Khamis, 21 September 2017 | 9:43am
PUSAT Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar di Jln Keramat Hujung, Kg Datuk Keramat yang mengorbankan 23 nyawa pelajar Tahfiz.- Foto Yazit Razali
PUSAT Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar di Jln Keramat Hujung, Kg Datuk Keramat yang mengorbankan 23 nyawa pelajar Tahfiz.- Foto Yazit Razali

Cari formula banteras dadah ancam remaja

SIASATAN awal polis ke atas kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato Keramat, dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat. Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh, berkata motif tindakan berpunca daripada ejek mengejek antara tujuh suspek ditahan dan sekumpulan pelajar pusat tahfiz itu.

Tujuh suspek ditahan berusia di antara 11 dan 18 tahun dan lima daripada mereka adalah penduduk kawasan berhampiran Kampung Dato Keramat. Ujian saringan air kencing mendapati enam daripada suspek itu didapati positif dadah jenis ganja. Selain itu, dua daripada semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berhubung merusuh dan mencuri kenderaan.

Daripada modus operandi dilakukan oleh suspek sehingga kebakaran yang meragut ramai nyawa pelajar tahfiz dan guru mereka, pasti kita sebagai orang awam tersentak. Pada tahap umur suspek yang dikategorikan sebagai remaja, gejala sosial yang serius dan keruntuhan akhlak sebagai punca berlakunya kebakaran dan mungkin tuduhan bunuh ke atas suspek boleh dilakukan nanti.

Sediakan premis selamat

Pada masa sama, penulis berasakan pihak pengurusan mana-mana asrama atau pusat tahfiz masih bertanggungjawab menyediakan premis yang selamat diduduki pada setiap masa.

Penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah dan remaja di Malaysia bukan perkara baharu. Gejala buruk ini bermula daripada ketagihan merokok yang keterlaluan sehingga mereka ingin mencuba perkara baharu dengan mencuba dadah pula. Akibatnya, dadah sama ada dalam bentuk ganja atau marijuana, yang boleh dimasukkan ke dalam rokok dan dibakar, serta dihisap asapnya sangat mudah menghasilkan ketagihan, mengkhayalkan, hilang pertimbangan dan gangguan tingkah laku.

Dalam kalangan penagih dadah, ganja mampu merangsang mental mereka supaya lebih 'efektif' termasuk melakukan perkara buruk. Ini terbukti daripada apa yang kita lihat dalam kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah adalah hasil kerosakan dan pengaruh buruk dadah.

Suspek dipercayai merancang secara terperinci untuk memastikan dendam berbalas dengan menggunakan petrol dan tong gas yang boleh menyebabkan kebakaran merebak terlalu pantas dan mangsa terperangkap.

Di bawah pengaruh ketagihan dan khayalan akibat dadah, pasti setiap tindakan berbahaya sanggup dilakukan oleh mereka. Kesan gejala sosial yang melampau bersifat jenayah adalah antara kemudaratan akibat ketagihan dadah. Kebanyakan penagih dadah sudah pasti tidak berminat dan tidak mempedulikan tanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat.

Tanpa melihat kepada umur mangsa, walaupun masih pada awal remaja, pengedar dadah sering mengambil kesempatan. Justeru, punca kes sebegini wajar dikaji dan cara menangani juga perlu menyeluruh. Mahu ataupun tidak, peranan ibu bapa sebagai benteng utama dalam mengawal dan memberi tunjuk ajar kepada anak.

Mengehadkan pergaulan, menjauhkan diri daripada kawan yang terbabit sama dan perhatian ibu bapa pada setiap anak mereka adalah antara formula penyelesaian terbaik. Masyarakat juga perlu berganding bahu dan mengambil tahu masalah persekitaran. Pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia mempunyai tugas khusus lain dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan. Namun usaha PDRM akan terbantut sekiranya tiada sokongan berterusan daripada masyarakat.

Penulis adalah Setiausaha Agung I-Medik (Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia) dan Pengarah Program Perubatan International Medical University (IMU)

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X