Selasa, 26 Februari 2019 | 11:00am
Gejala intai boleh meruntuhkan nilai sosial, moral masyarakat, mengganggu ketenteraman, menggugat keselamatan awam dan menjejaskan privasi mangsa khususnya wanita. - Foto hiasan
Gejala intai boleh meruntuhkan nilai sosial, moral masyarakat, mengganggu ketenteraman, menggugat keselamatan awam dan menjejaskan privasi mangsa khususnya wanita. - Foto hiasan

Gejala intai jejas nilai moral, sosial

MENGINTAI, menghendap pasangan bermadu kasih dan anak dara mandi di sungai atau perigi, kemudian mengekorinya sehingga ke rumah, antara kes lazim berlaku pada zaman duhulu, tetapi itu dianggap kesalahan kecil.

Kalau sudah dinamakan manusia, sesetengah individu mempunyai naluri dan nafsu berbeza, lantas ia sukar dibendung walaupun berada pada zaman mana sekalipun.

Cuma, cabaran pada era tanpa sempadan ini lebih hebat dan menakutkan. Kegiatan mengintip atau menghendap lebih canggih menerusi kewujudan media sosial dan aplikasi telefon pintar apabila sasaran kepada individu tertentu menjadi lebih terancang.

Tanpa disedari ia adalah perangkap paling mudah pengintip mendapat maklumat apabila mangsa seronok tanpa berfikir panjang memuat naik gambar, video dan kapsyen pelbagai aktiviti dilakukan setiap hari di Facebook, Twitter dan Instagram.

Paling keji dengan pantas pengintip siber ini menyebarkan imej video atau gambar ke pihak lain atau untuk simpanan peribadi. Menerusi intipan itu tidak mustahil ia mendorong mereka mengekori dan mengendap mangsa sehingga ruang peribadi di rumah.

Tingkah laku itu ibarat candu. Si pengintip rasa resah dan ketagihan melakukannya tanpa henti hingga satu tahap jika gagal dibendung bakal mengundang jenayah seperti gangguan seksual, merogol, merompak serta pelbagai keganasan lain.

Dengan perubahan landskap sosial seperti tekanan kerja, penagihan dadah dan masalah keluarga, ia secara tidak langsung menyumbang kepada gangguan psikologi hingga menyebabkan mereka melakukannya.

Kajian penyelidik dari Universiti Toronto, mendedahkan kegiatan intip dan hendap boleh mengakibatkan masalah kesihatan mental meliputi kerisauan, kemurungan dan simptom kecelaruan stres postraumatik.

Di negara ini, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) pernah menerima 34 peratus kes keganasan rumah tangga yang ada kaitan dengan kegiatan intip dan hendap. Di Kanada dan Amerika Syarikat, 90 peratus wanita yang dibunuh pernah menjadi mangsa intip dan hendap sebelum mereka dibunuh.

Berdasarkan banyak kes pernah dilaporkan di seluruh dunia, ternyata perbuatan mengintip dan menghendap bukan pelakuan biasa dan wajar ditangani secara tuntas bagi mengelak jenayah lebih ganas.

Cetus ketakutan

Bagi mangsa, perbuatan itu menyebabkan mereka mengalami gangguan emosi, menimbulkan ketakutan dan kebimbangan sehingga menjejaskan rutin harian serta mewujudkan salah faham dengan banyak pihak.

Pada masa sama, gejala itu boleh meruntuhkan nilai sosial, moral masyarakat, mengganggu ketenteraman, menggugat keselamatan awam dan menjejaskan privasi mangsa khususnya wanita yang menjadi sasaran utama.

Sebilangan mangsa juga tidak pernah kisah kemungkinan mereka menjadi sasaran sedangkan ramai sahaja mata yang sentiasa memerhati, mengekori, menghendap atau mengintip atas sebab tertentu.

Gubal undang-undang khusus

Lantas, isu mengintip dan mengendap ini perbuatan serius kerana tiada undang-undang khusus bagi menghukum mereka.

Undang-undang sedia ada pada masa ini tiada peruntukan untuk mengambil sebarang tindakan tegas memandangkan ia sukar dibuktikan kecuali jika perbuatan itu mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap mangsa atau jenayah berat.

Justeru, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, yang menegaskan perbuatan mengintai dan menghendap bakal menjadi kesalahan dan rang undang-undang (RUU) mengenainya dijangka dibentang di Parlimen, tidak lama lagi.

Sudah tiba masanya undang-undang itu digubal bagi memastikan rakyat dapat hidup lebih aman damai tanpa ancaman dan gangguan. Kerajaan juga tidak seharusnya melengahkan penggubalan undang-undang sebelum sesuatu tragedi menyayat hati berlaku.

Banyak negara seperti Singapura, Filipina, Jepun, Australia, New Zealand, Kanada, United Kingdom dan Amerika Syarikat sudah melaksanakan Undang-Undang Menghendap.

Penghendap dan pengintai bukan sahaja mengganggu mangsa, malah menjejaskan nilai moral dan sosial masyarakat.

Dengan ada undang-undang itu, ia juga boleh dijadikan penanda aras untuk mengumpul data dan statistik bagi menganalisis kecenderungan pelaku jenayah serta punca terbabit dalam kegiatan itu.

Ini sekali gus dapat melihat trend tingkah laku individu terbabit, selain membantu pihak berwajib menyusun strategi bagi menangani isu ini secara menyeluruh.

Berita Harian X