Khamis, 21 Mei 2020 | 11:11pm
Membaca al-Quran dan memahami kandungannya melahirkan ‘jiwa hamba’ dalam diri setiap insan. - Foto hiasan
Membaca al-Quran dan memahami kandungannya melahirkan ‘jiwa hamba’ dalam diri setiap insan. - Foto hiasan

Memahami al-Quran secara kontekstual

RAMADAN sememangnya sinonim dengan al-Quran, apatah lagi Kitab Suci itu diturunkan pada bulan ini. Allah SWT berfirman: "Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara benar dengan salah." (Al-Baqarah: 185)

Banyak program terkait dengan al-Quran dijalankan meliputi majlis tadarus dan khatam al-Quran serta ceramah sempena Nuzul Quran.

Malah, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19 secara positifnya, menambahkan kuliah secara dalam talian. Ustaz, pendakwah dan pengelola pusat pengajian pelbagai latar belakang aktif memberi sumbangan keilmuan lewat pelbagai aplikasi dalam talian.

Antaranya program anjuran Tadabbur Centre yang diketuai Syaari Ab Rahman menghidangkan santapan rohani kepada umat Islam dengan menjemput ilmuwan berautoriti dalam bidang tafsir al-Quran.

Pada masa sama, dalam keterujaan menekuni Kitab Suci dengan membaca dan tadabbur, perlu juga diberi perhatian bahawa proses memahami al-Quran perlulah diawali dengan memahami prinsip utamanya.

Prinsip itu ialah al-Quran (termasuklah sunnah) perlu difahami secara kontekstual. Memahami al-Quran secara tekstual atau harfiah akan membuatkan kita berhadapan dengan risiko tersalah faham kandungannya. Lebih malang, kefahaman itu tergelincir tanpa disedari dan tertipu dengan diri sendiri apabila berasakan kefahamannya benar.

Kontekstual dalam memahami al-Quran boleh dilihat dari tiga perspektif, iaitu asas kefahaman, bahasa Arab dan diri sendiri. Dari sudut asas kefahaman, ia perlu terbina daripada tiga rukun agama, iaitu ilmu fardu ain merangkumi aqidah, fiqh dan tasauf.

Hal ini dicerap daripada kandungan surah al-Baqarah ayat ke-129; Ali Imran (164) dan al-Jumu'ah (2). Ayat terbabit pula perlu dibaca bersama dengan hadis Jibril, sekali gus mendasari dan memandu kefahaman kita apabila bertadabbur.

Jika diamati ilmu fardu ain didasari nas itu, ulama menegaskan pegangan akidah yang hak dan benar ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) secara ijmak, yakni dalam kerangka perbahasan dinisbahkan dengan nama Asyairah dan Maturidiyah.

Ia meliputi perbahasan berkenaan Ilahiyat, Nubuwwat dan Sam'iyyat yang diawali dengan memahami jenis hukum meliputi hukum akal, adat dan syarak. Kemudian, barulah dilanjutkan kepada perbahasan setiap Rukun Iman dan segala berkaitan.

Seterusnya, pengamalan fiqh pula dalam kerangka mazhab muktabar meliputi Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali. Proses pembersihan jiwa dalam tasawuf pula berdasarkan panduan dasar dibentangkan Hujjatul Islam Imam al-Ghazali dan yang seumpamanya.

Umat Islam perlu belajar ketiga-tiga ilmu ini terlebih dahulu dan tidak terburu-buru 'berenang' dalam lautan al-Quran supaya tidak 'lemas.'

Kontekstual kedua ialah bahasa Arab berkaitan ilmu balagah dan dalalah. Dari sudut pengajian al-Quran, ia dikenali sebagai Asalib al-Bayan. Berdasarkan kepada isyarat ayat yang menyatakan al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab seperti ayat ke-195 Surah al-Syu'ara, perlu diambil perhatian segala terkandung dalam al-Quran harus difahami berdasarkan konotasi, budaya, uruf dan penggunaan masyarakat Arab khususnya dalam tempoh al-Quran diturunkan.

Jika al-Quran diterjemahkan kepada bahasa lain, terjemahan itu tidak seharusnya secara harfiah, sebaliknya menggunakan pendekatan al-tarjamah al-tafsiriyah, iaitu penterjemahan secara pentafsiran supaya maknanya tidak tersasar.

Begitu juga apabila membaca kitab tafsir bahasa Arab, apabila ingin dihuraikan ke bahasa Melayu misalnya, ia mestilah selari dengan 'suasana' dan 'iklim' penggunaan bahasa Arab itu sendiri.

Selain itu, harus juga dilihat 'konteks diri sendiri' jika dibandingkan dengan ulama terdahulu. Sedar diri dan insaf ialah kejiwaan yang perlu dibawa bersama-sama dalam memandu hati dalam bertadabbur al-Quran. Jika tidak, khuatir ilmu akan terhijab, sebaliknya berasa sombong hingga mudah mengkritik dan menyalahkan.

Tipu halus ini amat ditakuti sehingga kita perlu sentiasa berwaspada bahawa hasil kemuncak dalam proses tadabbur adalah terhubung dengan Allah melalui 'al-Zikr', yakni ingatan berterusan kepada Allah SWT dalam pelbagai bentuk dan keadaan, bahkan dalam setiap hembusan nafas semuanya bersulam dengan zikrullah.

Perkara ini diisyaratkan dalam ayat ke-24 Surah Muhammad bahawa bertadabbur itu adalah supaya hati tidak 'terkunci' daripada 'ingat Allah' dan mengambil cakna akan kandungan al-Quran secara menyeluruh.

Dengan menjayakan ketiga-tiga konteks diketengahkan itu, diharapkan kerancakan aktiviti masyarakat kita yang terkait dengan al-Quran dan memahami kandungannya menjadi lebih bermakna, sekali gus membuahkan 'jiwa hamba' dalam sanubari.

Kalimah hauqalah (tiada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah) benar-benar menjadi pakaian dalam menjalankan amanah 'ubudiyyah' dan khalifah. Ini dapat menangani dan membasmi faham liberalisme serta pluralisme yang berselindung di sebalik label 'maqasid.' Faham menyeleweng yang tumbuh itu lantaran aspek kontekstual ini diabaikan dalam budaya keilmuan masyarakat kita kerana sikap terburu-buru dalam mengkaji al-Quran.

Penulis adalah Pensyarah Pusat Kajian al-Quran & al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X