Jumaat, 17 Mei 2019 | 11:00am
GAMBAR fail, sidang media oleh Imam Besar Masjid Al - Aqsa, Sheikh Dr Ekrima Saeed Sabri di Yayasan MyAqsa Putrajaya, tahun lalu. Turut kelihatan Duta Besar Palestin Ke Malaysia Walid Abu Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MyAQSA, Dr Noorazman Mohd Samsuddin (kanan). - Foto Abd Rahim Rahmat

MyAqsa teruskan inisiatif di ICC

Pada 2 Mei lalu berlangsung sesi pertemuan penting antara delegasi Yayasan MyAqsa (MyAqsa) dengan wakil pelbagai bahagian di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda. Ini termasuk masing-masing wakil daripada Bahagian Sokongan Guaman, Kerjasama Antarabangsa dan Analisis Situasi, Pejabat Ketua Pendakwa Raya (OTP) ICC.

Sesi pertemuan itu diadakan sebagai susulan penghantaran nota komunikasi MyAqsa kepada OTP pada 17 Oktober 2018 mengenai desakan untuk mendakwa rejim Israel atas pelanggaran Resolusi 2334, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) yang diluluskan Disember 2016.

Resolusi 2334 adalah keputusan masyarakat dunia yang signifikan di dalam perjuangan membela nasib rakyat Palestin. Bagi Malaysia, resolusi itu melakar sejarah tersendiri apabila negara kita menjadi satu dari empat negara yang menaja, seterusnya berjaya memperoleh sokongan sebulat suara melalui undi 14-0 di UNSC.

Malah, buat pertama kalinya resolusi itu menyaksikan Amerika Syarikat (AS) mengambil sikap berkecuali, yang pada hakikatnya melakar sejarah unik dan tersendiri kerana belum pernah terjadi berhubung isu Israel. Resolusi itu secara ringkasnya mengisytiharkan tindakan Israel mewujudkan penempatan di wilayah Palestin, sebagai tindakan haram dan mencabul hak asasi manusia.

Delegasi MyAqsa mengutarakan dua hujah utama sebagai desakan terhadap wakil ICC itu. Pertama, MyAqsa berhujah bahawa ICC perlu menerokai langkah pemetaan lebih jelas bagi pastikan usaha pendakwaan terhadap Israel dapat dilakukan dengan cermat tetapi tidak memakan masa lama.

Fakta sejarah membuktikan bahawa negara Palestin membuat perisytiharan melalui Artikel 12(3) Statut Rom untuk menerima bidang kuasa ICC ke atas jenayah yang dilakukan di Wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Jerusalem Timur sejak Jun 2014. Pada Januari 2015, Palestin menyertai Statut Rom dengan menyerahkan instrumen kesertaan kepada Setiausaha Agung PBB.

Statut Rom berkuatkuasa buat negara itu bermula 1 April 2015. Selepas menerima rujukan atau pengisytiharan sah yang dibuat menurut Artikel 12(3) itu, pendakwa ICC mengikut peraturan 25(1) (c) peraturan OTP dan sebagai perkara dasar dan amalan, membuka penyiasatan awal mengenai situasi diadu Palestin.

Pada 16 Januari 2015, pendakwa mengumumkan pembukaan awal ke atas situasi di Palestin untuk menentukan sama ada kriteria Statut Rom untuk membuka penyiasatan dipenuhi, khususnya, di bawah Artikel 53(1) Statut Rom, pendakwa akan menimbangkan isu bidang kuasa, kebolehterimaan dan kepentingan keadilan dalam membuat penentuan itu.

ICC masih lembap, tak berani

Namun, selepas lebih empat tahun proses demikian berjalan, tidak banyak tindakan berkesan dilakukan ICC bagi memastikan penyiasatan dan pendakwaan dapat dizahirkan secara segera terhadap entiti pariah Israel.

Walaupun desakan demi desakan dilakukan, ICC masih kelihatan lembap dan tidak berani mengemukakan langkah drastik yang konsisten dengan bukti jelas daripada terlalu banyak sumber bahawa kekejaman dan pelanggaran hak asasi manusia berlaku tanpa henti-henti terhadap masyarakat awam Palestin.

Hal ini adalah hujahan kedua yang dinyatakan dengan jelas delegasi MyAqsa kepada ICC ketika memperincikan kandungan memorandum berkenaan Resolusi 2334 yang menjadi asas pada tindakan MyAqsa mendesak dakwaan terhadap Israel.

Malah, ternyata keprihatinan dan desakan MyAqsa bukan persepsi semata-mata, tetapi pendirian tegas yang turut dikongsi bersama pelbagai pertubuhan hak asasi manusia yang memperjuang nasib umat Islam Palestin.

Dalam keadaan tanah air Palestin yang semakin hari semakin mengecil kerana diceroboh serta dirampas Israel demi perluasan projek penempatan haramnya, ruang untuk rakyat negara itu mendapatkan keadilan nampaknya semakin sempit.

Atas keinsafan ini, maka inisiatif dilakukan MyAqsa adalah sebahagian usaha strategik tetapi diiltizamkan mempunyai impak besar terhadap usaha pembebasan Palestin melalui salah satu saluran kontemporari untuk mencapai maksud kemenangan itu.

Semua usaha itu perlu diiktiraf seadilnya menurut peranan dan kesan masing-masing terhadap usaha pembebasan Baitulmaqdis dan Palestin. Dalam konteks usaha MyAqsa, sikap bijaksana dan berprinsip umat Islam dalam menggunakan mekanisme hak asasi manusia, serta peranan kita dalam usaha menekan institusi ‘keadilan’ antarabangsa seperti Majlis Hak Asasi Manusia, PBB (UNHRC) dan ICC dapat dizahir.

Untuk mengatakan bahawa institusi terbabit 100 peratus perlu ditolak adalah suatu pendirian yang sukar diterima, melainkan semua 57 anggota negara OIC benar-benar kukuh bersatu, berkongsi pandangan alam Islam yang sama dan bermuafakat di dalam idea dan tindakan.

Tetapi dewasa ini hal itu tidak mungkin dicapai secara total, walaupun pada hakikatnya kita berkongsi panduan dan agenda akidah, syariat dan akhlak sama. Maka, menggunakan saluran kontemporari sedia ada adalah antara cara umat Islam mendapatkan keadilan.

Ini khususnya dalam konteks Palestin, apabila hak mereka dinafi dari segenap aspek, maka ICC adalah hanya satu saluran untuk menzahirkan kebenaran mengenai kekejaman dan pencabulan hak asasi manusia yang sedang dihadapi mereka.

Maka sewajarnya usaha MyAqsa dan beberapa NGO lain yang sedang mendesak pendakwaan Israel di ICC terus diberi perhatian dan disokong. Hal ini demi menyerlahkan kebenaran kepada dunia mengenai penindasan dilakukan Israel yang masih belum mendapat pembalasan setimpal.

Penulis adalah Peguam dan Ketua Eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)

Berita Harian X