Selasa, 26 March 2019 | 11:00am
Al-hikmah iaitu rahsia yang membawa kepada kemajuan, kecemerlangan, kejayaan dan keagungan perlulah dikuasai untuk mengatasi permasalahan kemunduran umat Islam.

Manfaat bidang falsafah untuk maju

SEJAK dulu lagi penerimaan alam Melayu dan dunia Islam terhadap bidang falsafah agak dingin berikutan pandangan yang menyifatkan ia tidak penting dan kurang berguna kepada masyarakat.

Malah perbincangan dalam bidang falsafah kerap dikatakan sukar untuk difahami dan berbeza dengan struktur budaya serta gaya berfikir masyarakat.

Perkara ini ditekankan oleh ulama Nusantara, Hamka atau nama sebenarnya Abdul Malik Karim Amrullah yang mendapati wujud salah faham dan pemikiran negatif terhadap bidang falsafah.

Dalam bukunya Falsafah Hidup yang diterbitkan pada 1940, Hamka menulis bahawa akan tiba pada satu ketika dalam kalangan masyarakat Islam timbul kelompok yang tidak bersetuju dengan penggunaan falsafah untuk tuntutan berfikir.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhammad Razak Idris, berkata Falsafah Hidup dihasilkan bagi menangani salah faham terhadap bidang falsafah, malah menjadikan beliau sebagai mujaddid cuba mengembangkan aspek tajdid dalam dunia Melayu dan Islam.

“Apabila membaca buku itu, beliau merujuk nama yang dekat dengan aliran tajdid dan islah dalam dunia Islam seperti Jamalud-din al-Afghani, Muhammad Abduh dan Rashid Rida iaitu tokoh yang berusaha untuk memberi penyelesaian semasa,” katanya pada program Bicara Buku Hamka: Falsafah Hidup di Perpustakaan Tun Sri Lanang, UKM, Bangi.

Atasi kemunduran

Muhammad Razak berkata, Hamka dalam tulisannya itu juga ada menyebut bahawa budaya dan sikap negatif akan merugikan umat Islam.

“Kemunduran umat Islam mesti diubati dengan pelbagai cara, antaranya dengan mengikis sikap negatif terhadap bidang falsafah dan memperbetulkan salah faham terhadapnya dengan alam erti kata masyarakat mesti dikembalikan semula keyakinannya terhadap bidang falsafah.

“Hilang falsafah dalam kehidupan akan melemahkan proses jati diri umat Islam. Hakikatnya menulis falsafah akan menjadi landasan dan jalan yang akan memajukan umat Islam pada era kemunduran,” katanya.


Pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM, Dr Muhammad Razak Idris. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Muhammad Razak berkata, masyarakat harus memahami bahawa Hamka sendiri berada dalam situasi dan persekitaran masyarakat yang mundur.

“Sebagai tokoh mujaddid, beliau ingin menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan umat Islam. Pelbagai cara digerakkan oleh Hamka, kita boleh membaca sumbangan beliau dalam konteks pembangunan falsafah dan memperbetulkan sejarah. Malah beliau juga menulis mengenai akhlak selain naskhah kesusasteraan dan bahasa,” katanya.

Justeru, buku Falsafah Hidup adalah antara sumbangan terpenting Hamka dalam memperbetulkan salah faham terhadap bidang falsafah serta usaha menyeru umat Islam bersikap positif terhadap falsafah.

“Hamka melihat bidang falsafah boleh membantu kemajuan umat Islam kerana tabiat bidang ini yang bersifat mencari atau berusaha untuk mengenal rahsia. Malah ahli atau sarjana falsafah juga dipanggil sebagai pencari rahsia.

“Banyak rahsia yang terselindung dalam kehidupan dan alam semesta. Jadi ahli falsafah perlu mencari rahsia itu sebelum diolah dalam bentuk, formula, teori dan idea,” katanya.

Muhammad Razak berkata, dalam konteks ketamadunan dan istilah keagamaan, ia disebut sebagai al-hikmah.

“Dalam bidang falsafah terkandung rahsia dan hikmah kehidupan. Jadi mempelajari falsafah bererti berusaha untuk menguasai jalan ilmu yang akan membawa kepada al-hikmah.

“Pada pandangan Hamka, untuk mengatasi permasalahan kemunduran umat Islam, al-hikmah iaitu rahsia yang membawa kepada kemajuan, kecemerlangan, kejayaan dan keagungan perlulah dikuasai,” katanya.

Sikap positif Hamka ini tegas beliau bukan rekaan semata-mata sebaliknya Hamka jika diteliti menulis menggunakan pendekatan tersendiri iaitu dengan kaedah popular dan bukannya akademik supaya lebih mudah difahami masyarakat.

“Beliau terdedah dengan karya asal tapi mengolah semula dalam tulisannya dengan gaya bahasa yang senang dan mudah. Dalam suasana masyarakat yang negatif terhadap bidang falsafah, buku ini menjadi pengenalan kepada dunia falsafah yang mendalam dan murni,” katanya.

Tambah Muhammad Razak, Hamka mengasaskan semangat itu dan mengajak umat Islam mengambil positif terhadap bidang falsafah kerana dorongan al-Quran dan hadis. Firman Allah SWT: “Tidakkah mereka memerhatikan keadaan unta, bagaimana ia diciptakan? Dan keadaan langit, bagaimana ia ditinggikan binaannya.? Dan keadaan gunung-ganang, bagaimana ia ditegakkan? Dan keadaan bumi, bagaimana ia dihamparkan?.” (Al Ghaasyiyah: 17-20).

“Hamka banyak mengutip ayat al-Quran antaranya ayat yang mengajak umat Islam untuk mencari rahsia kejadian alam kerana di sebaliknya terkandung banyak rahsia kehidupan yang boleh dijadikan pegangan atau al-hikmah.

“Menerusi penerokaan terhadap al-Quran, kita dapat melihat sifat positif ilmu wahyu ini terhadap pengkajian ilmiah dan menerusinya manusia memperoleh hikmah melalui jalan keinsafan.

“Selain itu, hadis Rasulullah SAW yang bersabda: “Hikmah adalah barang hilang milik orang beriman. Di mana saja ia temukan, ambillah sebagai pelajaran.” (HR. Tirmidzi). Semangat itu membawa kepada gerakan pencarian hikmah dalam dunia Islam yang pernah membawa kepada zaman keagungannya,” katanya.

Zaman Yunani

Tambah Muhammad Razak, Yunani adalah tamadun terawal yang agresif dalam pencarian tuhan dan berusaha mencari jawapan di sebalik kejadian alam.

“Ketika masyarakat berada dalam suasana tahyul dan khurafat, lahir kelompok yang memberi jawapan yang berlainan daripada pemikiran sedia ada. Ia membawa kepada gerakan keilmuan zaman Yunani dan seterusnya membawa kepada kecemerlangan tamadun terbabit.

“Apabila tamadun Islam bangkit di zaman Abbasiyah, dibangunkan Baitul Hikmah untuk menterjemah karya dan kitab tamadun terdahulu. Lahirlah nama hebat seperti Al-Razi, Ibnu Sina, Al-Farabi dan Al-Ghazali yang muncul dalam proses penemuan hikmah,” katanya.

“Malah pusat penyebaran ilmu itu berpindah dari Yunani ke Iskandariah dan Hamka juga berkata kemudiannya berlaku perpindahan ke Baghdad, Iraq dan ke benua Eropah apabila kini semua orang berpusu-pusu untuk belajar di sana,” katanya.

Justeru, Hamka mengajak umat Islam untuk kembali menguasai bidang falsafah dengan membangunkan akal dan mengoptimumkan penguasaan akal yang dimiliki untuk menguasai rahsia dan al-hikmah.

“Akal dan otak adalah anugerah Allah SWT yang menjadi saluran untuk menemui hakikat Tuhan dan menerusinya umat Islam dapat menakluki ilmu serta kefahaman terhadap kejadian.

“Sekiranya kita tidak positif terhadap akal, jalan falsafah tidak dapat dikuasai dan ia akan menjadi kering dan gersang.

“Hamka juga ada berkata, dengan akal, manusia dapat memikirkan nikmat besar Tuhan. Jadi akal harus dibangunkan dalam masyarakat dengan diberikan kebebasan bersuara dan institusi yang dapat mendukung supaya masyarakat tidak terjebak dengan kebodohan,” katanya.

Berita Harian X