Jumaat, 10 Ogos 2018 | 11:00am
SHAHAR bersama hasil karyanya ketika ditemui di Galeri Shalini Ganendra Fine Art, Petaling Jaya baru-baru ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
SHAHAR bersama hasil karyanya ketika ditemui di Galeri Shalini Ganendra Fine Art, Petaling Jaya baru-baru ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Karya seni angkat martabat suku Temuan

BERMULA sebagai aktiviti untuk menghindari perasaan rendah diri dan dibuli ketika di sekolah, seni lukisan akhirnya menyerlahkan potensi diri pemuda Orang Asli berketurunan suku Temuan, Shahar Koyok, 33. Beliau kini mencipta nama sebagai artis seni visual negara.

Lebih dikenali dengan nama Shaq Koyok, anak jati dari Kampung Pulau Kempas, Banting, Selangor ini sejak kecil menanam cita-cita tinggi untuk mengubah kehidupan tradisi keturunannya yang sering diluahkan menerusi kanvas lukisan.

Tidak hanya terbatas dalam seni visual, pemegang Ijazah Sarjana Seni Halus dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam ini turut berani meneroka pelbagai cabang seni daripada seni kontemporari hingga seni instalasi.

Paling membanggakan menerusi karyanya, beliau turut menyumbang kepada penyelesaian masalah yang berlaku dalam sekitar kehidupan masyarakat Orang Asli di negara ini, selain pembabitan secara langsung dalam kerja sukarela demi memelihara kepentingan kaum asal keturunannya.

Pengalaman melakukan penyelidikan di tiga negara tahun lalu banyak membantu usahanya untuk mengangkat martabat budaya kaum asal di negara ini menerusi karya seni.

Beliau berpeluang melakukan penyelidikan mengenai budaya dan kehidupan Orang Asal di tiga tempat, iaitu National Art Gallery of Australia di Australia; Museum of New Zealand Te Papa Tongarewa di New Zealand dan Eden Project di United Kingdom.

Bantu keciciran

“Peluang berada di sana selama tiga bulan cukup bermakna kerana membantu saya dalam usaha mengubah masalah keciciran yang banyak berlaku dalam kalangan pelajar Orang Asli di negara ini,” katanya di Galeri Shalini Ganendra Fine Art, baru-baru ini.

Penyelidikan berkenaan sebahagian daripada program Geran Penyelidikan Penempatan Antarabangsa Anugerah Merdeka 2017 yang dimenanginya tahun lalu.

Selain berkarya, beliau turut menganjurkan bengkel kesenian dan motivasi, terutama untuk pelajar anak Orang Asli bagi membantu mereka membina keyakinan dan mencari potensi diri.

Masalah buli dan rendah diri menjadi antara punca kebanyakan anak Orang Asli keciciran dan hilang minat untuk belajar, selain kebanyakan mereka tiada matlamat masa depan, jika meneruskan persekolahan.

“Saya cuba menggunakan pendekatan seni untuk menarik minat mereka, selain membantu mereka meluahkan perasaan dan membina keyakinan diri melalui lukisan yang juga mampu menjadi alat mereka berkomunikasi dengan masyarakat luar,” katanya.

Perjuangkan hak

Pengalaman yang dilalui ketika zaman kanak-kanak mendorong Shahar untuk membantu masyarakat Orang Asli, terutama pelajar sekolah supaya tidak terus ketinggalan atau tenggelam dalam arus pembangunan.

Shahar turut menterjemahkan perasaan dan kekecewaan yang pernah dilalui ketika kecil menerusi lukisannya, Confessions Of Palm Oil yang dihasilkan pada 2013 apabila menyaksikan sendiri kemusnahan dan pencerobohan hutan di kampungnya.

“Pada masa itu hutan ditebang dengan berleluasa untuk digantikan dengan penanaman sawit. Kejadian itu amat memberi kesan dalam kehidupan kami yang menjadi penghuni di kawasan terbabit.

“Selain menyaksikan sendiri kemusnahan alam, kejadian itu juga memberi inspirasi dalam kebanyakan karya saya untuk memperjuangkan hak tanah milik Orang Asal di negara ini,” katanya.

Turut mendapat perhatian ialah karya lukisannya yang dihasilkan di atas tikar mengkuang, menciptakan seni yang cukup unik dan memiliki nilai estetika tersendiri.

“Saya cuba untuk meletakkan status mengkuang yang cukup sinonim dengan masyarakat Orang Asli, terutama bagi suku Temuan pada satu tahap yang lebih tinggi dan membanggakan.

“Tidak banyak hasil anyaman mengkuang dipamerkan dengan cara yang lebih unik, termasuk di galeri seni di negara kita kerana ramai menganggapnya sebagai sesuatu yang sudah biasa.

“Saya mahu orang ramai menghargai anyaman mengkuang ini dan melihatnya sebagai hasil seni yang perlu dihargai,” katanya.

Lukisan mengkuang berkenaan turut dipamerkan di Galeri Shalini Ganendra Fine Art bermula Januari hingga Julai lalu, antaranya memaparkan potret wajah pelbagai suku kaum Orang Asli di negara ini.

Berbeza dengan masyarakat luar negara yang lebih menghargai seni, terutama dihasilkan masyarakat Orang Asli, karya seninya masih sukar untuk mendapat tempat di galeri seni di negara ini.

Bagaimanapun, beliau meluahkan rasa gembira kerana mendapat undangan untuk mempamerkan karyanya di New Zealand dan United Kingdom tahun depan.

Berita Harian X