Sabtu, 18 Ogos 2018 | 11:00am

Bimbing insan LGBT ke pangkal jalan

ISU transgender kembali menjadi perdebatan hangat bukan sahaja di media sosial, malah di media arus perdana berikutan dakwaan golongan terbabit kononnya wujud diskriminasi dalam kalangan masyarakat yang dikatakan menghalang kehidupan harian mereka.

Menggunakan pelbagai alasan demi memperjuangkan hak asasi kemanusiaan, golongan yang juga dikenali sebagai mak nyah ini cuba menarik perhatian umum, termasuk menteri agama untuk mencari penyelesaian terhadap masalah dihadapi mereka.

Jika diamati, agak janggal untuk melayan tuntutan pelik golongan berkenaan, terutama apabila fatwa di negara ini jelas dan secara terang menetapkan bahawa budaya mak nyah adalah haram dan dosa besar.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada April 1982 memutuskan, seseorang yang dilahirkan lelaki, hukumnya tetap lelaki, manakala seseorang dilahirkan perempuan, hukumnya tetap perempuan, walaupun (lelaki atau perempuan itu) menukar jantinanya melalui pembedahan.

Sehubungan itu, pertukaran jantina daripada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan adalah haram mengikut hukum syarak. Begitu juga dengan perlakuan dan budaya songsang yang menjadi ikutan golongan terbabit.

Daulatkan fatwa

Mengambil kira Islam sebagai agama rasmi di negara ini seperti diperuntukkan dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan, cukup jelas meletakkan bahawa fatwa yang dikeluarkan itu tidak seharusnya dipertikaikan lagi oleh mana-mana pihak.

Jika kita lihat dalam kalangan mak nyah di negara ini juga ramai daripada mereka beragama Islam dan sepatutnya tidak menjadi halangan untuk mematuhi apa yang sudah ditetapkan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan dikeluarkan pada 22 April 2015, meminta semua pihak mendaulatkan hukum dan fatwa yang diputuskan itu kerana ia berdasarkan nas syarak yang terang lagi nyata.

Dr Zulkifli berkata, memuliakan syarak dan mematuhinya hendaklah mengatasi segala-galanya dan tidak boleh sekali-kali dihukum kepada hukum syarak kerana ia datangnya daripada Rabb al-‘Alamin.

Hukum bukanlah diasaskan kepada logik akal semata-mata atau berasakan sebagai kebebasan hak setiap manusia, tetapi dalam Islam hendaklah berpandukan wahyu Ilahi dan hadyun nabawi (petunjuk nabi). Inilah yang mesti difahami oleh setiap umat Islam.

Mengulas polemik ini, Presiden Persatuan Kebajikan Darul Modahish, Mohd Khariri Mohd Ramli, menegaskan tidak ada istilah diskriminasi atau penindasan terhadap golongan transgender ini, termasuk dalam bidang pekerjaan yang mereka ceburi.

Sebaliknya, masalah wujud apabila mereka mahu mendapatkan hak sama rata seperti wanita normal, termasuk hak berpakaian seperti wanita apabila membabitkan bidang pekerjaan, sedangkan hakikatnya golongan terbabit adalah lelaki.

Enggan patuhi peraturan

Katanya, masalah tercetus kerana mereka tidak mahu mengikut atau mematuhi peraturan yang ditetapkan majikan seperti tidak membenarkan pekerja lelaki berpakaian wanita, mewarnakan rambut atau berambut panjang menyamai wanita.

“Disebabkan gagal untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan, mereka berasakan tertindas atau berlaku diskriminasi dalam kehidupan seharian, sedangkan mereka mempunyai pilihan, sama ada untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan atau memilih bidang kerja lain yang lebih bersesuaian dengan penampilan yang disukai,” katanya sebelum ini pernah menjalani kehidupan sebagai mak nyah.

Mengambil kira pengalamannya dahulu, Mohd Khariri berpendapat, golongan mak nyah atau transgender tidak sepatutnya mendapat layanan istimewa atau sama seperti wanita, sebaliknya mereka perlu diberikan sokongan atau bantuan dari segi pengisian ilmu agama supaya tidak terus terpesong dalam kehidupan songsang dan menyesatkan.

Mungkin ramai yang tidak tahu, Jabatan Agama Islam di setiap negeri mempunyai peruntukan membantu golongan mak nyah ini, sekiranya mereka ingin berubah dan membina kehidupan baharu.

Dalam soal penggunaan tandas juga, sepatutnya tidak berlaku pertikaian kerana sebaik-baiknya, transgender terbabit perlu terus memasuki tandas lelaki memandangkan fitrah asal mereka adalah seorang lelaki, sekali gus ia dapat mengelak berlaku kecelaruan identiti secara berterusan dalam diri mereka.

Kembali kepada fitrah

Masyarakat juga tidak seharusnya berterusan melayani golongan transgender sebagai wanita, sebaliknya mengubah persepsi masing-masing dengan menganggap mereka sebagai lelaki normal bagi mengelak perasaan wanita terus menebal dalam diri mereka.

Tidak perlu untuk terus melayani mereka memperjuangkan perkara yang sia-sia kerana semua itu hanya akan membuatkan ramai mak nyah terus dibuai perasaan bahawa diri mereka adalah wanita dan mahu kekal dalam keadaan sedemikian selama-lamanya.

Malah, sudah terbukti rekod di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menunjukkan lebih 3,000 individu, termasuk golongan mak nyah, lesbian, gay dan biseksual berjaya dibimbing untuk kembali ke pangkal jalan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X