Sabtu, 4 Mei 2019 | 10:00am
SUASANA meriah sambutan hari guru di Sekolah Kebangsaan Senaling, Kuala Pilah. - NSTP/Amran Yahya
SUASANA meriah sambutan hari guru di Sekolah Kebangsaan Senaling, Kuala Pilah. - NSTP/Amran Yahya

Kerjaya guru bukan pilihan kedua

Di negara kita, Hari Guru disambut setiap tahun pada 16 Mei bagi menghargai dan mengiktiraf peranan warga pendidik itu, manakala tanggal 5 Oktober setiap tahun pula adalah tarikh sambutan Hari Guru Sedunia.

Hari Guru Sedunia diraikan bagi memperingati ulang tahun pemeteraian Rekomendasi Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) 1996 berkaitan Status Guru.

Ia juga adalah sambutan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat sejak 1948 yang mengiktiraf pendidikan sebagai asas utama dan mewujudkan hak untuk pendidikan wajib percuma, memastikan akses inklusif serta saksama bagi semua kanak-kanak.

Sambutan Hari Guru diadakan setiap tahun bagi merai dan menghargai pengorbanan guru dalam mendidik anak bangsa kerana tanpa didikan yang sempurna, tidak mungkin sesebuah negara itu dapat membangun dan membina tamadunnya sendiri.

Namun, tugas seorang guru sudah tidak lagi sama seperti dulu dengan tumpuan utama, iaitu mengajar dan mendidik, demi melahirkan murid yang cemerlang dari segi sahsiah diri dan juga pencapaian akademik.

Kini guru turut berperanan di luar bidang tugas hakiki mereka kerana perlu melakukan tugasan lain antaranya kerja pentadbiran, perkeranian mahupun bertindak sebagai ‘pemandu’ menghantar murid menghadiri aktiviti kokurikulum di luar kawasan sekolah yang mungkin berhadapan pelbagai risiko, apatah lagi terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh.

Zaman sudah berubah, justeru dunia pendidikan turut menerima tempiasnya. Maka golongan pendidik perlu menerima hakikat bahawa bidang tugas mereka sudah jauh berbeza berbanding sebelumnya.

Tanggungjawab seorang guru juga semakin besar bukan hanya memenuhi sasaran dan keperluan pentadbir sekolah atau yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM), malah lebih besar untuk memenuhi tuntutan ibu bapa dari segenap aspek, demi melihat anak mereka cemerlang.

Berkorban masa, tenaga

Membina kerjaya dalam bidang keguruan memerlukan pengorbanan besar. Seorang guru perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tidak semata-mata demi memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) masing-masing.

Yang pasti kalau tidak kena caranya mungkin seorang guru berhadapan situasi sukar termasuk disaman kerana tindakan mereka yang mungkin dilihat keterlaluan oleh pihak yang berkenaan, khususnya ibu bapa ketika berhadapan dengan anak murid.

Di negara kita, guru memiliki cabaran yang pelbagai berdasarkan kepada demografi, kerana ada murid di kawasan bandar, pinggir bandar dan di pedalaman, semuanya memerlukan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berbeza dan kebijaksanaan guru untuk mendidik.

Daripada pengalaman saya sendiri, ramai guru yang sanggup berkorban masa dan tenaga untuk menghantar anak murid mereka mengikuti seminar bimbingan peperiksaan anjuran BH walaupun terpaksa menaiki bot dan meredah perjalanan jauh, semata-mata mahu melihat murid mereka cemerlang akademi.

Sehubungan itu, membina kerjaya dalam bidang keguruan memerlukan komitmen tinggi. Andaian ada guru yang memilih bidang ini kerana mereka tidak ada pilihan lain selepas tamat pengajian, ia alasan yang sukar untuk diterima.

Jika guru tidak berminat dalam bidang yang diceburi, mustahil mereka dapat bertahan mengajar selama berpuluh tahun sebelum memilih untuk bersara.

Dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, transformasi keguruan sebagai profesion pilihan antara 11 anjakan utama bagi menghasilkan guru terbaik dalam kalangan terbaik.

Berdasarkan anjakan itu, profesion keguruan akan menjadi lebih berprestij dan elit apabila pengambilan dibuat hanya dalam kalangan graduan 30 peratus terbaik dalam negara untuk menceburi bidang keguruan.

Guru pelatih akan menerima latihan sebaik mungkin dari mula mereka mengikuti program latihan sehingga mereka bersara. Mereka akan memperoleh peluang pembangunan kerjaya menarik merentas beberapa laluan kerjaya berasaskan prestasi dan kompetensi serta tidak lagi bergantung kepada tempoh perkhidmatan.

Walaupun mungkin berlaku kekurangan di sana sini dalam kerjaya seorang guru, itu adalah lumrah yang boleh diperbaiki dan ditambah baik demi memastikan anak-anak kita terus mendapat ilmu, kerana pendidikan adalah penyumbang utama pembangunan modal sosial dan ekonomi negara. Terima kasih cikgu.

Penulis adalah Pengarang Berita Unit Pendidikan BH.

Berita Harian X