Sabtu, 20 April 2019 | 7:57pm
MASJID al-Ahmar mula diceroboh rejim Zionis pada 1984 turut dijadikan sebagai kelab malam dan dewan perkahwinan.

MyAQSA selar rejim Zionis cemar kesucian Masjid al-Ahar

KUALA LUMPUR: Yayasan MyAQSA (MyAQSA) menyelar perbuatan biadap rejim Zionis yang menjadikan masjid bersejarah di Palestin, Masjid al-Ahar sebagai kelab malam dan dewan perkahwinan.

Felonya merangkap Ketua Delegasi Pasukan Peguam Penyiasat MyAQSA ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa, Azril Mohd Amin, menyifatkan tindakan itu sebagai usaha menghapus dan menyingkirkan penduduk Palestin daripada tanah air mereka sendiri.

Azril berkata, tindakan Israel itu mencabul hak asasi manusia, sekali gus melanggar resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

“Ia antara puluhan tindakan dalam erti kata lain sengaja mencabar masyarakat antarabangsa sedangkan pada 1 Mei 2001 Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi menggesa penghormatan dan pemeliharaan terhadap tempat beribadah.

Langgar Deklarasi UDHR

“Malah, tindakan Israel ini ternyata melanggar Artikel 17 dan 18 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) yang masing-masing menjamin hak memiliki harta dan hak kebebasan beragama,” katanya kepada BH di sini.

Azril berkata, PBB dan masyarakat antarabangsa perlu segera bertindak bagi menghentikan perbuatan Israel dengan mengembalikan masjid itu kepada pemilik asal seperti tertulis dalam sejarah.

Masjid al-Ahar yang terletak di utara Palestin itu mula diceroboh rejim Zionis pada 1984, manakala penduduk di bandar raya Safed ketika itu turut dihalau keluar daripada rumah mereka.

Bangunan itu pernah dijadikan sekolah Yahudi, pusat kempen pilihan raya dan kelab pakaian.

Menurut Middle East Monotir, namanya turut ditukar kepada Khan al-Ahmar dan penduduk dilarang mengerjakan solat di dalam bangunan masjid ini.

Berita Harian X