Selasa, 17 September 2019 | 7:17am
- Gambar hiasan

Pendekatan wasatiyyah elak bencana lebih besar

Pendekatan wasatiyyah (kesederhanaan) yang bersifat seimbang dan meletakkan al-Quran dan sunnah sebagai rujukan utama perlu diperkukuh kerana akan menyelamatkan umat Islam daripada bencana lebih besar termasuk penyelewengan akidah.

Dalam konteks cabaran alaf baharu, tidak dinafikan Islam berkembang dengan pesat dan ajarannya diterima di seluruh dunia tetapi ujian juga semakin hebat.

Antaranya wujud pelbagai fahaman menongkah arus, menyimpang dan cuba mengelirukan akidah serta keyakinan diwarisi sejak zaman-berzaman, iaitu berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan bijak dan umat Islam masih memandang ringan terhadapnya, ia akan menimbulkan kekacauan lebih besar dan memudahkan pelbagai aliran seperti sekularisme, materialisme, hedonisme, liberalisme dan pluralisme agama masuk dengan mudah.

Sabda Rasulullah SAW: “Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap iman) seumpama malam sangat gelap. Seseorang masih beriman pada waktu pagi, kemudian pada waktu petang dia menjadi kafir atau (syak perawi hadis) seseorang masih beriman pada waktu petang, kemudian esok harinya, dia menjadi kafir. Ia menjual agamanya dengan sedikit dari harta benda dunia.” (HR Muslim)

Imam Besar Masjid Negeri, Negeri Sembilan, Dr Muhammad Yusry Mazlan Al-Hafiz, berkata golongan ekstrem menolak perbahasan akal mahupun hujah saintifik dalam menetapkan kebenaran akidah Islam.

“Mereka terlampau rigid sehingga menolak sebarang unsur yang dikatakan mencemar kesucian al-Quran dan sunnah.

“Maka, golongan yang menyalahi mereka dianggap ahli bidaah dan menyeleweng daripada akidah.

“Mereka seperti puak liberal berpegang kepada kebebasan melampau walaupun bercanggah dan di luar kemampuan manusia,” katanya pada Seminar Tafaqquh Aqidah Ahl Al Saunnah Wa Al Jama’ah Al Asyairah Wa Al Maturidiyah” di Masjid Negeri, Seremban.

Muhammad Yusry berkata, pendekatan wasatiyyah amat pen­ting kerana ia turut mengambil kira fungsi akal dan pancaindera sebagai pendukung wahyu.

“Akal tidak boleh melebihi dan mengatasi kesucian wahyu, sebaliknya dibimbing berdasarkan prinsip ditetapkan ulama silam berautoriti.

“Bahkan, pendekatan ini tidak menolak amalan sufi dan tasawuf dalam memperkukuh agama, selagi sahih serta tidak bercanggah dengan syarak,” katanya.

Dalam konteks negara ini, Muhammad Yusry berkata, pengajaran akidah mesti bersifat mesra budaya kehidupan setempat dan bersesuaian dengan latar belakang akidah pegangan umat Islam, iaitu ASWJ.


Imam Besar Masjid Negeri, Dr. Muhammad Yusry Mazlan Al-Hafiz ditemui di Masjid Negeri, Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman

“Ia perlu memberi fokus kepada perkara jelas disepakati ulama dan mengelak persoalan perselisihan antara ulama.

“Selain itu, amat penting kita bertegas dalam isu menyalahi akidah, tidak mudah menuduh seseorang kafir, bidaah atau fasik dalam persoalan khilaf dalam kalangan ulama ASWJ,” katanya.

Beliau berkata, antara penekanan dalam akidah wajib diketahui dan diberikan pendedahan secara meluas termasuk perbincangan kewujudan Allah SWT dan keesaan-Nya, kenabian, kehidupan selepas mati, qada dan qadar secara berhikmah, bijaksana serta mampu menarik minat masyarakat.

“Pengajaran ini perlu bersifat amaliyyah (praktikal) yang membawa kepada akhlak baik dan tekun beribadah melalui solat, puasa, zakat, haji, sedekah serta jihad.

“Ia perlu seiring perbahasan akidah nazariyyah (teori) yang memerlukan penelitian mendalam mengenai persoalan dalam agama,” katanya.

Muhammad Yusry menegaskan kefahaman terhadap akidah adalah kunci menangkis cabaran umat yang kini berada di ambang akhir zaman.

“Antara cabaran besar yang dapat kita lihat ialah perpecahan umat Islam. Cuma melalui akidah benar akan membentuk sebaik-baik manusia supaya mentaati Allah SWT dan tidak membangkitkan perdebatan antara ahli ilmu hingga membi­­ngungkan masyarakat awam yang kurang mengetahui.

“Kita juga perlu sedar Rasulullah SAW memberikan peringatan sejak 1,400 tahun lalu mengenai perkara yang akan dihadapi umat hari ini termasuk kemunculan golongan antihadis dan kebimbangan kemunculan penyakit umat dahulu seperti saling membenci dan berlebih-lebihan dalam masalah dunia,” katanya.

Rasulullah SAW antara lain menyebut kepincangan akan berlaku sekiranya umat Islam mengikuti langkah Yahudi dan Nasrani.

“Yahudi berasal daripada keturunan Yahuza, iaitu abang kepada Nabi Yusuf AS. Disebabkan cemburu dengan ketampanan dan kehebatan Nabi Yusuf yang sangat luar biasa, maka Yahuza merancang membuangnya ke dalam perigi.

“Maka hingga kini dapat dilihat keturunan Yahudi sangat bermasalah dan gemar menimbulkan persengketaan,” katanya.

Abu Sa’id Al-Khudri RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta hingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka.” Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang tuan maksudkan?” Baginda menjawab, “Siapa lagi kalau bukan mereka.” (HR Bukhari)

Justeru katanya, sikap melampau dalam berakidah perlu ditegah dengan cara meneladani kekuatan pada zaman Rasulullah SAW dan sahabat dengan jalan terbaik adalah terus memperkukuhkan pegangan ASWJ.

“Kekuatan akidah menjadi sumber inspirasi kehidupan Muslim termasuk dalam ibadat, munakahah, muamalah, jenayah dan siyasat al-daulah.

“Pendekatan manhaj wasatiyyah terbaik ialah menolak secara bulat-bulat, beriman dengan penuh keyakinan seperti terkandung dalam al-Quran dan sunnah tanpa sebarang tokok-tambah dan takwilan salah.

“Bersikap terbuka pula memberikan peranan kepada akal dalam mengukuhkan agama dan akidah seperti dinyatakan dalam nas,” katanya.

Firman Allah SWT: “Wahai ahli kitab, janganlah kamu melampaui batas dalam agamamu dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya al-Masih, Isa putera Maryam itu ialah utusan Allah dan (yang diciptakan dengan) kalimah-Nya yang disampaikan-Nya kepada Maryam dan (dengan tiupan) roh dari-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan: “(Tuhan itu) tiga.” Berhentilah (dari ucapan itu). (Itu) lebih baik bagimu. Sesungguhnya Allah Tuhan Yang Maha Esa, Maha Suci Allah dari mempunyai anak, segala yang di langit dan di bumi adalah kepunyaan-Nya. Cukuplah Allah menjadi pemelihara.” (Al-Nisa: 171)

Berita Harian X