Sabtu, 16 Februari 2019 | 11:04am
- Foto Hiasan

Misi rapatkan jurang golongan miskin, kaya

MASALAH jurang perbezaan antara golongan kaya dan miskin dihadapi hampir semua negara, sama ada negara mundur, membangun atau maju.

Keperluan merapatkan jurang perbezaan antara dua golongan ini boleh dikatakan amat mendesak kerana kesannya terhadap masyarakat cukup besar.

Kebiasaannya kita akan merujuk senario yang kaya semakin kaya, manakala yang miskin pula semakin miskin. Lantas jurang antara kedua-dua golongan ini semakin meluas.

Ia mencetus rasa tidak puas hati dalam kalangan orang miskin yang merasakan diri mereka ditindas, dipinggirkan, tidak dipedulikan dan jauh ketinggalan.

Ini boleh mengundang pemberontakan dalam kalangan masyarakat seperti di negara luar, sehingga mencetus rusuhan dan perang saudara.

Di negara kita, isu jurang miskin dan kaya banyak dikaitkan dengan identiti kaum serta lokasi kedudukan mereka.

Tindakan penjajah mengagihkan penempatan penduduk Tanah Melayu dengan menempatkan masyarakat Cina di bandar, Melayu di kampung dan India di estet, mencorakkan struktur politik, ekonomi dan sosial kaum serta identiti mereka.

Senario ini memberi kesan besar kepada jurang antara miskin dan kaya sehingga kini, di mana kelompok miskin dan kaya terus dirujuk kepada kaum tertentu.

Umumnya apabila takrifan miskin-kaya dirujuk berdasarkan identiti kaum, dengan mudah kita mengkategorikan majoriti golongan berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan atau sederhana (M40) adalah Melayu dan India, manakala kelompok berpendapatan tinggi (T20) pula majoritinya Cina.

Struktur ekonomi mengikut kaum

Ia selari struktur ekonomi mengikut kaum apabila orang Cina berada di bandar dan menguasai aspek perniagaan atau ekonomi, manakala Melayu berada di luar bandar dengan fokus kepada sektor pertanian dengan sebahagian berkhidmat dalam sektor kerajaan.

Bagi masyarakat India pula, sentimen luar bandar dan estet masih menebal, struktur ekonomi mereka juga masih tidak menentu dengan hanya sebilangan kecil berjaya dalam bidang perniagaan atau menjadi profesional seperti peguam dan doktor.

Ringkasnya orang Melayu dan India masih bergelut menstabilkan struktur sosioekonomi masing-masing. Ini mewujudkan jurang ketara antara kelompok kaya dengan miskin di negara kita.

Bagi menangani isu ini, kerajaan perlu memberi penekanan kepada beberapa indikator. Antaranya isu peluang pekerjaan, kadar gaji rendah, kenaikan kos sara hidup tinggi, serta label dan imej sesuatu pekerjaan mengikut kaum dan lokasi.

Umum mengetahui masyarakat Cina suka berniaga dan tidak begitu gemar makan gaji, berbeza dengan orang Melayu dan sebahagian kaum India.

Jika mahu kurangkan jurang antara B40, M40 dengan T20, peluang pekerjaan perlu terus dipertingkatkan dan dipastikan selari dengan kadar gaji sesuai.

Perniagaan bukan milik kaum tertentu

Kerajaan perlu melipatgandakan usaha untuk terus merancakkan sektor ekonomi golongan sasar dari kategori B40 dan M40, agar kedudukan sosioekonomi masyarakat dapat diseimbangkan.

Sudah tiba masanya mentaliti orang Melayu diubah. Jika mahu terus maju dan kaya, orang Melayu perlu bergiat aktif dalam perniagaan.

Identiti bidang perniagaan hanya dimiliki orang Cina tidak boleh lagi wujud. Walaupun perniagaan dilihat sektor berisiko tinggi, hakikatnya inilah lubuk emas yang boleh memajukan kedudukan diri dan keluarga serta membantu mengeluarkan kita dari garis kemiskinan tegar.

Peluang, platform dan insentif berterusan perlu disediakan kerajaan untuk membantu orang Melayu menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan walaupun secara kecil-kecilan.

Selain itu, jurang kekayaan antara miskin dan kaya sering dirujuk kemampuan pemilikan harta terutamanya rumah. Hari ini B40 dan M40 hanya mampu melihat rumah dibina pemaju kerana harga jualannya terlalu tinggi.

Jurang pemilikan rumah juga yang semakin besar terutamanya di bandar perlu ditangani segera. Ia untuk mengelak golongan kaya terus mempelopori hartanah di bandar, manakala orang miskin akan terus dipinggirkan dan ditolak jauh ke luar bandar.

Jika dibiarkan, ia berisiko membawa kita kepada situasi penempatan sama seperti ketika zaman pemerintahan British - yang kaya duduk di bandar dan yang miskin di luar bandar.

Apa pun inisiatifnya, kita perlu mencapai impian negara maju 2025 tanpa meminggirkan mana-mana kelompok masyarakat. Dalam erti kata lain, kita tidak mahu ada kelompok tertentu yang ketinggalan atau tercicir.

Penulis adalah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X