Isnin, 26 Disember 2022 | 3:33pm
Foto hiasan. - NSTP
Foto hiasan. - NSTP

10 nasihat ulama bijaksana buat pemimpin

TANGGUNGJAWAB sebagai pemimpin, pemerintah dan penguasa atau apa-apa sahaja gelaran diberikan adalah sangat berat kerana ia bukan sahaja membabitkan hubungan vertikal antara Allah SWT dengan makhluk, bahkan secara horizontol, iaitu sesama makhluk.

Secara umumnya, setiap manusia menerima amanah termasuk kepemimpinan seperti diingatkan Allah SWT dalam firman-Nya: "Sesungguhnya Kami kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya) dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya (ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara tidak patut dikerjakan." (Al-Ahzab: 72)

Ibnu Umar RA meriwayatkan Nabi SAW bersabda: "Ketahuilah setiap kamu ialah pemimpin dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa dipimpin. Seorang raja ialah pemimpin bagi rakyatnya dan dia akan diminta pertanggungjawaban terhadap dipimpin. Seorang suami ialah pemimpin bagi anggota keluarganya dan dia akan diminta pertanggungjawaban terhadap mereka. Seorang isteri ialah pemimpin bagi rumahtangga, suami dan anak-anaknya serta akan diminta pertanggungjawaban terhadap yang dipimpinnya. Seorang hamba ialah pemimpin bagi harta tuannya dan dia juga akan diminta pertanggungjawaban terhadap apa dipimpinnya. Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan diminta pertanggungjawaban atas apa yang kamu pimpin." (Hadis riwayat Muslim)

Tanggungjawab dan amanah kepemimpinan itu semakin berat dengan meningkatkan kedudukan seseorang itu serta berapa besar khalayak dipimpinnya, sekali gus berdepan dengan pelbagai cabaran kerana terpaksa membawa orang dipimpinnya ke arah kebaikan.

Malah, seseorang pemimpin itu bukan sahaja bertanggungjawab terhadap manusia, sebaliknya ia turut merangkumi tumbuhan dan haiwan hingga Khalifah Kedua, Sayidina Umar al-Khattab RA seperti dirakamkan dalam kitab Hilyah al-Auliya berkata: "Sekiranya seekor biri-biri mati akibat tersesat jalan di tebing Sungai Furat, aku bimbang Allah SWT akan bertanya mengenainya kepada aku pada hari Kiamat."

Pemimpin paling bahagia

Betapa beratnya tanggungjawab kepemimpinan itu menyebabkan Umar turut menasihatkan gabenor yang diberikan kuasa mentadbir wilayah Islam yang semakin meluas dan berkembang seperti warkah kepada Abu Musa al-Asy'ari RA.

Kata Umar, pemimpin paling bahagia di sisi Allah SWT adalah individu membahagiakan rakyat yang diuruskannya, manakala pemimpin paling celaka adalah orang paling menyusahkan warganya.

"Berhati-hatilah agar kamu tidak menyimpang atau melampau hingga penguasa di bawah kamu juga akan berbuat demikian," tulisnya.

Malah, hal itu turut mendapat perhatian ulama termasuk di alam Melayu yang menulis nasihat kepada pemerintah dan pemimpin sama ada dalam bentuk sebuah kitab atau memasukkannya dalam karyanya.

Dalam Naso'ihul 'Ibad fi Bayani Alfazhi al-Munabbihat 'ala Isti'dad li Yaum al-Ma'ad yang turut ditransliterasi sebagai Kumpulan Nasihat Pilihan Bagi Para Hamba terbitan Wali Pustaka, Sheikh Nawawi al-Bantani, menukilkan 10 nasihat kepada pemimpin melalui kisah raja yang meminta lima ulama bijaksana memberikan dua potong kalimah hikmah kepada penguasa dipertanggungjawab dengan urusan kepemimpinan.

Nasihat diberikan itu seharusnya dijadikan sumpah yang meskipun tidak dilaungkan di hadapan sesiapa tetapi dihadam di dalam hati sebagai satu garis sempadan dan panduan kepemimpinan.

Ulama pertama mengingatkan perasaan takut kepada Pencipta akan memberikan rasa aman dan keselamatan, sedangkan tidak takut kepada-Nya menjadi kekufuran, manakala nasihat kedua pula ialah tidak takut kepada makhluk memberikan kebebasan, manakala ketakutan sesama makhluk akan membelenggunya.

Ulama kedua pula berpesan sifat raja' atau penuh pengharapan kepada Allah SWT hakikatnya adalah kekayaan yang tidak akan ditimpa kemelaratan, manakala putus asa kepada-Nya menjadi kefakiran hingga tidak akan disentuh kekayaan.

Ulama ketiga menasihatkan kemelaratan harta benda tidak sesekali membawa kemudaratan kepada orang yang kaya hatinya, tetapi kekayaan harta tidak akan memberikan manfaat kepada orang yang miskin hatinya.

Ulama keempat pula mengunjurkan kedermawanan hanya menambah kekayaan bagi orang kaya hatinya, sedangkan hati miskin hanya mengakibatkan orang kaya menjadi papa.

Ulama kelima pula menitipkan nasihat bahawa melakukan sedikit kebaikan lebih baik daripada meninggalkan banyak keburukan, manakala meninggalkan seluruh perkara buruk lebih baik daripada melakukan sedikit kebaikan.

Oleh itu, nasihat ke-10 itu wajar dipegang pemimpin dan penguasa terutama ketika salah guna kuasa dan rasuah menjadi 'budaya' dalam masyarakat, sekali gus tidak terpedaya dengan kata-kata mencari justifikasi terhadap kesalahan dilakukan, iaitu 'biarlah aku rasuah kerana aku nanti akan bantu rakyat susah.'

Dalam hadis diriwayatkan Imam Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapapun pemimpin menipu rakyatnya, maka tempatnya di neraka."

Ma'qil Ibnu Yasar al-Muzani RA berkata: Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada seorang hamba diberikan tanggungjawab memelihara rakyat sedangkan dia mati dalam keadaan menipu warganya, melainkan Allah mengharamkan syurga kepadanya. (HR Muslim)

Pengarang Berita (Rencana & Agama) BH

Berita Harian X