Jumaat, 19 Oktober 2018 | 11:01am
FOTO hiasan.

Minda Pengarang: VIP wajar jalani pemeriksaan keselamatan

ANTARA objektif utama mewujudkan rangkaian lapangan terbang sama ada antarabangsa atau domestik ialah menggalakkan pertumbuhan ekonomi tempatan dan negara.

Selain berfungsi sebagai pintu masuk dan keluar orang ramai atau barangan, lapangan terbang juga antara aset strategik keselamatan bagi sesebuah negara.

Justeru, aspek kawalan keselamatan antara isu utama dalam mana-mana lapangan terbang di dunia, termasuk Malaysia.

Tidak hairanlah, hampir setiap hari ada saja laporan mengenai kegiatan pihak tertentu menguji dan membolosi sistem kawalan keselamatan lapangan terbang atau sempadan negara.

Ini termasuk kes penyeludupan dadah, senjata api, pendatang tanpa izin dan banyak lagi kegiatan haram disebabkan kawalan yang longgar.

Pendedahan akhbar ini bulan lalu bagaimana bilik khas menunggu orang kenamaan atau VIP disalahgunakan untuk menyeludup wang haram, mendapat perhatian ramai mengenai kepentingan isu keselamatan di pintu masuk utama negara.

Orang kenamaan yang biasanya menggunakan pesawat atau jet persendirian, dikatakan menggunakan laluan khas tanpa pemeriksaan yang ketat seperti laluan penumpang biasa.

Di sinilah mereka mengambil kesempatan dengan menyeludup masuk wang tunai dalam jumlah besar sehingga mencecah RM49 juta (AS$12 juta) pada April lalu.

Ia dipercayai dibawa keluar melalui lapangan terbang oleh pegawai kanan sebuah agensi yang ada kaitan dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM) ketika pentadbiran terdahulu untuk tujuan politik, termasuk bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Kegiatan seperti ini tentunya menjejaskan imej lapangan terbang dan sistem kawalan keselamatan negara umumnya.

Malaysia mempunyai enam lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik dan 26 padang terbang yang menampung dan menguruskan ratusan ribu penumpang setiap hari.

Justeru, kita menyambut baik tindakan pantas kerajaan dengan mengarahkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan agensi keselamatan lain memperketatkan lagi kawalan di lapangan terbang mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Terbaru, kelmarin, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, berkata anggota kastam dan imigresen akan ditempatkan di luar bilik menunggu orang kenamaan atau VIP yang sebelum ini tidak dikuatkuasakan.

Ini termasuk penguatkuasaan penggunaan mesin pengimbas yang ditempatkan di laluan keluar VIP selepas pihak berkuasa mendapati mesin pengimbas ini jarang digunakan untuk memeriksa VIP yang membawa bagasi tangan dan barangan.

Bagi orang kenamaan pula, mereka sepatutnya akur dengan prosedur dan tatacara bilik menunggu VIP dan tiadanya pengecualian daripada melalui mesin pengimbas yang disediakan di pintu pelepasan dan ketibaan. Anggota pengiring yang diberi kebenaran mengiringi orang kenamaan juga wajar melalui prosedur dan pemeriksaan sama.

Kita tidak mahu pintu masuk dan sempadan negara dicemari lagi dengan isu mudah dibolosi dan dikenali sebagai tempat transit kegiatan haram, termasuk pengganas, pengubahan wang haram dan barangan curi.

Berita Harian X