Rabu, 3 April 2019 | 10:00am
FOTO hiasan.

Makanan, minuman di Terengganu mahal?

Pada musim cuti sekolah, seperti biasa di Terengganu khususnya Kuala Terengganu padat dan sesak kerana menjadi tumpuan pelancong yang membawa keluarga bercuti di negeri penyu ini. Variasi tarikan pelancongan di Kuala Terengganu sendiri khususnya menjadikan bandar raya ini, terutama di kawasan tumpuan ramai mengalami aliran trafik agak menekan, umpama berada di ibu kota Kuala Lumpur.

Signifikannya, jika anda tidak merancang awal dan datang bercuti secara mengejut ke bandar raya ini pada musim cuti sekolah atau cuti umum yang panjang, bersedialah untuk berdepan kesukaran mendapatkan penginapan.

Semua hotel tidak kira daripada yang berstatus bajet, mahupun bertaraf tiga dan empat bintang, inap desa, rumah tumpangan dan resort, penuh dengan tempahan terutama pada hujung minggu. Namun, apa yang harus disyukuri, ia menunjukkan Terengganu yang dulunya pernah berada pada kedudukan antara negeri paling miskin di Malaysia semakin maju dan makmur, dengan rak-yatnya sendiri dapat menikmati limpahan ekonomi, terutama daripada sektor pelancongan.

Bagaimanapun, dalam kita menikmati kegembiraan Terengganu menjadi tumpuan pelancong dan rakyatnya dapat menjana ekonomi berganda pada musim cuti panjang, banyak juga rungutan didengari yang rata-ratanya lebih selesa diluah dan dikongsikan di laman sosial masing-masing.

Antara lain ‘teguran’ yang paling banyak dilontarkan ialah mengenai harga makanan dan minuman yang disifatkan mahal dan tidak masuk akal, terutama di kawasan tumpuan pelancong seperti di Pantai Batu Buruk. Secara jujurnya, penulis sendiri yang sudah lebih 10 tahun berkhidmat di bumi Darul Iman ini tidak dapat menyangkal bahawa di sesetengah lokasi tumpuan pelancong, harga makanan dan minuman yang ditawarkan agak mahal, mengalahkan bandar raya besar lain.

Sebagai contoh, jika anda menikmati makan nasi tengah hari berlaukkan ikan tongkol singgang (juga dipanggil ikan ayer oleh penduduk setempat), beserta budu dan tea-o ais di medan selera di Pantai Batu Buruk, harga dikenakan boleh mencecah sehingga RM15.

Rakan penulis sendiri pernah dicaj RM10, hanya untuk lauk berupa dua ketul telur ikan masak singgang, yang pada hemat penulis terlalu mahal dan cekik darah. Itu belum lagi pengalaman penulis membeli air coconut shake di tapak ekspo di kawasan sama apabila segelas kecil dicaj pada harga RM5, sedangkan pada kebiasaannya, cuma RM3 segelas.

Masih ada tawar harga rendah

Apapun, tidak juga penulis nafikan, bukan semua peniaga bersikap hendak untung cepat, ter-utama apabila menerima kunjungan pelancong dari luar Terengganu yang ramai berganda pada musim cuti. Masih ramai juga yang menawarkan makanan dan minuman pada harga rendah dan kadang-kala buat kita terfikir adakah mereka beroleh keuntungan seperti peniaga yang menjual chicken chop pada harga RM4 sepinggan berbanding kelaziman RM8 dan nasi goreng RM2 berbanding kelaziman RM4 hingga RM5 sepinggan.

Berdasarkan kedudukan geografi Terengganu di Pantai Timur, ramai beranggapan kos sara hidup di sini lebih murah jika dibandingkan dengan bandar raya besar lain seperti di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Melaka.

Namun hakikatnya, negeri ini beberapa tahun lalu menerusi satu kajian oleh sebuah portal berita pernah tersenarai di kedudukan keenam dari 10 bandar atau tempat paling tinggi kos sara hidup, mendahului Kuching, Sarawak; Klang, Selangor; Labuan, Sabah dan Johor Bahru.

Kajian berdasarkan kos dan harga barangan keperluan harian seperti makanan, kadar sewa rumah dan keperluan pendapatan minimum rakyatnya untuk menikmati kehidupan selesa.

Selepas ini, satu lagi mercu tanda baharu iaitu Drawbridge dan pusat beli-belah baharu di tengah bandar raya ini bakal menjadi produk yang mampu menggamit pelancong datang ke negeri ini. Sudah pasti ia akan memberi lebih impak dan limpahan ekonomi buat penduduk negeri ini dan sama-sama kita saksi, apakah kesinambungan keluhan pelancong mengenai harga makanan dan minuman di bandar raya ini nanti.

Berita Harian X