Isnin, 19 Ogos 2019 | 11:00am
Gambar fail, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (tiga kiri) menunjukkan barangan rampasan dari ahli sindiket Macau Scam pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur, tahun lalu. - Foto Owee Ah Chun
Gambar fail, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (tiga kiri) menunjukkan barangan rampasan dari ahli sindiket Macau Scam pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur, tahun lalu. - Foto Owee Ah Chun

Tingkat kesedaran elak jadi mangsa Macau Scam

Seorang kerani wanita di Kuantan dilaporkan kerugian lebih RM25,000, dan di Kuala Terengganu pula suri rumah rugi RM35,000, semuanya kerana ditipu oleh sindiket penipuan dalam talian atau Macau Scam.

Terdahulu di Kuching, Sarawak, gara-gara terlalu panik kerana mendapat panggilan dari Mahkamah Majistret, tiga wanita kerugian lebih RM70,000, manakala di Pulau Pinang pula, disebabkan terlalu takut dengan satu panggilan kononnya akan menerima hukuman gantung, seorang warga emas memasukkan wang RM30,000 dalam akaun sindiket penipuan ini.

Terbaharu, seorang juruteknik di Kuala Terengganu menjadi mangsa sindiket penipuan Macau Scam selepas wang simpanannya berjumlah kira-kira RM20,000 lesap. Juruteknik berusia 32 tahun itu mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai ‘Azman’ dari Mahkamah Majistret Terengganu, di tempat kerjanya di Paka.

Penipu itu mengatakan mangsa mempunyai tunggakan enam bulan hutang kad kredit berjumlah hampir RM11,000, namun dinafikan mangsa kerana dia tidak memiliki kad kredit dari bank dimaksudkan.

Itulah adalah antara mangsa penipuan dalam talian atau Macau Scam yang dilaporkan kepada polis dan media.

Jumlah kerugian mungkin lebih besar kerana ada segelintir mangsa penipuan tidak melaporkan kepada polis kerana angka yang ditipu tidak besar, selain mungkin enggan untuk memperbesar-besarkan isu ini selepas menyedari ia berlaku kerana ‘kesilapan sendiri’.

Awal bulan ini, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad, berkata pihaknya menerima 5,069 aduan kes berkaitan dan memberkas 1,973 individu terbabit dalam kegiatan jenayah berkenaan dalam tempoh enam bulan tahun ini membabitkan kerugian kira-kira RM250 juta.

Beliau berkata, tiga jenis penipuan siber paling banyak ketika ini membabitkan penipuan telekomunikasi (termasuk Macau Scam), kes berkaitan pembelian dalam talian (e-dagang) dan love scam (didalangi warga Afrika).

Mohd Zakaria berkata, pihaknya mencatatkan kerugian kira-kira RM2 bilion setahun dari 2015 hingga tahun lalu membabitkan kes jenayah komersial termasuk pinjaman tidak wujud dan penipuan skim pelaburan dari dalam serta luar negara.

Walaupun kes seperti ini sudah kerap dilaporkan dalam media, masih ramai yang terjebak dengan perangkap dan gertakan daripada sindiket Macau Sam, selain mudah diperdaya dengan love scam.

Malahan, peringatan juga kerap dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), tetapi boleh dikatakan hampir setiap hari, ada saja yang menjadi mangsa penipuan dalam talian ini.

Ternyata sindiket Macam Scam cukup bijak memanipulasi sikap masyarakat kita kerana tidak pernah ambil tahu dengan perkembangan semasa, mudah digertak, cepat panik dan senang diperdaya. Orang ramai seharusnya perlu bersikap bijak dan tenang.

Jika benar anda menerima panggilan daripada polis kerana kes tertentu, sebaik-baiknya rujuklah ke balai polis berdekatan untuk mendapatkan maklumat lanjut. Polis selalunya tidak pernah membuat panggilan telefon memaklumkan kita perlu menjelaskan saman dengan serta- merta.

Kalau ada saman tertunggak, polis biasanya akan datang sendiri ke rumah dan membawa waran saman. Kalau ada bank mengatakan kita ada tunggakan kad kredit, hubungi saja bank yang dinyatakan oleh si penipu ini untuk mendapatkan pengesahan.

Pada masa sama, tanya dari mana dan bagaimana sindiket Macau Scam ini memperoleh nombor telefon dan nama kita. Ini menimbulkan banyak kemusykilan dan bagaimana data peribadi kita dilindungi.

Justeru, selain menyiasat dan seterusnya menangkap sindiket penipuan dalam talian ini, kita juga berharap polis dan SKMM boleh mengesan serta mengenal pasti daripada mana mereka mendapat data peribadi mangsa.

Bagi orang ramai, ingatlah berhati-hati apabila menerima panggilan daripada individu yang mendakwa dirinya anggota polis, bank atau mana-mana agensi pihak berkuasa. Apabila mereka meminta nombor kad pengenalan, disusuli dengan nombor akaun bank anda, hentikan terus panggilan berkenaan.

Penulis adalah Pengarang Berita, Berita Harian

Berita Harian X