Ahad, 16 Disember 2018 | 11:01am
- Foto Hiasan
- Foto Hiasan

Kebebasan versi Barat belakangi fitrah insaniah

BAGI pendukung dan pemuja hak asasi manusia, idea mengenai kebebasan individu versi Barat dianggap terbaik buat mereka. Sikap mereka yang menjadikan Barat sebagai panduan atau sumber ilham mengenai kebebasan menjadikan mereka ‘buta’ untuk melihat nilai budaya ketimuran.

Mereka menganggap nilai ketimuran berpaksikan ajaran agama dan nilai moral budaya setempat, menyekat kebebasan tanpa batas yang mereka impikan. Bagi mereka, kebebasan versi Barat ialah idea utama berkaitan hak asasi manusia yang harus diperjuangkan.

Dari perspektif sejarah, perbahasan mengenai hak asasi manusia timbul sejak zaman tamadun Yunani. Aristotle dan Plato antara tokoh falsafah Yunani yang mencetuskan idea itu dengan memberikan penekanan kepada soal kebebasan, kesamarataan dan keadilan.

Ketika Eropah memasuki zaman penyerlahan (enlightenment) sekitar 1650-1800, lahir ‘gerakan pemikiran’ atau ‘revolusi intelektual’ yang membahas konsep mengenai Tuhan, alam, manusia dan ‘sebab musabab’ berdasarkan ‘rasio’ (penggunaan akal) secara mutlak tanpa merujuk kepada wahyu (agama).

Penggunaan akal secara mutlak ini melahirkan golongan ‘rationalisme’ dan ‘empiricisme’.

Idea mengenai kebebasan, kesamarataan dan keadilan dibahas berdasarkan akal dan pengalaman pancaindera semata-mata. Tokoh falsafah Barat seperti Thomas Hobbes, John Locke, Rousesseau, Rene Decartes dan Immanuel Kant dianggap tokoh yang membawa ‘idea progresif’.

Agama diketepikan

Idea ini berkembang dan menjadi dominan di Eropah ketika itu. ‘Idea progresif’ menekankan manusia harus menggunakan akal sepenuhnya supaya kehidupan menjadi bertambah baik dan maju. Untuk itu agama mesti dilupakan kerana ia menjadi penghalang kebebasan berfikir dan bertindak manusia.

Pada era pascamoden hari ini, Amerika Syarikat (AS) dianggap pelopor hak asasi manusia, walaupun idea mengenainya lebih awal diperjuangkan oleh tokoh dari Perancis dan Inggeris pada abad ke-17 dan 18.

Deklarasi Kemerdekaan Amerika 1776 dianggap sebagai dokumen penting yang mengaitkan AS sebagai pelopor hak asasi manusia dan demokrasi. Deklarasi dirangka Thomas Jefferson itu banyak mengambil ilham daripada idea terkandung dalam falsafah John Locke yang menekankan tiga aspek utama, iaitu kehidupan, kebebasan dan hak asasi.

Jefferson hanya mengubah idea itu kepada Life, Liberty and the Persuit of the Happiness (Kehidupan, Kebebasan dan Pencarian Kebahagian). Deklarasi itu menjadi landasan rakyat AS untuk memperjuang demokrasi dan hak asasi manusia.

Pada 1918, Presiden Woodrow Wilson dalam ucapannya yang dikenali sebagai Fourteen Points Speech memberikan penghargaan terhadap demokrasi dan hak kebebasan manusia.

AS meletakkan dirinya sebagai the guardian of democracy and human rights dan ini diperkukuhkan lagi melalui Doktrin Carter 1980 yang membuka ruang seluas-luasnya kepada negara itu untuk memperjuang dan menegakkan hak asasi manusia dalam dasar luarnya.

Perjuangan hak asasi manusia menjadi semakin melampau apabila lahir beberapa falsafah baharu di AS seperti fahaman pragmatisme yang mula berkembang pada akhir abad ke-19. Antara tokoh terkenal falsafah pragmatisme ialah Charles Sander Peirce, William James dan John Dewey.

Pragmatisme satu aliran yang berpegang kepada logik pengamatan semata-mata. Ia mengajar bahawa nilai itu sentiasa berubah dan tiada nilai yang tetap seperti yang diajarkan agama. Maknanya, aliran ini menolak nilai tetap (absolute) yang ada dalam agama.

Pada pandangan mereka, nilai kehidupan ini harus berubah mengikut zaman. Justeru, tidak hairan penganut pragmatisme moral beranggapan bahawa tidak salah jika hubungan seks tanpa nikah, liwat, gay dan lesbian dilakukan secara sukarela.

Demikian juga aktiviti lain seperti mengekspresi nilai erotik melalui kesenian, filem dan pelbagai lagi bentuk kebebasan kerana ia dianggap hak individu yang tidak patut dijadikan kesalahan di sisi undang-undang.

Memusuhi Islam

Oleh itu, pendukung hak asasi manusia versi Barat ini sangat memusuhi Islam kerana agama samawi ini mengajar nilai yang diikat dengan hukum-hakam agama.

Bagi pendukung pragmatisme moral, undang-undang dibentuk hanya untuk mengawal apa yang ditakrifkan sebagai jenayah yang boleh mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam sahaja.

Jelas bahawa hak asasi manusia versi Barat adalah berasaskan konsep individualisme yang meletakkan hak individu mengatasi hak komuniti. Individualisme menetapkan setiap individu diberikan kebebasan untuk melakukan apa juga aktiviti tanpa sekatan selagi ia tidak bersifat mengancam keselamatan masyarakat dan negara.

Oleh itu, tidak hairan wujud kelompok ekstremis memperjuangkan kebebasan secara melampau sehinggakan budaya seks bebas dan seks songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) dituntut supaya dijadikan halal atau sah di sisi undang-undang.

Sejak beberapa dekad lalu, tuntutan kebebasan melampau itu merebak di luar dunia Barat, termasuk di negara kita. Ia diperjuangkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang kononnya memperjuangkan hak asasi manusia.

Mereka itu adalah pendukung fahaman liberalisme dan pragmatisme moral yang melihat agama adalah soal individu semata-mata dan tiada kaitan sama sekali dengan masyarakat serta undang-udang.

Tak sesuai diamalkan

Bagi golongan yang tetap berpegang kepada nilai keagamaan dan adat ketimuran, nilai kebebasan Barat itu amat tidak sesuai untuk dipegang dan diamalkan dalam masyarakat kita. Mereka menolak konsep hak asasi versi Barat yang hanya berasaskan rasional atau penggunaan logik akal semata-mata.

Malah, banyak perkara diperjuangkan oleh pemuja kebebasan Barat adalah berlandaskan hawa nafsu dan menyimpang daripada fitrah insaniah.

Suatu ketika dahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah menyebut bahawa kebebasan sivil yang diketengahkan oleh konsep pemikiran Barat bercanggah dengan nilai kebebasan dalam tamadun Timur yang mengutamakan hak komuniti daripada hak individu.

Baru-baru ini, Perdana Menteri sekali lagi menolak konsep kebebasan Barat yang bersifat melampau itu dan menurutnya, ada perkara tertentu yang kita tidak boleh terima walaupun sekarang dianggap sebagai hak asasi manusia di negara Barat.

Beliau turut mengingatkan Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (SUHAKAM) bahawa sistem nilai di negara ini tidak sama seperti di Barat yang lebih bebas. Oleh itu, Malaysia tidak boleh menerima gaya hidup LGBT dan perkahwinan sejenis yang dianggap Barat sebagai hak asasi manusia.

Penulis adalah Penganalisis sosiopolitik

Berita Harian X