Rabu, 17 April 2019 | 11:00am
Datuk Prof Dr Siddiq Fadzil. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Datuk Prof Dr Siddiq Fadzil. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Semai budaya intelektual dalam masyarakat

ORANGNYA nampak serius, namun pertama kali mendengar perkongsian dari figura yang dinobatkan Tokoh Maal Hijrah 2018 ini nyata ‘menghiburkan’ minda dan jiwa. Minda terhibur dengan kedalaman perbincangan beserta susur galur tajuk perbincangan, nampak jelas tajuk memang dikuasainya.

Jiwa terhibur dengan kesederhanaan perwatakan di samping diselangi lawak jenaka yang menghidupkan tajuk berat berkaitan ‘Budaya Intelektual dalam Masyarakat Melayu’.

Datuk Prof Dr Siddiq Fadzil bukan nama asing dalam kelompok intelektual dan pencinta ilmu tempatan. Sebagai Presiden Kolej Dar al-Hikmah dan pelbagai pengalaman meneraju persatuan serta kegiatan akademik dan dakwah yang lain, tokoh ini dilantik pula Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dari 1 Oktober 2018 hingga 30 September 2021.

Dengan kepakaran dalam Kebudayaan Melayu dan Falsafah Islam, tokoh ini tenang menghuraikan sejarah budaya intelektual Melayu yang dihujahkan sangat terkait dengan nilai Islam yang tinggi. Budaya intelektual itu sendiri menurut beliau begitu terkait dengan nilai, yang boleh diertikan, tinggi budaya ilmu sesebuah masyarakat, maka tinggilah budaya intelek masyarakat itu.

Sebelum kedatangan Islam ke Nusantara, budaya ilmu Melayu lemah dan banyak kepercayaan yang bergantung kepada mitos dan dongeng. Ini tidak terhad kepada masyarakat Melayu di Tanah Melayu ketika itu, tetapi juga di Indonesia.

Pengaruh Islam sangat kuat terhadap budaya intelektual Melayu dan ini jelas dilihat dalam karya terkemuka Tun Sri Lanang yang diiktiraf UNESCO dalam Memory of the World Programme pada 2001.

Sejarah Melayu yang merakamkan mengenai masyarakat dan budaya Melayu secara kolektif dan Islam tidak pernah terkesamping dalam naratif agung ini. Tradisi keintelektualan Melayu berteraskan Islam diwarnai dengan beberapa tradisi dan amalan ilmu yang menyokong proses pemantapan intelektualisme masyarakat ini antaranya tradisi berguru.

Kaji semuka konsep berguru

Ilmu diperoleh daripada guru yang arif dan itu dilihat sangat penting, berbanding memilih pusat pengajian yang beranking tinggi semata-mata. Konsep berguru perlu dilihat kembali jika benar budaya intelektual ingin dibangunkan kembali.

Untuk menyegarkan budaya intelektual, budaya takut-takut turut disebut Siddiq sebagai budaya yang biasa berlaku dalam sejarah, tetapi boleh diubah dengan ruang dan peluang yang ada hari ini.

Perbaiki niat

Catatan berkaitan ini ditulis Siddiq pada 2006 lagi yang jika dicoretkan sedikit berbunyi, “pahit dan sakit memang sudah menjadi bahagian daripada kecendekiawan berprinsip”.

Maka, tidak mustahil sukar untuk ramai golongan intelektual menjadi berani jika boleh dikatakan ciri keperibadian itu sendiri belum dicapai. Memperbaiki niat dan mencermin semula diri penting bagi golongan ini, kerana nyata kelayakan akademik tidak memungkinkan kebangkitan nilai ilmu meningkat dengan sendirinya.

Kelayakan atas kertas, biar apa pun tahap pengajian jika tidak disusuli perkongsian ilmu yang ikhlas dan bukan semata-mata untuk naik pangkat, seharusnya menjadi pegangan integriti golongan intelektual.

Mungkin ada yang maklum, budaya takut-takut dalam kalangan intelek dari segi bersuara dan menulis berlaku walau dalam kalangan sarjana hebat termasuk Abu al-Hasan al-Mawardi atau lebih dikenali sebagai al-Mawardi (meninggal 450H).

Pada zamannya, Mawardi ada berpesan ada karyanya yang hanya boleh disebarkan hanya selepas kematiannya. Dengan ruang yang ada, Siddiq menegaskan kemajuan intelektual bakal diluaskan lagi andai berlaku sistem perubahan nilai dalam masyarakat yang bermaksud, nilai ilmu yang kian melemah perlu bangkit semula dan tidak layu ditindik dengan nilaii lain seperti kuasa politik dan ekonomi.

Masyarakat perlu dicerdaskan dengan karya bernas termasuk karya agung yang dibaca untuk ilmunya, bukan kerana keterpaksaan untuk mendapat ijazah atau sebarang motif lain yang material.

Pada masa sama, cara penyampaian karya ini perlulah lunak menarik agar sampai maksudnya kepada pembaca dan ‘dinikmati’ setiap saat membaca serta manfaatnya.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Program Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X