah dikelilingi paya di Florida.

Berbalik masalah nyamuk, mengapa Disney terpaksa mengupah pakar dan hanya yang terbaik bagi memastikan taman temanya, tidak menjadi lokasi penternakan serangga kecil itu.

Menurut Wikipedia, nyamuk antara kumpulan daripada kira-kira 3,500 spesies serangga kecil yang boleh terbang.

Air liur nyamuk yang dipindahkan menerusi gigitan boleh menimbulkan rasa gatal dan ruam.

Antara penyakit vektor dibawa adalah malaria, demam kuning, Chikungunya, virus Nil Barat, demam denggi, virus Zika, filariasis (penyakit yang menjejaskan sistem limfa akibat serangan cacing filaria) dan arbovirus lain (penyakit bawaan nyamuk).

Bertindak sebagai pembawa penyakit, nyamuk mampu membunuh lebih ramai manusia berbanding haiwan lain, iaitu lebih 700,000 orang setiap tahun.

Justeru, apakah kaedah digunakan Potter menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk.

Potter sebenarnya menyasar usaha mencegah pembiakan larva, iaitu menjadikan taman tema bukan satu lokasi sesuai bagi nyamuk untuk hidup atau bertelur.

Antaranya, memastikan tiada takungan air bukan sahaja di dalam dan luar bangunan, tetapi di kawasan persekitaran, termasuk landskap dengan menanam hanya pokok yang bersesuaian.

“Pengunjung selalunya tidak menyedari keadaan ini, tetapi air sentiasa mengalir (di dalam taman tema),” kata penulis buku Top Disney: 100 Top Ten Lists of the Best of Disney, Christoper Lucas.

Oleh itu, setiap kali Disney mereka bentuk hartanah baharu, beliau akan turut membeli tanah di sekitarnya, supaya beliau boleh membina sistem perparitan dan pengaliran air yang baik.

Pada masa sama, rekaan bangunan di taman tema milik Disney juga tidak membenarkan air terkumpul pada mana-mana bahagian.

“Setiap bangunan dibina dalam bentuk melengkung, supaya tiada peluang untuk air bertakung atau terkumpul,” katanya.

Selain itu, setiap tumbuhan di sekitar hartanah Disney World juga dipilih khas bertujuan mengelak air bertakung.

“Mereka (Disney World) menempatkan banyak ikan umpan, ikan emas dan sejenis ikan yang dikenali sebagai ikan nyamuk di sekitar taman tema untuk memakan larva,” kata Lucas.

Pada masa sama, Disney dengan tegas tidak mahu menggunakan bahan kimia di sekitar taman tema miliknya.

Justeru, beliau memilih pencegah serangga semula jadi, iaitu cecair bawang putih kerana kajian mendapati nyamuk tidak suka bau bawang putih.

Berikutan itu, tidak salah jika pihak berkuasa tempatan dan pemaju hartanah di Malaysia mengambil ilham daripada reka bentuk di Taman Tema Disney bagi menangani peningkatan kes denggi di negara ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sebelum ini dilaporkan berkata 72,356 kes denggi dicatatkan di negara ini, antara Januari hingga 20 Julai tahun ini berbanding 38,190 kes bagi tempoh sama 2018, iaitu peningkatan drastik 89.5 peratus.

Yang pasti, masih belum terlambat bagi pihak berkuasa dan pemaju hartanah menghasilkan rekaan bangunan, sistem perparitan sesuai bagi mencegah pembiakan nyamuk.

Lagipun, mencegah adalah lebih baik, daripada terpaksa menanggung kos tinggi bagi mengubati pesakit yang dijangkiti pelbagai penyakit bawaan nyamuk dan vektor ini.

Penulis adalah Penulis Khas
Meja Dunia Berita Harian

Berita Harian X