Rabu, 30 Oktober 2019 | 11:03am
Orang beriman perlu berhati-hati dengan godaan syaitan yang mempunyai banyak waktu, sentiasa memerhatikan dan selalu mengingati kita serta memiliki banyak pembantu untuk mengalahkan manusia. Gambar hiasan - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Jihad, iltizam perangi godaan syaitan

JIHAD dan iltizam menjadi dua pendekatan yang perlu digandingkan dalam memerangi godaan serta bisikan syaitan.

Penceramah bebas, Datuk Hamidon Abd Hamid, berkata syaitan bersumpah menyesatkan manusia hingga kiamat, sekali gus sentiasa menghasut anak Adam untuk melakukan dosa.

Hamidon berkata, Imam al-Ghazali mengingatkan manusia supaya beriltizam dan memohon perlindungan daripada Allah SWT daripada bisikan syaitan dan berjihad melawannya.

“Jihad dan iltizam menunjukkan kita benar-benar berusaha mengelak daripada terpengaruh dengan godaan syaitan.

“Allah SWT melihat dan menilai kesabaran kita serta menjanjikan pahala kepada orang yang berupaya melakukannya,” katanya di Surau Al-Mukmin, Mutiara Gombak, Gombak.

Firman Allah SWT bermaksud: “Sesungguhnya syaitan musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi sebahagian penduduk neraka.” (Faatir: 6)

Syaitan ialah elemen utama yang boleh merosakkan kualiti ibadat umat Islam dengan membisikkan hasutan menyesatkan manusia supaya anak cucu Nabi Adam AS lalai daripada berzikir kepada Allah SWT.

Firman-Nya yang bermaksud: “Sesiapa yang berpaling (tidak mengendahkan) pengajaran Tuhan yang Maha Pemurah (Al-Quran), Kami akan adakan baginya syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya). Maka jadilah syaitan itu teman karibnya.” (Az-Zukhruf: 36)

Antara sebab wajib memerangi syaitan adalah disebabkan ia musuh nyata yang menyesatkan, bahkan kepuasan syaitan ialah membinasakan umat Islam.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Bukankah Aku perintahkan kamu wahai anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!” (Yasin: 60)

Memetik kata ahli sufi, Saidina Yahya Muadz al-Razy: “Syaitan itu penganggur, penuh waktunya untuk menjalankan rencananya, sedangkan engkau terus sibuk; syaitan melihatmu, tetapi engkau tidak melihatnya; engkau lupa kepada syaitan, tetapi syaitan selalu ingat kepadamu, malah untuk mengalahkanmu, syaitan banyak pembantunya.”

Hamidon mengingatkan umat Islam bahawa melawan syaitan mesti dilakukan secara bersungguh-sungguh kerana individu itu turut ‘berlawan’ dengan nafsu dan keinginan dirinya.

“Justeru, janganlah kita berperang secara sendirian, tetapi mohonlah pertolongan daripada Allah SWT Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui,” katanya.

Hamidon menyarankan umat Islam mengambil inisiatif dan mencari waktu mendekatkan diri kepada Allah SWT seperti memanfaatkan sebanyak masa terluang dengan bertasbih kerana perbuatan itu bukan sahaja menambah pahala tetapi disayangi Allah SWT.

“Apatah lagi bertasbih turut dilakukan seluruh alam seperti firman-Nya: “Dan Dialah juga yang guruh dan malaikat bertasbih memuji-Nya, kerana takut kepada-Nya. Dan Dialah juga yang menghantarkan petir, lalu Ia mengenakan dengan panahannya kepada sesiapa dikehendakinya Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara berhubung dengan Allah (dan kuat kuasa-Nya). Padahal Ia amat keras azab seksanya.” (Ar-Ra’d: 13).

“Sedangkan guruh dan petir bertasbih kerana takutkan Allah SWT, kita patut menilai sejauh mana rasa syukur dan sayang kita kepada-Nya,” katanya.

Hamidon berkata, beribadat kepada Allah SWT memerlukan latihan harian yang boleh dimulakan dengan membaca al-Quran, duduk dalam majlis ilmu atau mendengarkan bacaan kitab suci seperti ketika memandu kereta mengikut kesesuaian masa individu.

“Leka dengan dunia antara halangan dalam mendapat ibadat berkualiti. Kadangkala tuntutan kerja seperti mesyuarat dan tugasan mengganggu kita melakukan ibadat solat dengan sempurna.

“Justeru uruslah ia dengan baik kerana dunia sebenarnya jambatan untuk mengumpul segala ilmu dan amal ibadat untuk dibawa ke akhirat.

“Gunakan masa untuk membaca al-Quran dan niatkan untuk khatam kitab suci yang dengan itu, Allah SWT akan bantu.

“Selepas Isyak, kita boleh duduk di majlis ilmu dan kalau balik rumah, selesaikan tugasan dan ambil peluang untuk tidur awal bagi mengerjakan solat tahajud,” katanya.

Godaan dunia amat indah kerana menyebabkan pencintanya seolah diulit mimpi kekal abadi, sekali gus lupa hakikat diri dan tanggungjawab serta ia hanya tempat sementara.

Kehidupan dunia bagaikan permainan seperti firman Allah SWT: “Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan serta perhiasan,” (Al-Hadid: 20)

Berita Harian X