Jumaat, 19 Ogos 2022 | 11:00am
Umat Islam perlu memantapkan akidah berlandaskan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah dengan menghadiri majlis ilmu di masjid atau surau.
Umat Islam perlu memantapkan akidah berlandaskan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah dengan menghadiri majlis ilmu di masjid atau surau.

Persiap diri dengan ilmu al-Quran, sunah hadapi dakyah ajaran sesat

Kebelakangan ini, semakin banyak ajaran dan fahaman menyeleweng yang muncul dan merosakkan pegangan akidah sebahagian umat Islam.

Faktor utama munculnya terlalu banyak ajaran dan fahaman menyeleweng ini sudah tentu kerana kejahilan sama ada dalam kalangan pengikut atau pembawa ajaran sesat.

Kepesatan dan kemudahan teknologi sedia ada juga membantu penyebaran dakyah sesat dan menyeleweng ini sekali gus menambah cabaran dalam usaha mengekangnya.

Kemunculan ajaran sesat dan menyeleweng ini berlaku sejak dari dahulu lagi. Inilah dihadapi sepanjang usaha penyebaran dakwah Islamiah.

Sejak dari zaman Rasulullah SAW lagi ada pihak cuba memesongkan umat Islam daripada landasan sebenar.

Contohnya Musailamah Habib (Musailamah al-Kazzab) mendakwa dirinya nabi. Oleh sebab itu, pada ketika itu, orang yang membawa ajaran sesat seperti mengaku diri sebagai nabi selain daripada Rasulullah SAW, dihukum bunuh.

Imam al-Ghazali pula pada zamannya, berusaha mempertahankan akidah umat Islam daripada dipengaruhi pemikiran falsafah Greek melalui kitabnya al–Munqiz min Dhalan dan Tuhfatul al-Falasafah.

Allah SWT menegaskan kebenaran Islam dan kepincangan ajaran lain menerusi firman-Nya bermaksud: "Sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan lain dari Islam, kerana jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa." (Surah al-An'am, ayat 153)

 Tamak kejar kesenangan dunia 

Selain itu, ketamakan mengejar kesenangan dunia juga faktor munculnya ajaran sesat. Pembawa ajaran sesat ini terlalu ghairah mencari pengikut untuk mengumpul kemewahan diri dan mengejar keseronokan duniawi.

Mereka tamak mengumpul harta menerusi sumbangan pengikutnya. Mereka memperdaya orang lain, berdamping dengan jin serta syaitan dan membawa berita palsu sedangkan hakikatnya mereka juga diperdaya.

Inilah disebut Allah SWT sebagai orang rugi seperti firman-Nya dalam Surah Fussilat ayat 25 bermaksud: "Kami adakan untuk mereka teman rapat (jin dan manusia), lalu teman itu menghiaskan kepada mereka (fahaman sesat) mengenai perkara dunia di hadapan mereka, serta perkara akhirat di belakang mereka; dan (dengan sebab itu) tetaplah hukuman (azab) atas mereka bersama-sama umat (yang sesat) jin dan manusia terdahulu daripada mereka. Sesungguhnya mereka semua golongan rugi (bawaan hidupnya)."

Usaha membanteras penyebaran ajaran sesat juga diperuntukkan kepada penguat kuasa agama negeri.

Maklumat orang awam melaporkan sebarang perkara pelik dan keganjilan sesuatu ajaran itu membantu pihak berkuasa agama negeri untuk mengambil tindakan segera terhadap pelakunya.

Inilah usaha sinergi perlu digabungkan bagi menyelamatkan akidah umat Islam. Sungguhpun ada peruntukan undang-undang bagi pengamal ajaran sesat ini, ia bukan semata-mata menghukum mereka, bahkan matlamat utamanya ialah memulihkan akidah mereka supaya dapat kembali ke landasan ajaran Islam sebenar.

Ia bukan mengutamakan hukuman kepada pesalah, tetapi yang lebih mustahak ialah umat Islam tidak terpengaruh dengan ajaran sesat itu dan berpeluang bertaubat kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman: "Wahai orang beriman. Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan 'Taubat Nasuha', mudah-mudahan Tuhan kamu menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke Syurga, mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak menghinakan Nabi dan orang beriman bersama-sama dengannya." (Surah al-Tahrim, ayat 8)

Tanggungjawab umat Islam kini semakin berat. Asasnya, ibu bapa mesti mempersiapkan anak dengan didikan agama mantap.

Kita tidak dapat membayangkan cabaran mereka akan hadapi pada masa akan datang. Namun, sudah tentu ia pasti lebih mencabar.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 15: "Sesungguhnya orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang benar (pengakuan imannya)."

 Ilmu agama jadi pembeza 

Ilmu agama juga menjadi pembeza antara kebenaran dan kebatilan. Tanpa ilmu agama, manusia tidak dapat membezakan sesuatu yang benar atau salah.

Dengan ilmu agama juga, seseorang dapat menilai sesuatu perkara itu sama ada ia berada di atas landasan syariat ataupun tidak. Hasil pertimbangan dan penilaian berdasarkan ilmu ini menjauhkan seseorang daripada terjebak dan terpengaruh dengan ajaran batil.

Setiap kali munculnya ajaran baharu, maka ia perlu dirujuk kepada pihak berkuasa. Justeru, teknologi yang ada sepatutnya dimanfaatkan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW memerintahkan umat Islam meninggalkan setiap perkara tidak memberi manfaat.

Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Antara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak berkaitan dengannya (tidak berfaedah baginya)." (HR Tirmizi).

Imam Syafie pernah mengungkapkan: "Jika kamu melihat seseorang boleh terbang di udara dan boleh berjalan di atas air, jangan kamu tertipu dengannya sehingga kamu mengukur peribadi dan amalannya dengan pertimbangan neraca al-Quran dan al-Sunnah."

Peringatan ini menunjukkan umat Islam perlu berdiri atas landasan dipimpin Rasulullah SAW melalui al-Quran dan hadisnya.

Tindakan mencari landasan lain bermatlamatkan hawa nafsu dan keseronokan diri hanya mengundang kesesatan dan terjerumus ke lembah kehinaan.

Maka, umat Islam tidak ada alasan lagi melainkan perlu memantapkan akidah berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan menghadiri majlis ilmu di masjid atau surau.

Selain itu, umat Islam perlu cakna dan peka dengan setiap fatwa negeri yang mewartakan ajaran didapati sesat serta menyeleweng daripada pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Penulis adalah Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Berita Harian X