Rabu, 13 Julai 2022 | 10:30am
Media sosial seharusnya dimanfaatkan sebaiknya untuk menyampaikan maklumat, berita dan merapatkan ikatanpersaudaraan. - Gambar hiasan
Media sosial seharusnya dimanfaatkan sebaiknya untuk menyampaikan maklumat, berita dan merapatkan ikatanpersaudaraan. - Gambar hiasan

Waspada kongsi kisah anak di media sosial, elak jenayah siber

Tidak dapat dinafikan dalam era digital sekarang, kanak-kanak tidak terlepas daripada terjerumus dengan perkongsian identiti di media sosial. Justeru, rakyat Malaysia, terutama guru atau pendidik perlu lebih berhati-hati dalam berkongsi kandungan di media sosial peribadi mereka apabila ada membabitkan golongan kanak-kanak.

Di Malaysia, belum ada lagi undang-undang khusus mengenai pelanggaran hak peribadi kanak-kanak dalam bentuk akta atau peraturan terutamanya hak mereka di alam digital.

Peningkatan perkongsian memaparkan kanak-kanak atau pelajar dalam media sosial perlu dipandang serius pihak berwajib. Hal ini boleh menjadi faktor pendesak untuk Malaysia mewujudkan akta khas seperti Children Online Privacy Protection Act (COPPA) di Amerika Syarikat (AS).

Selain itu, garis panduan khusus untuk guru berkongsi kandungan di media sosial perlu diwujudkan dengan tumpuan utama adalah perlindungan hak dan kerahsiaan pelajar dan kanak-kanak.

Garis panduan nilai dan etika penggunaan media sosial bagi guru dan murid yang diluluskan Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2017 perlu ditambah baik seiring dengan perkembangan digital sangat pantas.

Selain itu, bukan hanya perkongsian dari pihak guru yang perlu diambil perhatian, perkongsian oleh ibu bapa di media sosial juga yang diistilahkan pakar sebagai sharenting juga suatu fenomena semakin meningkat kini.

Ibu bapa perlu sedar data ini bukan hanya kekal di media sosial peribadi mereka sahaja, malah dikumpul pihak ketiga ini untuk menyusun portfolio yang boleh digunakan untuk tujuan pemasaran.

Islam pelihara hak peribadi

Oleh itu, sebelum membuat apa-apa perkongsian di media sosial, ibu bapa perlu memikirkan dahulu risiko pelanggaran hak peribadi dan ancaman jenayah siber mungkin menimpa anak-anak ini.

Dalam konteks Islam, agama ini tidak pernah mengabaikan isu hak peribadi individu. Hak ini dijaga dan dipelihara sesuai dengan maksud nama Islam itu sendiri yang membawa kesejahteraan dan kebaikan kepada seluruh umat manusia.

Islam sangat menitikberatkan kepentingan memelihara, menjaga, melindungi dan menghormati hak peribadi dalam kehidupan. Contoh hak peribadi disebut dalam al-Quran adalah kewajipan meminta izin sebelum manusia ke rumah orang lain seperti dijelaskan menerusi ayat 27, surah Al-Nisa, bermaksud: "Wahai orang beriman, janganlah kamu masuk ke mana-mana rumah bukan rumah kamu, sehingga kamu terlebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu)".

Dalam aspek menjaga hak peribadi dan menjaga maruah, Allah SWT memerintahkan kita meminta izin sebelum masuk ke bilik ahli keluarga sendiri, seperti dinyatakan pada ayat 58, surah al-Nur, bermaksud: "Wahai orang beriman, hendaklah hamba kamu dan orang belum baligh dalam kalangan kamu, meminta izin kepada kamu (sebelum masuk ke tempat kamu), dalam tiga masa; (iaitu) sebelum sembahyang subuh, ketika kamu membuka pakaian kerana kepanasan tengah hari dan sesudah sembahyang Isyak. Itulah tiga masa bagi kamu (yang biasanya terdedah aurat kamu padanya). Kamu dan mereka tidak bersalah kemudian daripada tiga masa itu (kerana mereka) orang selalu keluar masuk kepada kamu dan kamu masing-masing sentiasa berhubung rapat antara satu sama lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-Nya (yang menjelaskan hukumNya), dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana".

Daripada ayat al-Quran ini, jelas menunjukkan hak peribadi dijamin dan dilindungi dalam Islam. Setiap kita tidak boleh melanggar hak peribadi orang lain walaupun ahli keluarga sendiri.

Hak peribadi ini juga membabitkan maruah seseorang (hifz al-'ard) yang mana satu daripada lima perkara mesti dijaga dalam Islam dan tersenarai dalam matlamat syariah.

Ini menunjukkan betapa pentingnya menjaga, memelihara dan menghormati hak peribadi individu daripada dicerobohi. Sebarang pelanggaran kepada hak ini adalah salah dan berdosa di sisi Islam.

Sifat malu perlu ada dalam diri

Ruangan media sosial seharusnya dimanfaatkan sebaiknya untuk menyampaikan maklumat, berita dan merapatkan ikatan persaudaraan. Malangnya, kerana kurang atau hilang sifat malu, sebahagian daripada manusia rela berkongsi apa sahaja tindak tanduk dan tingkah laku di media sosial demi meraih perhatian ramai.

Semua perkara hendak dijadikan kandungan (content), walaupun ia menyentuh aib dan maruah diri sendiri, serta orang lain. Dalam hal ini, umat Islam perlu menghayati hadis Nabi SAW mengenai kepentingan sifat malu perlu ada dalam diri kita bermaksud: "Malu itu sebahagian daripada iman."

Dalam hadis lain diriwayatkan Bukhari, Nabi Muhammad SAW memberi peringatan bahaya apabila manusia hilang sifat malu bermaksud: "Sekiranya kamu tidak ada perasaan malu, buatlah apa yang kamu suka."

Justeru, masyarakat termasuklah guru yang sentiasa berurusan dengan kanak-kanak perlu dididik mengenai bahaya dan akibat perkongsian kandungan di media sosial.

Janganlah kerana hendak mengejar pengikut (followers), hak dan privasi kanak-kanak dilanggar sehingga mengaibkan mereka dan mendedahkan bahaya dunia siber.

Ibu bapa, guru dan masyarakat perlu berhati-hati berkongsi apa sahaja kandungan di media sosial kerana ia membabitkan hak peribadi apatah lagi kanak-kanak.

Sebagai orang lebih dewasa, kita seharusnya menjadi contoh teladan kepada anak kecil dan memberikan didikan sopan terutama memelihara sifat malu sebagai syarat dalam kehidupan menjadi orang beriman.

Penulis adalah Pensyarah, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Berita Harian X