Ahad, 18 Ogos 2019 | 12:00pm
Orang berilmu perlu menjawab tuduhan jahat dan cacian kepada Rasulullah SAW, manakala orang awam pula perlu melaporkannya kepada pihak berkuasa. - Foto Abdullah Yusof

10 hukuman pada pencaci Nabi

KEMUNCAK cinta kepada Nabi Muhammad SAW bukan sahaja sampai melebihi ibu bapa dan anak, bahkan melampaui diri sendiri seperti yang dijelaskan Baginda kepada Saidina Umar RA.

Bagi jemaah haji, walaupun ibadat Rukun Islam Kelima itu sudah selesai, ‘kembara’ rohani mereka tidak akan sempurna sekiranya tidak menziarahi makam Rasulullah SAW dan Masjid Nabawi di Madinah.

Tidak hairanlah umat Islam pasti sensitif dengan segala tuduhan jahat kepada insan dan makhluk teragung itu, sementelah pula lemparan kata nista serta caci-maki sama ada dalam bentuk teks mahupun visual.

Usahkan menyakiti hati Nabi SAW, meninggikan suara di hadapan Rasulullah SAW sahaja memberikan implikasi besar kepada amal seseorang.

Firman Allah SWT: “Wahai orang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi dan janganlah kamu berkata kepada Baginda dengan suara keras seperti suara keras sebahagian kamu terhadap orang lain, supaya tidak terhapus (pahala) amalanmu sedangkan kamu tidak menyedari.” (Al-Hujurat: 2)

Begitu teliti Allah SWT mengajar hamba-Nya mengenai adab kepada Rasulullah SAW hingga memberi amaran betapa amalan setinggi gunung boleh menjadi debu yang tiada maknanya.

Malah kepada orang yang menghina dan mencaci Rasulullah SAW, Allah SWT memberikan amaran dan balasan yang lebih keras serta menggerunkan lagi.

Ibnu Abbas RA mengingatkan sesiapa berselawat kepada Nabi SAW sekali, maka Allah SWT akan memberi 10 kali rahmat kepadanya, tetapi orang yang mencaci Baginda sekali, maka Tuhan akan mencacinya 10 kali.

“Tidakkah engkau memerhatikan firman Allah SWT yang ditujukan kepada pemuka Musyrikin Makkah, Walid ibnu Mughirah.

“Ketika dia sekali mencaci Nabi SAW, Allah SWT mencacinya dengan 10 cacian,” katanya.

Ibnu Abbas RA merujuk kepada ayat al-Quran yang membela Rasulullah SAW. Firman Allah SWT: “Dan janganlah engkau (berkisar daripada pendirian engkau yang benar dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya). Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecahbelahkan orang ramai). Yang sering menghalangi amalan kebajikan, yang melanggar hukum agama, lagi yang amat berdosa. Yang jahat kejam, yang selain itu tidak tentu pula bapanya. Adakah kerana ia hartawan dan ramai anak-pinaknya (maka ia mendustakan agama Kami)? Apabila dibacakan kepadanya ayat keterangan Kami, ia berkata: “(Ini ialah) cerita dongeng orang dahulu kala.” (Al-Qalam: 10-15)

Di akhirat kelak, orang yang mencaci Rasulullah SAW akan diancam dengan azab neraka yang tidak terperi kesakitan dan penderitaannya seperti firman Allah SWT: “Dan orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Al-Taubah: 61)

Dalam berdepan dengan tuduhan jahat dan cacian kepada Rasulullah SAW, umat Islam yang berilmu perlu

menjawab dengan hujah terbaik, sekali gus melambangkan Islam sebagai agama yang dibangunkan atas dasar ilmu.

Pada masa sama, orang awam yang tidak memiliki kemampuan untuk menjawab tuduhan atau cacian sebegitu, boleh melaporkan sebarang kenyataan yang menyentuh peribadi atau akhlak Nabi SAW kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Dalam berdepan dengan insiden jahat sebegitu, umat Islam tidak boleh mengambil tindakan secara kekerasan yang tidak dibenarkan syarak atau melemparkan kata-kata cacian yang tidak selayaknya atau melampaui batas.

Berita Harian X