Selasa, 11 Disember 2018 | 11:15am

Perbankan Islam bantu rancak ekonomi

PAMERAN Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA 2018), baru-baru ini mencatatkan hasil jualan melebihi RM100 juta dengan kehadiran lebih tiga juta pengunjung. Ini menggambarkan betapa signifikan sektor makanan dan pertanian kepada penduduk dan ekonomi negara ini.

Tentu peranan dan sumbangan besar juga amat didambakan melalui institusi perbankan Islam yang mampu memberi kesan yang positif melalui pemberian dana pembiayaan patuh syariah dan perkhidmatan lain kepada usahawan tani.

Sumbangan dan peranan besar perbankan Islam terhadap umat Islam amat ketara merangkumi pelbagai perkhidmatan, termasuk simpanan, pembiayaan, pelaburan dan perkhidmatan lain sama ada untuk pelanggan individu, perniagaan sederhana dan kecil mahupun korporat.

Kemudahan yang disediakan dalam perbankan Islam ini merancakkan pelbagai bidang ekonomi, sama ada dalam sektor peruncitan, perkhidmatan, keusahawanan, perusahaan kecil dan sederhana, pelaburan, kewangan, takaful dan perindustrian. Namun, apakah perbankan Islam juga memberikan sumbangan yang bermakna kepada sektor pertanian?

Sektor pertanian sebenarnya satu bidang perusahaan dan keusahawanan yang berisiko tinggi. Risiko dalam pertanian boleh lahir dalam pelbagai bentuk seperti serangan haiwan perosak kepada hasil tanaman yang menyebabkan tanaman gagal dihasilkan seperti dikehendaki.

Risiko cuaca pula boleh mengakibatkan kemusnahan keseluruhan tanaman seperti banjir, kemarau, gempa bumi atau keadaan cuaca yang tidak menentu serta risiko lain membabitkan pengetahuan dan kemahiran usahawan atau petani.

Risiko pembiayaan

Namun, risiko pembiayaan satu daripada risiko yang amat penting untuk dinilai sekiranya sesuatu projek pertanian itu berupaya menghasilkan tanaman seperti diingini. Ini disebabkan usahawan tani atau petani yang ingin menjalankan sesuatu projek agro memerlukan modal yang agak besar sejak permulaan projek, sehingga hasil tanaman dapat dituai yang biasanya menjangkaui satu tempoh lama, iaitu melebihi satu tahun.

Dalam tempoh sebelum tuaian hasil, tentu usahawan tani memerlukan modal yang agak besar untuk mengusahakan tanaman serta tidak dapat memberikan komitmen untuk membayar semula pembiayaan secara berkala.

Di sinilah peranan perbankan Islam diperlukan dengan kepercayaan dan keyakinan harus diberikan kepada usahawan tani untuk mengusahakan projek pertanian dan pembayaran balik pembiayaan seharusnya diberi sedikit kelonggaran melebihi tempoh selepas enam atau tujuh bulan, tidak seperti pembiayaan biasa.

Ini amat penting bagi menjamin usahawan tidak terbeban sehingga hasil tanaman dapat dituai sepenuhnya. Keadaan sebegini memerlukan pengertian dan pengorbanan berbeza daripada pihak perbankan Islam bagi memastikan jaminan makanan yang juga aspek penting bagi kelangsungan hidup rakyat.

Produk pembiayaan bagi projek pertanian yang ditawarkan oleh institusi perbankan Islam semasa di negara ini amat terhad, selain daripada peranan yang agak memuaskan oleh Agro Bank.

Persoalan kedua yang juga penting bagi pembiayaan projek agro oleh perbankan Islam ialah akad yang paling sesuai untuk diaplikasikan bagi memenuhi aspek syariah dan muamalat bagi pembiayaan agro ini.

Seperti kita maklum, kebanyakan akad pembiayaan yang digunakan dalam perbankan Islam membabitkan akad jual beli seperti bay’ bitahaman ajil, bay’ murabahah, bay’ tawaruq atau bay’ innah yang agak kurang sesuai bagi aplikasi bagi pembiayaan projek pertanian.

Barang belum wujud

Ini disebabkan akad jual beli memerlukan beberapa rukun yang mesti dipenuhi sebelum akad itu menjadi sah seperti kewujudan sesuatu barang untuk sesuatu transaksi. Ini tidak berlaku dalam pembiayaan pertanian disebabkan tanaman baru hendak disemai dan hasilnya belum wujud. Ini menjadikan ia seolah-olah jual beli barang yang tidak wujud atau bay’ al-ma’dum.

Bagi menyelesaikan perkara ini, beberapa akad khas dalam pertanian Islam seperti musaqah, muzara’ah atau salam boleh diaplikasikan dalam perbankan Islam. Penggunaan akad yang khusus seperti yang dinyatakan ini membabitkan risiko tertentu dan tambahan kepada institusi perbankan Islam.

Namun, jika dilihat sumbangan bidang pertanian kepada ekonomi dan sosial negara, risiko terbabit seharusnya cuba diserap oleh bank Islam bagi memenuhi objektif pengantaraan berasaskan nilai yang kini menjadi bualan oleh pengamal dalam industri ini.

Justeru, penulis berasakan peranan dan sumbangan yang lebih besar perlu dimainkan oleh institusi perbankan Islam di negara ini bagi menjamin bekalan makanan menerusi projek pertanian yang kritikal dan strategik dapat diteruskan tanpa perlu diimport dari negara luar.

Pengimportan bekalan makanan bagi hasil pertanian ini membabitkan risiko lain seperti kenaikan harga bahan makanan disebabkan kenaikan dalam pertukaran nilai mata wang. Perlu ditegaskan bahawa aspek keuntungan yang berlipat ganda tidak harus menjadi pertimbangan utama dalam pemberian pembiayaan bagi projek pertanian oleh institusi perbankan Islam kerana ini ialah aspek keselamatan rakyat, iaitu bekalan makanan kepada penduduk.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Ekonomi & Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X