Jumaat, 1 Februari 2019 | 11:04am

'Melayu malas' cabaran jana ekonomi

SEJAK sekian lama, kita dimomokkan dengan mitos kononnya orang Melayu adalah bangsa pemalas. Bermula dengan pemerhatian Munshi Abdullah, pandangan sama diteruskan pula beberapa pegawai pada zaman penjajahan Inggeris seperti Sir Richard Winstedt, Sir Stamford Raffles dan Frank Swettenham.

Sering kali mereka melemparkan pandangan rendah terhadap orang Melayu selain menggunakan istilah negatif untuk menggambarkan lemahnya bangsa Melayu, ketika era penjajahan British.

Hari ini selepas lebih 60 tahun merdeka, persepsi malas itu belum dapat dipisahkan daripada orang Melayu. Terkini, bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan yang juga bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, menempelak sikap sesetengah usahawan Melayu kerana tidak tahu menghargai peluang biarpun pelbagai bantuan dan sokongan disediakan kerajaan.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan bertujuan mengurangkan jurang ekonomi antara kaum di negara ini dikatakan gagal mencapai matlamat selepas 50 tahun pelaksanaannya. Buktinya, kehidupan orang Melayu masih diibarat seperti ‘kais pagi makan pagi’ kerana hampir 75 peratus daripada golongan B40 terdiri daripada bangsa Melayu.

Benarkah orang Melayu bangsa malas? Menurut Syed Hussein Al-Atas dalam bukunya The Myth of The Lazy Native, orang Barat yang mula tiba ke Nusantara pada abad ke-16 tidak pernah sekalipun menyebut bahawa orang Melayu adalah malas.

Orang Melayu bijak

Mereka sebaliknya memuji orang Melayu sebagai golongan yang bijak berdagang sehingga ke Sri Lanka dan semua perniagaan dilakukan atas inisiatif serta modal sendiri.

Lebih membanggakan orang Melayu ketika itu belayar menggunakan kapal yang dibina hasil kepakaran tukang tempatan. Malah, mereka mempertahankan diri dengan peralatan perang dan senjata yang dihasilkan rakyat tempatan.

Namun, kehadiran kuasa penjajah ke Nusantara yang berjaya menguasai bandar pelabuhan penting turut membawa bersama mitos untuk mencipta kelemahan bangsa Melayu. Kesan monopoli perdagangan dan penjajahan Barat dikatakan melenyapkan kuasa pedagang Melayu.

Itu sejarah dahulu, apabila kita menjadikan isu penjajahan sebagai alasan terhadap kegagalan orang Melayu untuk bersaing dengan bangsa lain di negara sendiri.

Selepas merdeka, kuasa politik negara ini berada sepenuhnya di tangan orang Melayu sebagai pemimpin yang menentukan dan melaksanakan dasar untuk bangsa sendiri. Jadi, tidak keterlaluan jika pemimpin politik Melayu seharusnya dipersalahkan atas kegagalan orang Melayu di negara sendiri.

DEB mempunyai matlamat murni untuk menghapuskan pengenalan kaum berdasarkan kegiatan ekonomi dan tempat tinggal, malangnya dasar ini hanya memberi keuntungan kepada golongan tertentu, terutama elit di kawasan bandar dengan mengabaikan kepentingan lain di luar bandar.

Jurang pendapatan kaum terus melebar, malah pengurangan nisbah pendapatan gagal direalisasikan. Orang Melayu dilihat masih terikat dengan sektor ekonomi tradisional sehingga sukar menyaingi pendapatan kaum Cina misalnya, yang sudah lama memonopoli sektor moden, termasuk perniagaan di bandar.

Sektor pertanian harus diutama

Orang Melayu sejak dahulu dikaitkan dengan sektor pertanian. Seharusnya bidang ini diberikan perhatian utama kerajaan yang memerintah ketika era pascamerdeka dahulu.

Aziz Ishak yang menggalas jawatan sebagai Menteri Pertanian dalam Kabinet Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman, selepas merdeka pernah mengusulkan usaha untuk memajukan pertanian bertujuan mengubah taraf hidup petani dan pesawah.

Malangnya, beliau dipecat kerana dasar yang diperkenalkan didakwa bertentangan dengan kepentingan kapitalis British ketika itu.

Mungkin belum terlambat untuk kerajaan hari ini melihat semula usaha memajukan sektor tani, memandangkan sudah ada petani cili di Kuala Langat yang membuktikan mereka mampu memaksimumkan hasil tanaman menerusi bantuan teknologi, hasil bantuan agensi seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Ketika kerajaan terdahulu melihat bantuan wang dan subsidi seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) mampu membantu golongan B40 yang hidup miskin, petani dan peladang kecil berkenaan membuktikan bantuan serta sokongan teknikal lebih bermakna.

Ini terbukti apabila mereka mampu untuk melipatgandakan hasil pertanian, sekali gus meningkatkan status hidup mereka.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X