Sabtu, 24 Ogos 2019 | 7:32am

Warga beradab jamin pembinaan negara bangsa

PEMBINAAN negara bangsa adalah matlamat utama yang dianggap kemuncak kejayaan sesebuah negara, pentadbiran serta rakyat.

Hargue dan Harrop menyatakan, bagi membentuk negara bangsa sesebuah negara itu perlu melalui empat peringkat terlebih dahulu, iaitu bina negara; bina bangsa; penyertaan rakyat; dan pengagihan nilai murni dalam masyarakat.

Pembentukan negara bangsa menjadi perjuangan yang belum selesai. Usaha intensif ke arahnya mula digerakkan selepas peristiwa hitam 13 Mei dan matlamatnya lebih jelas apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menekankan keperluannya semasa memperkenalkan Wawasan 2020 pada 1991.

Pahit untuk ditelan, tetapi itulah kebenarannya. Negara bangsa masih jauh untuk direalitikan kerana kita masih dihantui pelbagai permasalahan bersifat perkauman, walaupun negara mencapai kemerdekaan lebih enam dekad.

Kita kini berada dalam bulan Ogos yang menjadi bulan penting bagi Malaysia, kerana beberapa hari sahaja lagi negara akan menyambut Hari Kemerdekaan Ke-62 tahun dan kemudian meraikan pula Hari Malaysia sebagai mengingati penggabungan wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak membentuk Malaysia pada 16 September.

Proses pembentukan negara berdaulat ini bukan bermula setahun dua, sebelum laungan keramat ‘Merdeka’ pada 31 Ogos 1957 bergema, sebaliknya, ia melalui tempoh pembentukan yang lebih panjang.

Liku-likunya tajam dan onaknya juga mencengkam dengan menyaksikan tanah pertiwi ini dibasahi banyak darah pejuang ulung dan menguburkan ribuan jasad yang terkorban mempertahankannya dari saat sebelum merdeka sehingga ke waktu ini.

Selepas mengharungi cabaran mencapai kemerdekaan, pemimpin negara mula melihat kepada cabaran baharu, iaitu bagaimana membentuk acuan terbaik untuk membina negara bangsa.

Kerana acuan itu belum sempurna, lantaran itulah isu negara dan bangsa Malaysia masih menjadi wadah yang kerap didebatkan ahli politik, golongan akademik dan rakyat biasa.

Mengapa masih gagal? Salah satu puncanya yang dapat penulis utarakan adalah kerana kegagalan kita menjadi seorang warganegara beradab pada sejarah negaranya sendiri.

Jika warganegara tidak beradab pada sejarah pembentukan negaranya sendiri, natijahnya lahirlah sekelompok individu yang kurang adab, yakni biadab pada negara.

Inilah yang menjadi duri dalam daging untuk mencapai matlamat merealisasikan negara bangsa.

Hakikatnya sebesar rumah yang gah bermula dari sebiji bata dan ia boleh runtuh, roboh dan hancur dalam sekelip mata.

Negara ini adalah ‘rumah’ kepada orang Melayu, Cina, India dan rakyat Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Justeru, amat menyedihkan jika negara ini goyah kerana ada dalam kalangan kita sendiri yang menjadi anai-anai yang meratah sedikit demi sedikit tiang-tiang rumah, hingga akhirnya tersembam roboh menyembah bumi

Ketika kita ingin membentuk negara ini dahulu, tolak ansur adalah kunci utamanya dengan harapan generasi selepasnya dapat mengamalkan sikap toleransi atas ‘pengorbanan besar’ yang dibuat bagi memastikan keharmonian sentiasa terjaga.

Usah pertikai Raja-Raja, keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, bahasa kebangsaan, agama Islam dan seumpamanya.

Apabila semua rakyat beradab pada sejarah negara, kita selangkah semakin mendekati negara bangsa diidamkan.

Penulis adalah EXCO Persatuan Pegawai Tadbir dan Iktisas (PRAGMATIS) Universiti Sains Islam Malaysia.

Berita Harian X