Jumaat, 5 Ogos 2022 | 2:51pm

Jenaka perlu ada batasan, elak jadi racun melalaikan

TIDAK dapat dinafikan ketawa dapat mengubat suasana hati resah dan menukar perasaan sedih menjadi gembira hingga pepatah Inggeris menyebut ketawa ialah ubat terbaik.

Ketawa terjadi secara spontan, tetapi ia boleh dicetuskan antaranya dengan jenaka dan komedi. Kemampuan berjenaka membuatkan orang lain ketawa tidak dimiliki semua, sebaliknya berdasarkan kreativiti penggiat seni seperti pelukis, penulis, pelakon dan ahli komedi untuk menyampaikan bahan komedi dalam pelbagai bentuk hingga mencetuskan elemen kejutan kepada penonton, lalu mereka tertawa.

Dalam konteks agama, Islam tidak melarang umatnya berjenaka dan tertawa. Nabi SAW sendiri mempunyai sifat tabii seperti manusia lain cenderung terhibur lantas tertawa dengan jenaka orang lain. Namun, ia perlu dilakukan dalam ruang lingkup tertentu supaya tidak keterlaluan.

Antara batas berjenaka adalah tidak menjadikan Allah dan agama-Nya sebagai bahan jenaka hingga menjadi tindakan memperolok dan menghina, termasuk mempermainkan syariat Islam, meremehkan ayat al-Quran serta mengejek gaya hidup umat Islam.

Firman Allah SWT: "Dan jika engkau bertanya kepada mereka (mengenai ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main." Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?" Janganlah kamu berdalih (dengan alasan dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (menzahirkan) iman. (Al-Taubah: 65-66)

Larangan berjenaka hingga menghina agama tidak terhad dalam Islam, bahkan agama lain. Ini difahami melalui firman Allah SWT: "Dan janganlah kamu mencerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan tiada pengetahuan." (Al-An'am: 108)."

Oleh itu, umat Islam yang menceburkan diri dalam seni komedi perlu menjauhkan diri daripada berjenaka dengan merendahkan agama lain.

Selain menyentuh agama, Islam turut menggariskan agar komedi dilakukan tidak sampai kepada menghina atau mengejek orang lain. Ini termasuk menjadikan peribadi, rupa paras, warna kulit, bentuk tubuh dan bangsa orang lain sebagai bahan jenaka.

Larangan ini ditegaskan dalam al-Quran: "Wahai orang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki lain, (kerana) harus puak dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan lain, (kerana) harus puak dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan lain dengan gelaran buruk. (Larangan berkenaan menyebabkan orang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang zalim. (Al-Hujurat: 11)

Buli secara lisan

Malangnya, perbuatan ejek dan hasut maya dengan tujuan berjenaka banyak berlaku khususnya dalam penulisan dan ilustrasi komedi di media sosial. Dikhuatiri ketawa dirangsang melalui jenaka sebegini sudah tidak menjadi ubat, sebaliknya racun kepada emosi individu. Tambahan pula, hal itu boleh berubah menjadi perbuatan buli secara lisan.

Hakikatnya, dalam aksi, penulisan dan ilustrasi komedi, penggiat seni perlu mengelak daripada bentuk komedi berunsurkan penipuan. Ini termasuk mereka-reka cerita tidak wujud mengenai orang lain, menyampaikan kisah dusta dan menyampaikan fakta tidak benar.

Berdusta meskipun untuk berjenaka dilarang Nabi SAW menerusi hadis: "Celakalah buat seseorang menceritakan suatu cerita dengan tujuan membuatkan sesuatu kaum itu ketawa maka dia berdusta. Celakalah buatnya, celakalah buatnya." (Hadis riwayat Abu Daud)

Kesederhanaan perlu diutamakan dalam setiap perkara, termasuk berjenaka dan ketawa. Meskipun ketawa itu menggembirakan, ia perlulah diraikan dalam lingkungan tidak melalaikan. Nabi SAW mengingatkan: "Janganlah kalian banyak tertawa kerana banyak tertawa akan mematikan hati." (HR Ibnu Majah)

Penulis adalah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X