Rabu, 10 April 2019 | 11:00am
Menteri di Jabatan Perdana (Agama), Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (lima dari kanan) bersama jemaah membaca yasin sebelum majlis pelancaran program Yaasin4Aqsa di Masjid Negara, baru-baru ini. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Menteri di Jabatan Perdana (Agama), Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (lima dari kanan) bersama jemaah membaca yasin sebelum majlis pelancaran program Yaasin4Aqsa di Masjid Negara, baru-baru ini. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Solidariti isu Palestin langkaui agama, ideologi

MALAYSIA walaupun pertukaran kerajaan tetap konsisten dalam perjuangan membela rakyat Palestin sejak dahulu lagi. Baru-baru ini diadakan program Yaasin4Aqsa di Masjid Negara baru-baru ini, idea dicetuskan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, program Yaasin4Aqsa bertujuan menzahirkan kebersamaan rakyat Malaysia dengan perjuangan dan penderitaan rakyat Palestin.

Katanya, fadilat surah Yasin itu diambil dan ditujukan khas permohonan kepada Allah untuk memelihara keselamatan saudara sesama Islam di Palestin.

Namun harus ada kelainan dalam program memperjuangkan rakyat Palestin bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH). Tumpuan kepada solidari rakyat beragama Islam sudah mencukupi dan tidak dinafikan seruan dan sahutan mempertahankan bumi Gaza dan Tebing Barat akan sentiasa berkumandang.

Bagaimana pula jika kerajaan PH menjalankan kegiatan solidariti rakyat itu yang benar-benar merakyat iaitu solidariti rakyat meliputi semua agama selain Islam.

Dalam sidang Parlimen sebelum ini, pengundian pernah dibuat dan 100 peratus Ahli Parlimen, termasuk pembangkang menyatakan sokongan kepada kemerdekaan Palestin sebagai sebuah negara. Mereka ini terdiri daripada parti yang latar belakang budaya, etnik bahkan agama dan ideologi perjuangan yang berlainan dan bukan beragama Islam tetapi menyatakan sokongan ke atas kezaliman serta penindasan yang dilakukan pengganas Zionis Yahudi.

Kerajaan PH boleh bermula dengan rakyat Malaysia beragama Kristian kerana ada juga warga Palestin beragama Kristian daripada Kristian Orthodoks. Salah seorang pemimpin Palestin Hannan Asshrawi beragama Kristian bahkan George Habash, salah seorang pemimpin parti People Liberation for Palestin People (PLPP), juga beragama Kristian. Beliau bersama-sama Fatah, pimpinan Yasser Arafat bergabung bersama parti lain membentuk Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Program perjuangan rakyat Palestin

Di Malaysia, ada penganut agama Kristian daripada kaum Cina, India, Kadazan, Iban dan etnik kaum yang lain. Oleh itu tiada masalah untuk membuat program perjuangan rakyat Palestin merentas agama mahukan ideologi pegangan.

Program dan perjuangan pembebasan rakyat Palestin daripada kekejaman Zionis ini adalah merentas etnik, kaum, bangsa, agama dan ideologi. Kerajaan PH memberikan kesedaran kepada mereka yang beragama Buddha dan India di negara. Media boleh memainkan peranan bagi mencetuskan kesedaran ini.

Mungkin orang bukan Islam berasakan isu Palestin adalah isu orang Islam kerana fokusnya banyak di Gaza. Oleh kerana itu mereka yang tidak berasakan ia adalah isu sejagat. Isu Palestin tidak seharusnya isu Melayu dan Islam dan di sini konsep Rahmatul Alamin dapat direalitikan.

Konsep yang diutarakan oleh Mujahid itu menjadi sesuatu yang sukar diperdebatkan dalam kalangan parti pembangkang gabungan PAS-UMNO. Konflik Palestin-Israel lazimnya dilihat membabitkan orang Islam, sedangkan naratifnya lebih luas.

Menyedari hal ini, Gabungan Perikatan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN) bersama Pertubuhan Generasi Baru Kristian Malaysia (ANCOM) bergabung menganjurkan program ‘Solidariti Islam-Kristian bagi Palestin’ sebagai tanda sokongan bahawa isu Palestin ini bukan permasalahan keagamaan.

Dalam siri forum dan ceramah bermula 17 hingga 24 Mac lalu, kami bawakan Pastor Kristian, Dr Alex Awad dan Imam, Sheikh Maher Ibrahim Mustafa Assad, kedua-duanya rakyat Palestin untuk berkongsi sendiri dengan rakyat Malaysia pengalaman mereka di bawah jajahan Zionis Israel.

Menurut Dr Alex, sejak 70 tahun lalu, 10 peratus penduduk Palestin beragama Kristian dan kini tinggal dua peratus selepas ramai dibunuh, dipenjara dan menjadi pelarian di seluruh dunia. Dianggarkan lapan juta rakyat Palestin, Islam dan Kristian menjadi pelarian, terutama di Asia Barat, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Berkhidmat sebagai paderi di East Jerusalem Baptist Church lebih 40 tahun lalu, beliau menceritakan bagaimana pertembungan gerila Yahudi dan tentera Jordan mengorbankan bapanya, memaksa mereka sekeluarga menjadi pelarian di kampung sendiri.

Penulis adalah Pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Unversiti Selangor (UNISEL)

Berita Harian X