Jumaat, 7 Disember 2018 | 11:00am

Mahasiswa perlu lebih 'matang' menilai politik

SEJAK sekian lama, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dilihat sebagai ‘alat’ mengekang kebebasan warga kampus, sama ada mahasiswa atau warga akademik untuk terbabit dalam aktiviti berasaskan politik.

Justeru komitmen kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan kekangan itu pasti membuka ruang dan kelegaan kepada pejuang kebebasan mahasiswa.

Pembentangan tiga akta untuk pindaan di Dewan Rakyat oleh Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, pada Selasa lalu meletakkan kerajaan setapak lagi ke arah usaha pemansuhan AUKU.

Selain pindaan bagi memansuhkan peruntukan Seksyen 15(2)(c) AUKU 1971, dua lagi membabitkan pindaan Seksyen 47(2)(c) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan Seksyen 10(2)(c) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976.

Pindaan terhadap AUKU bukan baharu, sebaliknya ia sudah melalui beberapa fasa pindaan yang kali terakhir pada 2012.

Namun, AUKU masih kekal dibayangi unsur kekangan terhadap mahasiswa berpolitik, terutama kumpulan yang mirip berhaluan kepada pembangkang.

Konflik bidang kuasa AUKU bukan sekadar dilihat menghalang suara mahasiswa daripada didengari, malah turut menjadi punca hilang kuasa autonomi pihak universiti dalam membuat keputusan tertentu serta menjadi punca ketidakadilan kepada pelajar universiti secara amnya.

Lantaran kenyataan Menteri Pendidikan susulan pembentangan pindaan ketiga-tiga akta terbabit memberi jaminan positif apabila ruang kepada mahasiswa bersuara dan terbabit dalam aktiviti politik mengikut sistem demokrasi akan lebih terbuka.

Ia turut berupaya mengangkat suara dan pendapat mahasiswa mengenai isu semasa pada peringkat kebangsaan dan arena antarabangsa.

Untuk menggantikan AUKU, kerajaan akan turut menggunakan satu akta baharu pendidikan tinggi yang lebih baik.

MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto Mohd Fadli Hamzah
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Bercakap soal kebebasan politik, kebimbangan bukan sekadar kepada kawalan dan kekangan terhadap mahasiswa, sebaliknya unsur pengaruh politik yang mungkin menyerap sama ada secara senyap atau terang-terangan dalam pentadbiran universiti.

Penamatan kontrak Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebagai contoh seakan-akan menjurus ke arah itu walaupun dinafikan oleh Menteri Pendidikan.

Persepsi umum tetap menilai penamatan kontrak Noor Azlan mempunyai kaitan dengan kontroversi tindakannya yang dikatakan menghalang satu wacana membabitkan aktivis sosial, Hishamuddin Rais.

Dilema sebenar AUKU perlu juga melihat kedudukan mahasiswa itu sendiri.

Persoalan yang timbul adakah semua mahasiswa sama ada di universiti awam (UA) atau institusi pengajian tinggi (IPT) benar-benar ‘matang’ untuk memastikan mereka tidak terpesong dengan aktiviti lain seperti politik?

Dengan kata lain, sejauh mana mahasiswa kita mampu untuk memastikan pembabitan dalam hal berkaitan politik tidak membayangi tanggungjawab pelajar menuntut ilmu yang menjadi matlamat utama mereka di menara gading.

Faktor inilah juga perlu diberikan tumpuan dalam menilai pemansuhan AUKU.

Apa yang pasti kerajaan PH ini tidak seharusnya melihat pemansuhan AUKU sebagai sebahagian daripada usaha merealisasikan janji manifesto politik sebaliknya gambaran lebih menyeluruh perlu dinilai.

Justeru, keyakinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, agak menarik dihayati apabila menyatakan mahasiswa hari ini kian dewasa untuk membezakan antara tuntutan politik dan tumpuan terhadap pelajaran.

Kita percaya dengan mengambil kira pertimbangan inilah Kabinet merestui pindaan ke atas AUKU dibentangkan di Dewan Rakyat.

Berita Harian X